Pusat Ternakan Tuntung Di Bota Kanan

Pusat ternakan tuntung ini terletak di Kampung Bota Kanan dalam daerah Perak Tengah iaitu 50km dari barat daya Bandar Ipoh, Perak. Ianya terletak berhampiran dengan tebing sebelah kanan Sungai Perak yang meliputi kawasan berpasir dengan keluasan lebih satu hektar.

tuntung

Tuntung tergolong dalam kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura. Habitat utamanya adalah di perairan air payau. Tuntung boleh hidup sehingga mencecah umur 70 hingga 80 tahun. Terdapat juga rekod yang mencatatkan tuntung mampu hidup sehingga berumur 100 tahun. Saiznya berbeza mengikut jantina kerana tuntung betina lebih besar daripada jantan. Tuntung betina boleh membesar sehingga 50 cm berbanding dengan tuntung jantan yang boleh membesar lebih kurang 40 cm mengikut karapasnya.

Di antara perbezaan tuntung dengan penyu adalah ia mempunyai kaki renang yang berkuku seperti kura-kura. Ini membolehkan mereka berjalan di atas tanah atau pasir untuk bertelur. Tuntung mempunyai kepala yang kecil dan boleh disembunyikan di dalam karapasnya apabila diganggu. Anak tuntung biasanya mempunyai lunas vertabrat (lunas tulang belakang) yang lebih menonjol di balik karapasnya berbanding tuntung dewasa. Tuntung khususnya anak tuntung amat mudah diancam oleh haiwan pemangsa seperti biawak, buaya sungai dan memerang.

Kompleks pusat ternakan tuntung ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam usaha memelihara spesies berkenaan seperti kolam pemeliharaan ibu tuntung, pusat penetasan serta bilik pameran. Ianya diwujudkan bagi mengatasi masalah kepupusan haiwan tuntung di samping bertindak untuk memulihara ekosistem tuntung. Pusat ini terdiri daripada sebuah bangunan pentadbiran yang mempunyai pejabat, bilik kuliah, makmal dan ruang legar untuk pameran.

Terdapat juga 4 buah kolam ibu, sebuah kolam anak dan tapak penetasan di sekitar kawasan pusat ini untuk menempatkan tuntung dewasa bertelur, anak-anak tuntung yang baru menetas dan untuk proses pengeraman telur-telur tuntung. Selain berupaya menjadi aset pelancongan popular di Bota Kanan, kompleks berkenaan juga penting terutama bagi generasi muda untuk mengenali dan menjalankan kajian mengenai tuntung.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

46 − = 42