Kisah Raja Muda Perak Minta Bekas Banduan Jahitkan Kasut

Salleh Talib dan Jamil Ahmad memegang rekod sebagai penghuni penjara paling lama di Malaysia iaitu lebih dari separuh usia mereka dan melebihi 30 tahun. Mereka telah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat kerana melakukan rompakan dibawah seksyen 4 akta senjata api 1972 dan turut dikenakan hukuman 6 sebatan rotan yang meninggalkan parut.

“Saya baca dalam akhbar, saudara ada kepakaran buat kasut ya? Kalau macam tu bolehlah buatkan sepasang kasut untuk saya”, inilah titah permintaan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah (kini Sultan Perak ke 35) yang berkenan untuk menerima menghadap bekas banduan iaitu Salleh Talib di Istana Iskandariah pada 7 Ogos 2006 beberapa hari selepas dibebaskan dari penjara.

Seperti yang sudah diceritakan, Salleh Talib dan Jamil Ahmad dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat pada 1976 selepas disabitkan kesalaham dalam rompakan bersenjata di Baling, Kedah melibatkan wang gaji Felda sebanyak RM50,000 ketika masing-masing berumur 27 dan 26 tahun. Anda boleh rujuk artikel Rekod Tahanan Penjara Paling Lama Malaysia Di Penjara Taiping.

Kisah Raja Muda Perak Minta Bekas Banduan Jahitkan Kasut

Pertempuan Salleh Talib dan Jamil Ahmad dengan Raja Muda Perak dalam sebuah majlis penganugerahan sumbangan adalah berlangsung secara simbolik untuk melambangkan hasrat baginda Raja Muda Perak untuk mengajak masyarakat supaya dapat memainkan peranan aktif dalam membantu bekas banduan menjalani kehidupan biasa.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, Raja Muda Perak iaitu Raja Nazrin Shah (kini Sultan Perak ke 35) mengambil peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai pengalaman Salleh Talib sepanjang 30 tahun berada dalam penjara dan apakah perancangan beliau untuk masa depan.

Raja Nazrin juga turut bergurau dengan Salleh Talib yang mana pada waktu itu masih bujang untuk menjemputnya jika hendak bernikah. Raja Nazrin yang kelihatan mesra berbual-bual dengan Salleh Talib dalam loghat Perak turut meminta supaya Majlis Agama Islam Perak (MAIP) mendapatkan khidmat Salleh Talib memberi motivasi dan ceramah kepada para belia mengenai pengalamannya sebagai banduan paling lama tinggal dalam penjara di negara ini.

Kisah Raja Muda Perak Minta Bekas Banduan Jahitkan Kasut

Raja Muda Perak percaya pengalaman pahit mereka berdua itu mampu untuk dijadikan sebagai peringatan terutamanya kepada generasi muda hari ini yang selalu leka dengan mainan dunia. Masyarakat juga harus memainkan peranan yang besar dalam membantu dan menyokong usaha pemulihan yang telah dirintis oleh Jabatan Penjara dengan memastikan mereka yang telah tamat menjalani hukuman diserapkan secepat mungkin ke dalam masyarakat tanpa prasangka.

Sebagai tanda sokongan kepada Salleh Talib untuknya memulakan kehidupan baru, baginda juga turut meminta semua para pembesar di negeri Perak menempah kasut masing-masing daripada Salleh Talib. Salleh Talib yang berpakaian lengkap baju Melayu warna merah jambu dan bersamping songket kelihatan tersenyum sambil menyatakan kesanggupannya menjahit sepasang kasut untuk baginda.

Baca artikel berkaitan Rekod Tahanan Penjara Paling Lama Malaysia Di Penjara Taiping

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.