Sejarah adalah suatu peristiwa yang perlu diketahui dan dipelajari agar mampu memberi semangat kepada kita untuk mencapai kejayaan mahupun untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.
Pada kali ini, orangperak.com ingin membawa pembaca semua untuk lebih mengenali tokoh sejarawan terkemuka tanah air yang dilahirkan di Teluk Intan.
Meskipun beliau telah begitu lama meninggalkan kita, namun karya dan usaha perjuangan beliau dalam bidang kajian sejarah membuatkan kita lebih mengenali sejarah nenek moyang kita yang terdahulu. Tokoh sejarawan negara tersebut ialah Cikgu Haji Buyung Adil.
Cikgu Buyung dilahirkan didalam keluarga dari keturunan Rao pada bulan Januari 1907 di Teluk Intan, Perak. Beliau memperoleh pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Anson sebelum memasuki Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim pada tahun 1924.
Semasa menuntut di SITC, beliau pernah terpilih sebagai pelajar terbaik dan menggondol hadiah wang bernilai RM200. Namun begitu, sekitar tahun 1936 bibit-bibit anti penjajahan sudah mula berputik di SITC.
Jiwa raga guru-guru pelatih di situ telah mula dibakar dengan luapan semangat kebangsaan oleh beberapa pensyarah seperti Ahmad Bakhtiar, Harun Aminur Rashid dan Pendeta Za’ba.
Hasilnya lahirlah semangat nasionalisma di kalangan guru-guru Melayu seperti Ibrahim Haji Yaakob, Ahmad Murad Nasaruddin, Ngumba (Dato’ Embong Yahya), Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Mohd Isa Sulaiman, Senu Abdul Rahman,(Allahyarham), Ghaffar Baba (Tun) dan tidak ketinggalan Cikgu Buyung.
Semasa di SITC jualah Cikgu Buyung mula berjinak-jinak di alam penulisan. Pada peringkat awal beliau mula mengarang, beliau lebih banyak menulis cerpen dan sajak yang bertemakan nasionalisme. Tema yang cukup intim dengan situasi di SITC yang kian terbakar dengan luapan semangat kebangsaan.
Namun begitu, corak penulisannya bertukar kepda genre sejarah setelah menjadi pembantu Cikgu Abdul Hadi Hassan, seorang guru sejarah di pusat pendidikan tersebut. Minat terhadap sejarah mula terpupuk dan dibajai sepanjang berada di SITC.
Apabila Cikgu Abdul Hadi bertukar ke Kelantan, minat tersebut diteruskan sehinggalah dia mampu melahirkan karya sejarah berbentuk buku. Cikgu Buyung pernah mengikuti kursus perguruan Jepun di sekolah Tokyo Shihan Gakko yang bertempat di Kajang Selangor ketika Jepun memerintah Malaya.
Setelah Jepun meninggalkan Malaya kemudian Inggeris pula mengambil alih tampuk pemerintahan di Tanah Melayu, beliau telah dilantik oleh Britiah Militry Administration (BMA) sebagai guru besar di Ipoh.
Sewaktu di Ipoh, beliau bergiat cergas dalam pertubuhan Perikatan Melayu Perak (PKP). Namun pada 22 Februari 1948, PKP dibubarkan secara rasminya kerana ingin memberi laluan penubuhan cawangan UMNO yang pertama di Perak.
Dalam mesyuarat agungnya yang diadakan di Madrasah Paloh, Ipoh, Cikgu Buyung telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan UMNO Perak manakala Allahyarham C.M. Yusof Syed Abdul Rahman terpilih sebagai Yang DiPertua UMNO Perak.
Kegiatannya menentang Inggeris semasa di Ipoh tidak begitu disenangi British, lalu pada 1 Mac 1950, kerajaan Inggeris telah melantik beliau sebagai Ketua Siaran Sekolah-sekolah Melayu, Radio Malaya yang ketika itu berpusat di Singapura bagi mengekang keaktifannya dalam UMNO.
Namun begitu, jiwa nasionalisnya cukup kental dan tegar maka di Kota Singa beliau bertindak pula menganggotai Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS). Menerusi KGMS kegiatan anti penjajahan kian melebar sehinggalah Cikgu Buyung terbabit mengadakan satu perjumpaan di Kelab Kota Raja untuk menubuhkan Lembaga Bahasa Melayu (LBM).
Lembaga ini ditubuhkan pada 2 Oktober 1950 (dua bulan sesudah penubuhan ASAS 50) kerana mahu mengawal, memperbaiki, memperluas, memperkaya dan mengembangkan bahasa Melayu. Satu hal yang menarik dalam senarai ahli Jawatankuasa LBM terdiri dari tokoh-tokoh politik berjiwa kebangsaan.
Antaranya Dr. Burhanuddin al-Helmi (yang DiPertua), Abdul Rahman Haji Said dan Cikgu Buyung (Naib Yang DiPertua), Mahmud Ahmad (Setiausaha), Hamzah Hussein (Penolong Setiausaha) dan Amir Haji Lana (Bendahari). Memang sifatnya sentiasa berjuang menentang Inggeris walau di manapun dia berdagang dan merantau.
Cikgu Buyung seorang yang tekun bekerja, rajin membaca dan membuat catatan. Menurut Sasterawan negara, Dato’ Abdullah Hussin, Allahyarham semasa hayatnya sentiasa menulis catatan dan nota pada kertas-kertas kecil serta rajin menyimpan guntingan akhbar sebagai rujukan untuk bahan penulisannya. Dia juga memfail tentang banyak perkara termasuk mengenai hal ehwal keretanya dengan lengkap sekali.
Berdasarkan pengalaman SN Abdullah Hussin bersama Cikgu Buyung, Allahyarham merupakan “buku rujukan” yang baik sekiranya beliau menemui jalan buntu tentang sesuatu tarikh, misalnya tentang tenggelamnya kapal “The Flame” yang khabarnya membawa banyak karya sastera Melayu dari Nusantara.
Tanpa melihat buku, Cikgu Buyung memberitahu tarikh yang tepat di mana kapal itu tenggelam serta jarak berapa jauh dari pantai Bangkahulu, Indonesia. Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan khususnya dengan Kementerian Pendidikan kira-kira tiga puluh tahun dan bersara pada tahun 1962. Tetapi setelah bersara, dilantik pula menjadi ahli Perkhidmatan Awam Singapura mulai 1963 hingga 1969.
Sekitar tahun 1964 hingga 1970, dia giat menyusun buku-buku sejarah walaupun usianya sudah menjangkau enam dekad. Buku-buku tersebut ialah Sejarah Johor, Sejarah Selangor, Sejarah Perak dan Sejarah Pahang kesemuanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bagaimanapun, karya awalnya ditulis pada tahun 1939 ketika di SITC iaitu Sejarah Alam Melayu Penggal IV dan Sejarah Alam Melayu V. Pada tahun 1970 dia membantu Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman menyiapkan buku Revolusi Mental dan ketika inilah Cikgu Buyung dipelawa oleh Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri Malaysia ke-2) untuk bertugas di DBP.
Pada tahun 1971 Cikgu Buyung mula bertugas di DBP sebagai Penyelidik Sejarah serta meneruskan penulisan buku-buku sejarah negeri-negeri Melayu seperti Sejarah Sarawak, Sejarah Perlis, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, Sejarah kedah, Sejarah Terengganu dan Sejarah Kelantan di samping menulis fiksyen untuk bacaan kanak-kanak.
Semasa di DBP, beliau juga berkesempatan menyiapkan buku berjudul Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad ke-15 hingga 19 yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1983 setelah Cikgu Buyung meninggal dunia.
Kecintaan beliau dalam bidang sejarah terlalu dalam. Sejarah bagi beliau, wajar dinobatkan sebagai ilmu teras dalam sistem pendidikan sesebuah negara kerana untuk mengenali tamadun sesuatu bangsa itu, tiada lain unsur utama melainkan sejarah.
Sejarah sebenarnya tidak mati. Ia hidup selagi manusia ingin menjadikan sejarah sebagai iktibar yang tidak kunjung padam. Semasa dilanda kemelut, sejarah akan mengajar kita bagaimana menemui erti jalan penyelesaian.
Sebagai mengenang jasa bakti beliau, Kementerian Pendidikan telah menamakan sebuah sekolah menengah di Tapah dengan nama ganjilnya itu Sek. Men. Buyung Adil pada tahun 70-an dan nama itu kekal sehingga sekarang.
Sesungguhnya, sejarawan dan pendidik terkemuka ini telah meninggalkan karya sejarah yang bertimbun untuk tatapan dan bacaan anak bangsanya. Sejarawan tanah air ini sudah berpulang ke alam bawa pada tahun 1976 dalam usia 69 tahun. Al-Fatihah buat Allahyarham.