Dipercayai perlombongan bijih timah di sini telah wujud sebelum tahun 1689. Berada di Banjaran Bintang dan hampir menyambung Banjaran Titiwangsa, perlombongan bijih timah di sini beroperasi di kawasan Gunung Paku yang berada pada ketinggian 2,200 kaki dari paras laut.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, selain bijih timah, Kelian Intan juga adalah salah satu tempat bersejarah kerana di sini lah pertemuan pertama Chin Peng bersama Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj bermula. Dipercayai juga ibu Chin Peng juga menetap di sini. Sekarang hampir 8 terowong komunis telah ditemui di sini dan banyak lagi bukti-bukti pada zaman itu.
Perkampungan kecil yang ada di Hulu Perak dan dipenuhi dengan masyarakat kaum cina yang dahulunya pelombong bijih timah bernama Kelian Intan ini punyai 1,001 kisah dan cerita yang ramai orang tidak tahu.
Ada banyak versi penceritaan tentang asal usul nama Kelian Intan yang diceritakan secara lisan oleh orang lama di kawasan tersebut. Apabila kita bersembang dengan orang lama, ceritanya pasti menarik untuk didengarkan!
Pada 16 Julai 1909 sewaktu upacara penyerahan daerah Reman ke negeri Perak, pegawai daerah Hulu Perak pada waktu itu Hubert Berkeley ada mengisahkan tentang nama asal Kelian Intan sebenarnya adalah Kelian Hitam. Perihal perkataan Hitam menjadi Intan ini adalah kerana sebutan huruf M di kalangan orang Melayu Pattani berbunyi huruf N. Oleh yang demikian, lama-kelamaan bertukarlah namanya dari Kelian Hitam menjadi Kelian Hitan dan kemudian Kelian Intan.
Menurut Residen British di Perak yang ke 6 pula iaitu anak kepada Residen British pertama Perak bernama Ernest Woodford Birch lain pula dari kenyataan versi pegawai daerah Hulu Perak pada waktu itu. Menurut Ernest Woodford Birch, dalam catatan Datuk Sri Adika Raja ada menjelaskan bahawa nama Kelian Intan sememangnya telah digunakan sejak awal penemuan lombong timah lagi. Berikutan kepercayaan penduduk tempatan bahawa wujudnya intan di kawasan lombong menyebabkan nama kawasan tersebut diangkat sebagai Kelian Intan.
Tidak cukup dengan itu, menurut Ernest Woodford Birch lagi dalam merujuk penulisan Raja Azman Raja Abdul Hamid menjelaskan bahawa waktu dahulu ada seorang pembesar negeri Reman yang bernama Wan Itam dan dikatakan Wan Itamlah yang membuka lombong bijih timah yang terletak berhampiran dengan Gunung Paku.
Sejak kawasan perlombongan bijih timah dibuka oleh Wan Itam, kawasan tersebut dinamakan sebagai Kelian Wan Intan dan lama-kelamaan ia berubah menjadi Kelian Intan dan kekal sehingga ke hari ini.
Memetik cerita dari sumber lain yang ada kaitan dengan kewujudan nama serta kawasan Kelian Intan, difahamkan pada penghujung abad ke-18, Kelian Intan terletak dalam sempadan Perak Utara dan di sinilah para pelombong membayar cukai kepada wakil sultan.
Sementara itu, di Pattani, seorang kerabat pemerintah telah mengisytiharkan diri menjadi pemerintah yang berkuasa di Utara Pattani dan terkenal dengan jolokan Raja Reman.
Pada tahun 1821, ketika tentera Siam melancarkan serangan terhadap Kedah dan Perak, Raja Reman mencuri peluang meluaskan sempadan empayar kuasanya sehingga ke negeri Perak termasuklah kawasan perlombongan Kelian Intan. Pemerintah licik ini telah menguasai lombong-lombong dan menikmati hasil cukai selama beberapa tahun.
Kawasan Kelian Intan diisytiharkan secara rasmi milik negeri Perak pada tahun 1909 selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara kerajaan Siam dengan British pada 10 Mac 1909.
Sebelum Kelian Intan rasmi menjadi sebahagian dari Negeri Perak, telah berlaku beberapa siri peperangan antara rakyat Perak dengan kerajaan Siam yang telah mengorbankan banyak nyawa.
Selain itu, di Kelian Intan terdapat sebuah bangunan yang digelar Kelian Intan Town Committee. Suatu masa dahulu, bangunan ini menyimpan pelbagai peristiwa bersejarah yang amat besar untuk negara.
Kononnya di sini bermulanya rundingan damai yang pertama sebelum berlakunya Rundingan Baling. Di sini juga para tentera mengumpulkan mayat gerila Komunis yang terkorban. Namun, itu semua kisah dahulu dan kini bangunan ini dijadikan tapak Pasar Besar Kelian Intan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.