Pernahkah anda dengar akan nama Jubilee Park? Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Jubilee Park terletak di Medan Selera Taman Kanak Kanak (TKK), Ipoh. Lokasinya betul-betul bersebelahan dengan Jalan Dato taḥwīl Azhar.
Anak-anak zaman sekarang mungkin tidak tahu bertapa hebat dan gahnya Jubilee Park pada satu ketika dahulu. Teruskan membaca untuk lebih mengenali tentang Jubilee Park. Pada asalnya dalam sekitar tahun 1931 sebelum Jubilee Park dibina, ianya adalah sebidang tanah yang terbentang dan kawasan itu digunakan sebagai ruang untuk mengumpul wang dana dengan membuat persembahan hiburan untuk didermakan kepada mangsa-mangsa banjir besar yang melanda negara China pada tahun 1931.
Banjir besar ini berlaku di tengah kawasan China sehingga menyebabkan kematian dianggarkan melebihi 4 juta orang. Aktiviti mengumpul wang dana dengan membuat persembahan hiburan oleh masyarakat cina di kawasan asal Jubilee Park bukan sahaja berjalan di kawasan Ipoh, malah ianya berlaku di seluruh dunia. Masyarakat cina di seluruh dunia bersungguh-sungguh dan giat mengumpul wang dana dan kutipan derma untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di negara asal mereka, negara China.
Berikutan keadaan di negara China telah beransur pulih dari bencana banjir, aktiviti mengutip derma pun dihentikan. Kawasan tanah yang digunakan oleh mereka untuk menjalankan persembahan untuk mengutip derma kemudian dibeli oleh John Archibald Russell yang merupakan seorang ahli perniagaan lombong arang batu serta beliau adalah pengasas kepada Malayan Collieries Ltd.
John Archibald Russell
John Archibald Russell kemudian memajak tanah kawasan lapang tersebut kepada Shaw Brothers pada 30 April 1935 untuk tempoh masa 5 tahun. Shaw Brothers kemudian membina dan membangunkan taman tersebut seterusnya memperkenalkan Taman Hiburan Ipoh yang pertama di sekitar Ipoh. Selepas beberapa bulan diperkenalkan, nama Taman Hiburan Ipoh kemudian ditukarkan ke nama Jubilee Park sempena memperingati Silver Jubilee of King George V.
Pajakan tanah untuk Jubilee Park kemudian diperbaharui pada tahun 1939 untuk ditambah selama 10 tahun lagi. Entah bagaimana setelah beberapa tahun, apa yang diketahui adalah kawasan tanah Jubilee Park telah dijual kepada Tan Sri Dr Runme Shaw yang merupakan pengerusi dan pengasas Pertubuhan Shaw di Singapura. Dikatakan tanah di kawasan Jubilee Park masih lagi dimiliki oleh Pertubuhan Shaw sehingga ke hari ini namun tidak diketahui kesahihannya.
Tan Sri Dr Runme Shaw
Satu ketika dahulu, Jubilee Park adalah antara pusat hiburan utama di bandaraya Ipoh. Pada asalnya, taman hiburan ini punyai keluasan empat ekar dan sebahagian darinya adalah kawasan terbuka. Terdapat juga beberapa bangunan kayu dan pentas untuk persembahan serta konsert. Inilah tarikan utama buat mereka yang ada di sekitar Kinta kerana disinilah sumber hiburan yang ada pada waktu itu.
Acara teater juga ada dipersembahkan di Jubilee Park. Mereka yang ingin duduk di barisan depan perlu membayar 25 sen. Terdapat ramai pelanggan lelaki yang datang dan kebanyakannya adalah orang-orang Inggeris. Mereka yang datang ke sana akan disajikan dengan persembahan dari artis-artis popular yang dibayar oleh Shaw Brothers yang amat popular dengan filem-filem P Ramlee.
Berthel Michael Iversen
Jubilee Park kedua dibina di kawasan yang sama dan direka bentuk oleh Berthel Michael Iversen. Beliau adalah seorang arkitek Denmark yang aktif di Malaysia dan beliau juga adalah pengasas kepada Iversen, van Sitteren & Partners. Disinilah terbina pelbagai jenis hiburan lain seperti pawagam, dewan konsert, tempat bermain basikal, kasul roda dan banyak lagi. Tidak lupa juga ada sudut “gaming” yang menawarkan permainan elektronik.