Telah termaktub dalam sejarah negeri Perak apabila kerajaan negeri Perak telah meluluskan satu penubuhan Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) pada Julai 2015 yang lalu. Penubuhan Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) adalah merupakan salah satu daripada enam inisiatif di bawah KRA kelima Gagasan Perak Amanjaya iaitu angkatan generasi muda yang partisipatif dan keharmonian masyarakat.
Pernahkah anda pembaca setia orangperak.com dengar tentang Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) ini? Disini izinkan kami untuk terangkan serba sedikit berkenaan dengan tujuan penubuhan Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) agar anda tahu apakah fungsinya dalam negeri Perak.
Tujuan utama penubuhan Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) adalah untuk melahirkan dan mengasah bakat-bakat baru dalam kepimpinan negeri sebagai pelapis pemimpim di masa hadapan. Selain daripada itu, ia juga dapat mempertingkatkan keberkesanan dalam memberikan saluran kepada belia untuk menyalurkan input serta maklumat supaya segala usaha berkaitan dengan pembangunan belia di Perak dapat diketengahkan.
Platform Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) di negeri Perak ini terdiri daripada belia-belia yang dipilih mewakili pelbagai lapisan masyarakat di Negeri Perak. Mereka datang dari pelbagai jenis dan tahap latar belakang dalam pelbagai sektor dengan tanpa sebarang fahaman politik. Ada yang berpendidikan tinggi, ada orang kampung, ada yang berjaya dalam perniagaan, pelbagai pergerakan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan banyak lagi.
Apa yang menariknya tentang Dewan Belia Perak ini adalah, ahli-ahli Dewan Belia Perak ini akan berbahas sesama mereka dan menyuarakan pandangan, berbincang serta menjana idea-idea baru dengan mencadangankan apa sahaja idea yang berkaitan dengan pembangunan belia. Segala input perbincangan akan dibawa dan disalurkan kepada Kerajaan Negeri untuk dibincangkan terus meningkatkan peluang pelaksanaanya dan pembuatan polisi yang berkaitan.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, salah satu segmen ahli Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) adalah daripada Dewan Belia Perak yang dianggotai oleh 60 orang belia dari pelbagai bidang dan akan bersidang dalam setahun sebanyak dua kali di Dewan Undangan Negeri yang sebenar mengikut etika dewan sebenar seperti adanya speaker, cokmar, perintah tetap dan lain-lain.
Usul yang dibawa oleh Ahli Dewan Belia sewaktu berbahas untuk mengutarakan suara dan pandangan belia dalam segmen mereka atau belia setempat akan dibawa ke mesyuarat Mesyurat Exco Kerajaan Negeri (MMK) dan jika ia perlu dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebenar, maka akan dibentang oleh adun-adun sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini pada tahun 2016 dan 2017.
Pada tahun 2017 ini adalah merupakan pengambilan kali ke dua buat Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA). Pemilik kepada projek orangperak.com telah ke kem pemilihan dan ingin berkongsi pengalaman kepada pembaca setia tentang apa yang berlaku dalam kem tersebut. Hal ini mungkin boleh dijadikan rujukan belia-belia untuk pemilihan yang akan datang dan membuka mata belia lain supaya tahu tentang kewujudan Dewan Belia Perak ini.
************************
Assalamualaikum, Salam sejahtera dan Salam Perak Amanjaya saya ucapkan kepada semua pembaca yang dikasihi. Terlebih dahulu, saya ingin rakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pembaca kerana sentiasa menyokong usaha ahli Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak yang tidak jemu keluar mencari bahan dan menerbitkan artikel-artikel baru untuk bacaan umum.
Dengan terbitnya artikel ini pada hari ini, saya yang merupakan pemilik kepada orangperak.com ingin berkongsikan pengalaman disepanjang saya berada di dalam kem pemilihan dan temuduga untuk perwakilan Dewan Belia Perak pada 11 hingga 13 Ogos 2017 yang lalu di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak. Sebelum saya mula bercerita tentang pengalaman saya disana, izinkan saya perkenalkan keperabadian diri saya secara ringkas.
Saya adalah seorang belia yang berumur 29 tahun. Saya bukanlah pelajar lepasan universiti, saya bukanlah seorang yang hebat dalam pelajaran. Saya hanyalah pelajar lepasan Kolej Komuniti yang berjiwa besar dalam mendidik, menyemai nilai adat dan kemasyarakatan ke dalam hati orang ramai kerana saya percaya, negara yang berjaya adalah dipenuhi dengan rakyat yang kenal asal usul negaranya. Jadi, disinilah lahirnya projek web kenegerian orangperak.com sebagai salah satu usaha kecil untuk menjayakan impian yang besar.
Berbalik kepada penceritaan saya untuk pengalaman sewaktu berada di kem pemilihan dan temuduga untuk perwakilan Dewan Belia Perak tempoh hari. Saya sampai di Kompleks Rakan Muda Kampar seawal jam 3.30 petang dengan berpakaian kemeja kemas. Oleh kerana cuaca gelap ditemani hujan lebat, saya hanya menunggu di dalam kereta sehingga 4.30 petang untuk mendaftar di kaunter pendaftaran.
Tepat jam 4.30 petang, hujan masih lagi tidak berhenti. Dengan tidak membuang masa, saya terus mengambil fail dan dokumen penting dan terus berlari ke kaunter pendaftaran meredah hujan. Pada waktu itu, tidak ramai lagi yang hadir dan saya adalah individu yang ke 3 mendaftarkan diri ke dalam kem pemilihan tersebut. Setelah mendaftarkan diri, saya terus ke tempat penginapan dan menunggu acara seterusnya yang akan berlaku selepas maghrib.
Sementara berehat di bilik yang disediakan, seorang demi seorang datang memenuhi bilik yang saya tinggal. Kami berkenalan sesama sendiri dan cepat mesra selepas berkenalan. Kami semua boleh ketawa berama-sama bergurau senda walaupun baru sahaja berkenalan selepas beberapa jam. Kaunter pendaftaran ditutup pada jam 7.30 petang dan kami semua menunaikan solat maghrib secara berjemaah di masjid.
Setelah selesai solat maghrib, kami semua diminta berkumpul di dewan untuk jalankan aktiviti yang disediakan. Terdapat banyak aktiviti “ice breaking” yang dijalankan untuk membuatkan para peserta rasa selesa dengan persekitaran dan sesiapa sahaja yang berada disekeliling masing-masing. Pada malam itu juga terbentuk 8 kumpulan kecil dari keseluruhan peserta dan saya dilantik menjadi ketua kumpulan untuk kumpulan 8.
Hari pertama berlalu dengan senyuman dan gelak ketawa. Apabila fajar menjelma pada 12 Ogos 2017, bermulalah satu episod baru dalam kem pemilihan ini. Aktiviti pagi hanya dipenuhi dengan sembang santai untuk lebih kenal ahli kumpulan masing-masing. Apa yang penting dalam aktiviti pagi itu adalah kami semua diajar tentang cara bagaimana untuk bercakap di khalayak ramai dalam pelbagai jenis situasi.
Pada sebelah tengah hari pula, peserta dikehendaki untuk berucap dengan teks yang disediakan dalam jenis situasi yang diminta. Sukar untuk berucap dalam situasi berkenaan teks yang tidak berkaitan yang mana dalam hal saya, saya dapat teks berkenaan tentang jalur gemilang dan diminta untuk berucap dalam situasi sewaktu berada di dalam majlis hari jadi.
Pada sebelah petang pula, acaranya lebih sukar. Kami diminta untuk pilih satu tajuk yang berkaitan dengan belia dan diminta untuk membuat ucapan dihadapan para peserta yang lain. Dalam masa yang sama, ucapan akan direkodkan dengan menggunakan telefon peserta sendiri. Ini adalah kali pertama dan pengalaman baru buat saya dalam berucap di hadapan orang ramai. Nasib baik saya dapat lakukan ucapan sehingga habis walaupun perasaan gugup dan gentar hampir memakan diri.
Program tersebut tidak habis disitu sahaja. Setelah habis semua peserta berucap, kami pun terus cabut undi untuk persediaan ujian ucapan pada malam pula. Dalam cabut undi tersebut, tajuk ucapan yang perlu saya bahaskan adalah berkenaan dengan 1 Belia 1 Kemahiran. Kelainan untuk ujian malam itu adalah ucapan akan menggunakan microphone dan akan dilihati dengan lebih ramai peserta lain.
Alhamdulillah, walaupun ini adalah kali pertama saya berucap dengan menggunakan microphone di khalayak ramai. Saya telah berjaya selesaikan ujian tersebut walaupun saya tahu ucapan saya tidaklah baik seperti peserta-peserta lain. Tidak pernah terfikir di kotak fikiran saya untuk terlibat dengan program yang bagus seperti ini. Sedikit sebanyak, ia banyak memberi pendedahan dan ilmu baru pada saya tentang berucap di khalayak ramai.
Pada 13 Ogos 2017, hari terakhir adalah ujian temuduga. Tepat jam 9 pagi saya dah sampai di depan pintu bilik penemu duga. Sayalah orang yang pertama sampai dan terus saya semak senarai peserta yang akan temuduga di bilik yang sama dengan saya. Malangnya, saya adalah peserta yang ke 10 iaitu yang terakhir dalam kumpulan yang dijadualkan untuk bertemu dengan penemuduga.
Terpaksalah saya tunggu sehingga giliran saya. Secara purata, seorang peserta yang ditemuduga akan mengambil masa selama 30 minit. Saya menunggu lebih 4 jam di pintu bilik temuduga untuk giliran saya. Akhirnya, tepat jam 1.30 petang, tibalah giliran saya bertemu dengan penemuduga. Bagi saya, sewaktu berbicara dengan penemuduga tidaklah sesukar berucap di khalayak orang ramai dan saya rasakan saya dapat buat yang terbaik untuk ujian temuduga.
Selepas tamat temuduga, saya rasa sayalah peserta yang paling akhir keluar dari kawasan Kompleks Rakan Muda Kampar. Berkemaslah saya seorang diri di bilik sambil melihat kawasan sekeliling kosong sama keadaannya seperti mula-mula mendaftarkan diri pada 11 Ogos 2017 yang lalu. Disinilah saya dapat pengalaman baru dan kenalan baru yang hebat-hebat belaka.
Akhirnya, saya ucapkan semoga maju jaya dan semoga berjaya kepada semua peserta Kem Pemilihan dan Temuduga Perwakilan Dewan Belia Perak! Kepada semua pembaca setia orangperak.com yang belia dan berminat untuk turut serta dalam Dewan Belia Perak, nantikan pengumuman jika ada pemilihan terbaru di masa yang akan datang di facebook rasmi Majlis Perundingan Pemimpin Muda Perak Amanjaya (MP2MPA) facebook.com/mp2mpa
Sekian, terima kasih.