Catatan Frank Swettenham Berkenaan Tuntung Di Bota Kanan
Dalam tahun 1895, Sir Frank Athelstane Swettenham sewaktu menjadi Residen Perak pernah menyentuh dalam tulisannya berkenaan dengan ‘river turtle’. ‘River turtle’ yang dimaksudkan oleh Sir Frank Athelstane Swettenham adalah haiwan yang bernama tuntung.
Seperti kita semua sedia maklum, tuntung tergolong dalam kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura. Habitat utamanya adalah di perairan air payau. Namun di negeri Perak, Sungai Perak menjadi tempat tinggal utama tuntung. Tuntung dikatakan boleh hidup sehingga mencecah umur 70 hingga 80 tahun.
Terdapat juga rekod yang menyatakan bahawa tuntung mampu hidup sehingga berumur 100 tahun. Saiznya berbeza mengikut jantina kerana tuntung betina lebih besar daripada jantan. Tuntung betina boleh membesar sehingga 50 cm berbanding dengan tuntung jantan yang boleh membesar lebih kurang 40 cm mengikut karapasnya.
Di dalam catatan Sir Frank Athelstane Swettenham, beliau ada menyatakan bahawa pada setiap hujung tahun ketika paras air Sungai Perak tinggi, tuntung akan menghulu Sungai Perak bagi mencari kawasan berpasir di sekitar Bota untuk bertelur. Tempat yang paling kerap menjadi pilihan untuk tuntung bertelur ialah di Pasir Telor, Bota.
Telur tuntung adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan penyu. Frank Swettenham menyatakan bahawa orang Melayu sangat gemar memakan telur tuntung ini. Bahkan ia dianggap sebagai makanan istimewa diraja. Disebabkan itu, para wanita dari istana Perak akan ke tempat ini setiap tahun untuk mengutip telur tuntung.

Apabila air Sungai Perak mula meningkat pasang, akan ada orang yang ditugaskan untuk memerhati aktiviti tuntung bertelur. Oleh itu sewaktu musim tuntung bertelur, bot atau sampan tidak dibenarkan berlabuh di kawasan berpasir kerana dikhuatiri akan menggangu aktiviti tuntung yang ingin bertelur di kawasan tersebut.
Sarang tuntung mempunyai kedalaman sebanyak 3 hingga ke 4 kaki dalam dan ia punyai kira-kira 15 biji telur hingga 35 biji telur dalam setiap sarang. Tuntung dikatakan akan bertelur sebanyak 3 kali yang mana apabila siap bertelur untuk kali yang pertama, tuntung akan kembali ke dalam sungai dan pemerhati yang ditugaskan tadi akan ke sarang tersebut untuk mengambil telur lalu menghantar telur tersebut ke istana untuk dijadikan santapan Sultan.

Sir Frank Athelstane Swettenham
Apabila tuntung selesai bertelur untuk kali kedua, telur-telur yang ada sarang tersebut akan diambil oleh kerabat diraja. Manakala kawasan sarang yang tuntung bertelur buat kali ke tiga pula akan dibiarkan menetas untuk menjaga populasi tuntung di kawasan tersebut. Seluruh proses ini memakan masa kira-kira selama 6 bulan.
Dikatakan jika sarang tuntung yang pertama dan kedua dibiarkan tidak berusik, tuntung tersebut dengan sendirinya akan musnahkan sarangnya sendiri dan memusnahkan telur-telur tersebut.
Menurut laporan Frank Swettenham, apabila tuntung selesai membuat sarangan yang kedua, Sultan bersama kaum kerabat baginda serta pembesar-pembesar akan mudik ke Pasir Telor. Rombongan diraja ini terdiri daripada 150 orang yang menaiki 15 ke 20 rumah perahu besar serta beberapa rakit buluh. Rombongan diraja ini akan memakai pakaian yang indah serta keberangkatan Sultan turut diiringi dengan paluan nobat.
Hari ini, terdapat Pusat Konservasi Hidupan Liar Tuntung di Bota Kanan yang dibangunkan untuk mengawasi aspek pengutipan telur, pengeraman, penjagaan lepas menetas, pelepasan, penguatkuasaan serta pengawalan tuntung.
Sumber dan rujukan:
- Malay Sketches