Siapa yang tak kenal dengan nama kumpulan Senario? Sebut sahaja nama kumpulan Senario, hampir semua orang bukan sahaja di Malaysia, bahkan di rantau Asia Tenggara cukup kenal dengan kumpulan komedi nombor satu yang paling digemari ramai ini. Mereka cukup popular pada tahun 90 an. Hari ini kami ingin memperkenalkan kepada anda tentang salah seorang anggota kumpulan Senario yang bernama Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli.
Pada 8 March 2018 yang lalu, kami dari team orangperak.com berpeluang untuk bertemu dengan Encik Hamdan di Bercham Raya, Ipoh dan mendapatkan maklumat tentang perihal beliau sebelum bergelar artis dan perjalanan hidupnya dalam menjadi salah seorang anggota kumpulan Senario. Ini adalah satu kenangan yang paling manis buat kami kerana dapat bersembang dengan salah seorang anggota kumpulan Senario yang asal yang mana sebelum ini hanya dapat dilihat dalam kaca televisyen sahaja.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli adalah merupakan anak kelahiran Perak yang mana beliau telah dilahirkan di Batu Gajah pada tarikh 1 September 1969. Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli adalah merupakan anak yang keempat dari lapan orang adik-beradik. Beliau yang lebih dikenali dengan nama Hamdan Senario ini adalah merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan Senario.
Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli yang merupakan anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini mendapat pendidikan awal di sekitar Ipoh yang mana pada peringkat rendah, beliau telah belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Kinta dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putra.
Pada ketika Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli mencapai usia 18 tahun iaitu lebih kurang selepas tamat persekolahan, jangan anda tidak tahu yang anggota Senario ini pada mulanya aktif dalam bidang pemodelan. Namun ianya tidak bertahan lama dan kemudian Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli terus berhijrah ke Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai krew, sound dubbing engineer dan editor di Home Video Distributor (HDV) yang terletak di Damansara Utama.
Pada tahun 1988 sewaktu bekerja sebagai editor di Home Video Distributor (HDV), secara kebetulan pula Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli ditempatkan satu bilik dengan Azmeer. Encik Hamdan yang mana ketika itu hobinya amat suka menyanyi seringkali menyanyi dengan bersahaja di dalam pejabat sehinggakan suaranya didengari oleh pekerja di sana serta Azmeer.
Lantas oleh kerana itulah beliau telah ditawar oleh Azmeer untuk menyanyi di dalam sebuah lagu untuk telemovie RTM pada tahun 1989 yang bertajuk Aku cinta Padamu. Inilah langkah dan kali pertama Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli menjejakkan kaki ke dalam bidang seni yang mana ia telah berlaku dengan secara tidak sengaja dan tidak disangka-sangka.
Setelah beberapa tahun merantau di Kuala Lumpur, Ahmad Hamdan mengambil keputusan untuk berhenti kerja di Home Video Distributor (HDV) dan pulang ke Ipoh, Perak. Pada tahun 1991, Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli bekerja sebagai kerani pendaftaran kenderaan untuk AH Motor yang berpusat di Taiping dan beliau ditempatkan di sebuah cawangan di Ipoh, Perak.
Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli akhirnya bertemu jodoh dengan seorang gadis dari Batu Kurau, Perak dan mereka telah bernikah pada tahun 1993. Di sinilah detik perkenalan Hamdan dengan Ilya serta Wahid yang mana mereka berdua adalah rakan sekerja buat isteri Hamdan sebagai artis kebudayaan di Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Hamdan dan isterinya telah dikurniakan empat orang cahaya mata yang mana tiga daripadanya adalah lelaki manakala seorang lagi adalah perempuan. Pada tahun 1994, Hamdan sekali lagi bertukar kerjaya dengan berhenti kerja sebagai kerani pendaftaran kenderaan untuk AH Motor dan bertukar kerjaya sebagai seorang car jockey di Hotel Syuen Ipoh.
Rahul, editor orangperak.com bersama-sama dengan Hamdan Senario
Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1995 sekali lagi Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli bertukar kerjaya sebagai seorang penghantar barang dan surat untuk syarikat Nationwide. Laluan utama yang dikawal selia oleh beliau adalah merangkumi sekitar kawasan Ipoh sehinggalah ke kawasan Sungai Siput. Itulah laluan rutin harian beliau untuk mencari rezeki yang halal demi menyara keluarganya.
Pada tahun 1995, terdapat satu program realiti televisyen yang mana ia amat popular di seluruh Malaysia dan ianya tidak lain tidak bukan adalah rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Sinaran Pasport Kegemilangan ialah sebuah pertandingan untuk mencungkil bakat di kalangan orang yang berbakat dalam bidang seni di seluruh Malaysia. Kali pertama disiarkan di TV3 pada tahun 1994 yang mana musim pertama dijuarai oleh Shamsul Ghau Ghau.
Fokus rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan berubah-ubah, di mana contohnya dalam dua musim pertama ia lebih memfokuskan kepada komedi, berbanding musim ketiga dan keempat yang lebih memfokuskan kepada nyanyian. Jadi sewaktu musim yang ke dua, Illya yang merupakan sahabat kepada Hamdan mengajak beliau untuk menyertai program realiti tersebut kerana kelebihan Hamdan yang pandai menyanyi.
Jadi mereka berdua merancang dan membuat keputusan untuk mencari seorang lagi individu untuk melengkapkan tiga peserta dalam satu kumpulan. Bermulanya disinilah terpilihnya Wahid yang menjadi pelengkap kepada mereka bertiga untuk membentuk satu kumpulan yang hebat. Ujibakat Sinaran Pasport Kegemilangan di kawasan Ipoh pada waktu itu diadakan di Hotel Syuen Ipoh. Sewaktu mereka bertiga datang menghadiri ujibakat, mereka dikehendaki untuk memberi nama kumpulan yang langsung tidak pernah mereka fikirkan sebelum ini.
Oleh yang demikian, nama kumpulan sebagai nama Serba Salah telah diberikan sendiri oleh Ahmad Hamdan apabila Illya dan Wahid terpinga-pinga mencari idea untuk nama kumpulan mereka pada hari ujibakat tersebut. Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli yang pada masa itu dalam keadaan Serba Salah terus memberi cadangan untuk meletakkan nama Serba Salah sebagai nama kumpulan mereka dan cadangan tersebut terus dipersetujui oleh Illya serta Wahid.
Berkat usaha gigih dan doa daripada keluarga, akhirnya mereka bertiga dari kumpulan Serba Salah telah berjaya menjuarai Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995. Berapa lama ketika selepas itu, maka wujudlah kumpulan Senario yang mana ia adalah hasil gabungan daripada juara (Shamsul Ghau Ghau) serta naib juara (Lan Pet Pet) Sinaran Pasport Kegemilangan musim pertama dan juara Sinaran Pasport Kegemilangan ke 2 iaitu kumpulan Serba Salah.
Hari ini, Hamdan Senario masih lagi aktif berkecimpung dalam dunia seni dan berlakon. Sesungguhnya beliau adalah seorang yang ramah dan senang untuk berbicara. Disebalik riangnya itu, ternyata banyak juga cabaran, rintangan dan dugaan yang tidak diceritakan kepada anda dalam usaha untuk memberikan hiburan yang bermanfaat dan punyai mesej kepada peminat setia Senario yang mana idea terpaksa diperah untuk sketsa baru setiap minggu. Banyak juga nasihat tentang kehidupan yang diberikan kepada editor orangperak.com sewaktu kami bertemu dengan beliau.
Pada Tahun 2014, kumpulan Senario telah dianugerahkan dengan Anugerah Komedi Sepanjang Zaman. Kesemua ahli Kumpulan Senario hadir bersama-sama di Anugerah Lawak Warna 2014 untuk menerima pengiktirafan tersebut. Moga dapat bertemu lagi di lain hari Encik Hamdan Senario. Terima kasih kerana sudi melayan kerenah kami untuk berjumpa dan berkongsi maklumat ini untuk pembaca setia orangperak.com dan semoga terus maju dalam apa jua bidang yang Encik Hamdan ceburi.