29.7 C
Ipoh
Saturday, 18 January 2025

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

- Advertisement -
- Advertisement -

Namanya mungkin agak asing buat generasi kita hari ini tetapi pada satu ketika dahulu, nama Mohd Zabri bin Abdul Hamid adalah merupakan salah seorang perwira negara yang paling dikenang dalam Komando 69 Pasukan Gerakan Khas. Mohd Zabri bin Abdul Hamid dilahirkan pada tarikh 15 Ogos 1937 di Tapah, Perak dan beliau merupakan anak kedua dalam keluarga.

Mohd Zabri bin Abdul Hamid memulakan kerjayanya sebagai seorang pegawai polis pada tarikh 1 Mac 1963 dengan memegang jawatan Inspektor Percubaan. Selepas menamatkan latihan di PULAPOL Jalan Semarak, beliau ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada tarikh 18 Jun 1963.

Kemudian, Mohd Zabri bin Abdul Hamid ditukarkan ke unit Pasukan Polis Hutan (PFF) yang mana hari ini dikenali dengan nama Pasukan Gerakan Am pada 29 Mac 1965 sebagai Komander Platun. Dalam bulan Julai 1970, Mohd Zabri bin Abdul Hamid ditakdirkan untuk menyertai pasukan Komando 69 yang baru ditubuhkan ketika itu dan beliau berjaya dalam pemilihan tersebut selama lima bulan.

Apa yang menariknya, Mohd Zabri bin Abdul Hamid kemudian dilantik sebagai Ketua Jurulatih Komando pada bulan April hingga Ogos 1971 untuk melatih pegawai dan anggota yang baru menyertai pasukan ini yang dikenali sebagai Platun Ketiga Komando 69 dan mereka ditempatkan di Kubu Legap, Perak.

Perwira negara ini iaitu Mohd Zabri bin Abdul Hamid juga pernah melibatkan diri dalam satu operasi yang dikenali sebagai Ops Jemput Tiga yang dikendalikan bersama Cawangan Khas PDRM dan perisikan khas Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) dalam misi memburu dan menggempur Komunis Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang terletak disempadan Sarawak-Kalimantan.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Operasi yang menggabungkan pasukan Komando 69 PDRM dengan unit KOSTRAD (Komando Strategis Cadangan Angkatan Darat) TNI-AD itu mengambil masa selama lima bulan dan kedua-dua pasukan tersebut berjaya menggempur kedua-dua buah kubu kumpulan PARAKU dan ketangkasan serta keberanian pasukan Komando 69 pimpinan Mohd Zabri bin Abdul Hamid dalam pertempuran yang tercetus serta berjaya menumbangkan beberapa orang ahli PARAKU ini amat mengagumkan pasukan keselamatan Indonesia.

Selain Ops Jemput Tiga, Mohd Zabri bin Abdul Hamid juga mengetuai tiga platun Komando 69 ke Hulu Perak pada bulan Ogos 1975 dalam gerakan mencari dan memintas salah satu kumpulan pengganas komunis yang terlibat dalam satu kes pembunuhan ke atas empat orang anggota Konstabel Tambahan Balai Polis Grik dimana empat orang anggota tersebut telah dibunuh dan mayat mereka dikelar oleh komunis dengan pisau.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Pada tarikh 3 September 1975 unit Mohd Zabri bin Abdul Hamid berjaya mengesan kedudukan khemah musuh yang terlibat berhampiran dengan Gerik dan kemudian disitulah berlakunya satu pertempuran antara unit Komando 69 pimpinan Mohd Zabri bin Abdul Hamid dengan pengganas komunis yang mempunyai keanggotaan seramai 30 hingga 40 orang sebelum pengganas-pengganas tersebut berundur.

Dalam pertempuran tersebut, seramai dua orang anggota Komando 69 iaitu Koperal Sheikh Ismail serta Koperal Aziz Idris tercedera dalam pertempuran itu dan bantuan ke Unit Tek Tapong melalui perutusan semboyan telah diminta.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Hasil pemeriksaan unitnya ke atas kem komunis yang ditinggalkan selepas pertempuran tersebut, mereka berjaya merampas 6 beg galas berisi makanan, pakaian, 2 laras senjata mortar, 18 butir bahan letupan, 15 kotak bekalan makanan, ubat serta beberapa barangan lain lagi. Selain itu, mereka juga turut merampas semula 3 laras senapang patah yang dipercayai milik empat anggota Konstabel Tambahan yang dibunuh ketika itu.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Pada tarikh 3 September 1975, Mohd Zabri bin Abdul Hamid meninggal dunia kerana terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis semasa membawa dua anggota Komando 69 yang tercedera ke kawasan pendaratan selepas operasi memburu pengganas komunis yang terlibat dalam pembunuhan empat orang anggota polis tambahan selesai dan membawanya ke hospital.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Malangnya kaki kanan perwira negara ini putus dan kecederaan di paha beliau agak parah sehingga menyebabkan beliau kehilangan darah yang banyak. Mohd Zabri bin Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir dengan memberi kata-kata amanat kepada anggotanya. Antara amanat terakhir beliau berbunyai, “Teruskan perjuanganmu… hancurkan petualang negara. Buru dan hancurkan mereka… biarpun diriku tiada lagi!”

Mohd Zabri bin Abdul Hamid meninggal dunia sehari sebelum bulan Ramadan. Jenazah Allahyarham Mohd Zabri bin Abdul Hamid disemadikan di Tapah, Perak dengan penuh istiadat penghormatan oleh pasukan polis. Suasana sedih, sebak, tangisan dan titisan air mata menyelubungi dikalangan sanak saudara, keluarga dan sahabat handai serta warga PDRM, khasnya pegawai-pegawai dan anggota-anggota Komando 69 yang amat rapat dengan Allahyarham.

Pesanan Terakhir Anak Kelahiran Tapah Yang Gugur Semasa Perang

Selain itu, Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tun Haniff Omar, Ketua Polis Perak dan pegawai-pegawai polis hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Sebagai tanda memperingati jasanya dalam perjuangan menentang petualang negara, beliau dianugerahi pangkat Assisten Superintenden Polis dan sebuah kem latihan 69 Komando PGK di Tasik Banding dinamakan sebagai Kem Zabri.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkannya dikalangan pejuang-pejuang Islam yang mati syahid. Al-Fatihah.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here