Gajah Serang Kenderaan di JRTB: PERHILITAN Nafi Kaitan dengan Kematian Anak Gajah Sebelum Ini

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan dakwaan bahawa kejadian tiga ekor gajah menyerang sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli malam tadi ada kaitan dengan insiden kematian anak gajah akibat dilanggar lori dua minggu lepas.
Menurut Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, kedua-dua kejadian itu berlaku di lokasi yang berbeza, meskipun berada di laluan yang sama.
“Kejadian terbaharu ini berlaku di Batu 11 berhampiran Tugu Peringatan JRTB Gerik-Jeli, manakala insiden kematian anak gajah berlaku berdekatan sempadan masuk ke Jeli, Kelantan,” jelasnya ketika dihubungi.
Semakan melalui aplikasi pemetaan mendapati jarak antara kedua-dua lokasi tersebut adalah kira-kira 50 kilometer (km).
Sebelum ini, media melaporkan bahawa PERHILITAN mengesahkan kejadian tiga ekor gajah mengamuk sehingga merosakkan kenderaan awam berhampiran Sungai Lebey, tidak jauh dari Tugu Peringatan JRTB Gerik-Jeli.
Pada 11 Mei lalu, tular rakaman menyayat hati menunjukkan seekor gajah betina seolah-olah ‘meratapi’ anaknya yang mati dilanggar lori muatan ayam di laluan sama. Anak gajah jantan berusia lima tahun seberat 700 kilogram itu maut di tempat kejadian.

Langkah Pencegahan Dipergiat
Yusoff memberitahu, PERHILITAN bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memasang lampu solar di 16 lokasi sepanjang JRTB Gerik-Jeli bagi mengurangkan risiko pertembungan antara kenderaan dan hidupan liar, terutamanya gajah yang sering merayau pada waktu malam.
“Kita akan menambah lebih banyak lampu solar di beberapa lokasi lain dalam tahun ini,” katanya.
Langkah proaktif ini diharap dapat mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa depan, sekaligus memastikan keselamatan kedua-dua pengguna jalan raya dan hidupan liar.