28.9 C
Ipoh
Monday, 17 November 2025

Kemelut Gaji Perak FC, 48 Bekas Pemain & Jurulatih Tuntut Keadilan

- Advertisement -
- Advertisement -

Kemelut Gaji Perak FC, 48 Bekas Pemain & Jurulatih Tuntut Keadilan

Kemelut tunggakan gaji yang membelenggu Perak FC masih belum bertemu titik noktah apabila seramai 48 bekas pemain, jurulatih, dan kakitangan kelab itu terus menuntut hak mereka yang tertunggak. Desakan itu melibatkan bayaran gaji serta pampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta, yang didakwa gagal dilunaskan oleh pihak pengurusan sejak September tahun lalu.

Rasa kecewa jelas terpancar daripada nada bekas tonggak utama Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor, yang menyifatkan tiada sebarang perkembangan positif diterima daripada pihak pengurusan biarpun penantian telah berlarutan sekian lama.

Menurut beliau, satu pertemuan telah diatur bersama wakil pengurusan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, namun ia masih gagal membawa sebarang keputusan yang melegakan.

“Hari ini kami bertemu wakil (peguam) mereka (pengurusan) di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan hasil perbincangan, beliau memaklumkan perlu meneliti kontrak kami sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelasnya ketika ditemui di pekarangan Stadium Perak di sini pada Isnin.

“Peguam itu turut memohon penangguhan dengan mengaturkan perbincangan lanjut pada 27 Okt di JTK Perak. Kami harap segala urusan dapat dipercepatkan dan selesai secara baik,” tambah Wan Zack Haikal.

Dalam pada itu, bekas penolong jurulatih, Shahrulnizam Mustapha menegaskan bahawa tawaran yang pernah dikemukakan oleh pihak pengurusan sebelum ini langsung tidak setimpal dengan pengorbanan dan komitmen penuh yang telah dicurahkan oleh barisan pemain dan kejurulatihan.

“Sebagai jurulatih, kami sudah berikan komitmen penuh sehingga pasukan layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh musim lepas. Namun sehingga kini, kami belum menerima hak kami,” luahnya.

Beliau turut menyentuh tentang impak isu ini terhadap kehidupan mereka, sambil menyifatkan ia melibatkan kelangsungan hidup ramai pihak.

“Kami sudah terlalu lama menunggu. Hal ini melibatkan periuk nasi ramai keluarga. Kami harap Perak FC dapat tampil dengan penyelesaian konkrit pada pertemuan akan datang,” katanya.

Buat masa ini, Shahrulnizam berkata, mereka akan menunggu maklum balas daripada perbincangan seterusnya sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.

Mengimbas kembali, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi pada 27 April lalu telah mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan yang meruncing.

Pihak pengurusan dilaporkan hanya mampu menawarkan pembayaran sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan tunggakan, namun tawaran tersebut telah ditolak sebulat suara oleh para pemain dan jurulatih.

Sumber Bernama

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Editor & Penulis orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here