Semua orang tahu apakah itu sambal belacan. Sambal belacan adalah merupakan satu hidangan sampingan yang biasanya dimakan bersama ikan ataupun ulam. Apakah sebenarnya yang menarik minat penggemar sambal belacan yang sudah berkurun lamanya bertahan sejak dari dahulu lagi?
Kita semua tahu, negeri Kelantan popular dengan budunya, negeri Johor pula terkenal dengan sambal totok dan Melaka pula popular dengan cencaloknya. Namun bagaimana pula dengan negeri kita negeri Perak? Secara asasnya, Perak tidak punyai sambal belacan tersendiri seperti budu di Kelantan.
Berdasarkan temu bual editor orangperak.com dengan orang-orang lama di sekitar Titi Gantung, Bota. Apabila ditanya berkenaan dengan asal usul sambal belacan, ramai yang nyatakan ianya sudah lama dan berkemungkinan sudah wujud sejak sebelum zaman Hang Tuah lagi.
Selain daripada ikan kering, pekasam dan banyak lagi makanan lain, belacan adalah merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang yang dimampatkan dan tahan lama. Belacan diproses daripada udang geragau atau isi udang laut yang bersaiz kecil dan setelah apabila siap diproses boleh disimpan lama untuk kegunaan masakan.
William Marsden
Menurut buku yang bertajuk “A Dictionary of the Malayan Language” ditulis oleh William Marsden yang diterbitkan pada tahun 1812, perkataan belacan ada dimasukkan di dalam tulisannya dan ini membuktikan bahawa belacan telah diwujudkan oleh orang melayu sejak sebelum 1805 lagi. Sekadar pengetahuan am untuk semua, William Marsden adalah seorang orientalis, ahli bahasa, numismatis, dan perintis dalam kajian ilmiah Indonesia.
Berbalik kepada perbincangan asal dan tajuk artikel ini iaitu sambal belacan yang menjadi kegilaan orang Perak. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kesimpulan senarai ini dibuat berdasarkan temuramah dan pemilik restoran dan diambil secara purata dari 12 daerah yang ada di dalam negeri Perak.
Sambal Belacan Biasa
Sambal belacan biasa – Bukan orang Perak sahaja gemarkan sambal belacan, boleh dikatakan seluruh warga Malaysia gemarkan sambal belacan! Ini adalah asas untuk semua jenis sambal belacan yang ada. Rata-rata peminat sambal belacan hanya perlukan sambal belacan, ulaman dan nasi putih sahaja untuk puaskan nafsu makan mereka.
Sambal Belacan Tempoyak
Sambal belacan tempoyak – Asalannya dibuat apabila buah durian yang sudah ditebuk tupai atau burung dan dijadikan tempoyak apabila tidak sesuai dimakan mentah-mentah. Apabila dijadikan tempoyak, sedap pula dijadikan sambal belacan. Oleh kerana tidak mahu membazirkan durian yang ada, terciptalah tempoyak dan dipelbagaikan sehingga terjadinya sambal belacan.
Sambal Belacan Kuini
Sambal belacan kuini – Pernah dengar petua orang lama yang menyatakan bahawa buah kuini jangan dibuat sambal belacan nanti buah berulat. Ini tidak benar sama sekali kerana sebenarnya orang lama tersebut hendak anda tinggalkan sedikit buah kuini untuknya dibuat sambal belacan juga. Oleh kerana buah kuini ini bermusim, jadi sambal belacan kuini sering mendapat tempat di hati masyarakat kita.
Adakah anda juga peminat sambal belacan? Terliur teman semasa sunting artikel ini dan memikirkan makan tengah hari nak mencari sambal belacan kuini.