Wan Lebo antara salah satu lagu rakyat yang bukan sahaja popular di negeri Perak, malah ia juga amat popular di negara kita Malaysia. Lagu rakyat Wan Lebo ini juga sering kali dapat kita dengar dalam drama dan rancangan television sebagai lagu latar.
Pernahkah anda terfikir dan tertanya-tanya tentang milik siapakah tuan punya suara disebalik lagu rakyat Wan Lebo yang amat popular dan digemari ini? Khas untuk anda, editor dari team orangperak.com berjaya menjejaki waris kepada penyanyi sebenar lagu rakyat Wan Lebo dan telah dapatkan maklumat menarik ini untuk anda semua.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, nama penyanyi asal kepada lagu rakyat Wan Lebo ini tidak lain tidak bukan adalah Sufian Mohd Gamat. Beliau juga turut dikenali dengan nama Tok Pian oleh penduduk setempat di sekitar kawasan Teluk Bakong.
Soalan pertama yang editor kami utarakan kepada anak saudara Tok Pian ini adalah siapakah sebenarnya Wan Lebo? Adakah dia benar-benar wujud atau sekadar rekaan Tok Pian semata-mata. Menurut Zamree iaitu anak saudara kepada Tok Pian, sebenarnya Wan Lebo itu benar-benar wujud dan ia ada jalan ceritanya yang tersendiri.
Sufian Mohd Gamat bersama (berkopiah putih) bersama ayah kepada Zamree
Menurut Zamree lagi, nama Wan Lebo yang ada dalam lirik lagu tersebut sebenarnya adalah sepupu perempuan kepada Tok Pian dan lagu ini diambil ilham dari Tok Pian apabila ada kisahnya yang mana Wan Lebo ingin mengikut Tok Pian ke seberang sungai Perak dengan menaiki sampan untuk melihat tuntung dan terjatuh tersembam atas pasir. Namun tidak diketahui secara terperinci kisahnya kerana cerita ini tidak diturunkan oleh Tok Pian.
Sewaktu zaman hidupnya, Tok Pian dikatakan sering buat persembahan bersama-sama dengan kumpulan kugiran bernama Seri Nada yang diketui oleh arwah Din Cerit. Jika ada jemputan, mereka inilah yang akan pergi memeriahkan majlis dengan menyanyikan lagu-lagu irama asli di sekitar kawasan Perak Tengah yang berdekatan dengan Telok Bakong.
Kumpulan Seri Nada (berbaju putih & bertopi hitam adalah arwah Din Cerit)
Selain menyanyi, Tok Pian selaku penyanyi asal lagu Wan Lebo ini juga berkemahiran dalam bermain alat muzik seperti gambus dan biola. Setiap kali beliau bermain alat muzik pasti akan dapat buat mereka yang mendengarnya terpegun dengan keindahan alunan muzik yang didendangkan.
Antara banyak-banyak lagu ciptaan Sufian Mohd Gamat, lagu Wan Lebo lah antara yang paling popular dan paling diminati ramai. Lirik dan rentak lagu tersebut dicipta sendiri oleh Tok Pian yang seringkali dinyanyikan secara santai dalam majlis kahwin.
Setiap yang hidup pasti akan pergi menghadap ilahi. Sufian Mohd Gamat meninggal dunia ketika usia 70 tahun sekitar tahun 2008 kerana sakit jantung dan arwah telah dikebumikan di tempat kelahirannya Teluk Bakong.
Lirik Lagu Wan Lebo
Singgah bermalam ghomah pak ude
Makan nasik sayo keladi
Bio pape asei bergaye
Aseikan senang di dalam hati
Peram peram pisang
Pisang masak layu
Jatuh dalam kubang
Sambo bapak yu
Umbut umbut nyior belalang kedek kedek
Sape buat hingor
Ghontu kena cubet
Daghi lambor pegi ke bote
Singgah bermalam ghomah wan lebo
Hajat hati minang anak dare
Dapatle jande ghambotnye gugor
Peram peram pisang
Pisang masak layu
Jatuh dalam kubang
Sambo bapak yu
Umbut umbut nyior belalang kedek kedek
Sape buat hingor
Ghontu kena cubet
Tojon daghi keghotak bote
Dapat sebijik doyan dah mangko
Disangkekan ayor dalam belake
Jatuh terjombap di ateh pasyor
Peram peram pisang
Pisang masak layu
Jatuh dalam kubang
Sambo bapak yu
Umbut umbut nyior belalang kedek kedek
Sape buat hingor
Ghontu kena cubet
Daghi lambor pegi ke bote
Singgah bermalam ghomah wan lebo
Hajat hati minang anak dare
Dapatle jande ghambotnye gugor
Peram peram pisang
Pisang masak layu
Jatuh dalam kubang
Sambo bapak yu
Umbut umbut nyior belalang kedek kedek
Sape buat hingor
Ghontu kena cubet
Hari ini, waris kepada Tok Pian iaitu anak saudaranya bernama Zamree yang juga berasal dari Telok Bakong telah menyanyikan semula lagu Wan Lebo ke versi yang baru. Beliau telah masukkan lagu Wan Lebo ke dalam album sulung beliau yang memuatkan 4 buah lagu irama asli dalam loghat Perak.
Zamree, anak saudara Sufian Mohd Gamat
Zamree yang merupakan anak saudara kepada Tok Pian (abang kepada bonda Zamree) sudah lama bergiat dalam dunia seni dalam lakonan filem sejak tahun 1981 lagi. Antara filem yang pernah beliau terlibat adalah filem Sesejuk Air Mata Ibu, filem Abang dan Filem Bukit Kepong. Zamree juga pernah terlibat dalam drama Ta’in 3T.
Akan datang, Zamree yang kini berumur 60 tahun berhasrat akan mengeluarkan lagu rakyat yang berkaitan dengan Ikan Tapah dan Tok Kadok pula. Jika anda suka dengar lagu Wan Lebo, anda boleh dapatkan cd album berharga RM25 sahaja yang mana lagu Wan Lebo telah dinyanyikan semula oleh waris penyanyi asal dengan whatsapp terus ke 019 598 2601 (Zamree).
Terkini. Dukacita dimaklumkan bahawa Zamree yang merupakan anak saudara kepada Sufian Mohd Gamat telah meninggal dunia pada tarikh 24 Mac 2020 yang lalu. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.