Siapa sangka artikel terbitan orangperak.com bertarikh 14 Ogos 2017 tempoh hari yang menyatakan tentang Kompleks Sejarah Pasir Salak kini semakin lama semakin hilang serinya kerana semakin kekurangan pengunjung telah berjaya mendapat perhatian Raja Report Malaysia yang cukup terkenal iaitu tidak lain tidak bukan, Abdul Rani Bin Kulup Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Ayah.
Secara kebetulan, atas keprihatian individu bersama-sama organisasi hebat yang dinaungkan oleh Abdul Rani Bin Kulup Abdullah telah sebulat suara memilih Pasir Salak sebagai lokasi untuk perjumpaan semula ahli-ahli Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) Negeri Perak. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Abdul Rani Bin Kulup Abdullah, Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) serta mereka yang terlibat kerana memilih Pasir Salak sebagai lokasi pertemuan mereka.
Perjumpaan semula ahli-ahli Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) Negeri Perak di Pasir Salak ini secara tidak langsung menjadi langkah pertama untuk menghidupkan kembali dengan memberi nafas baharu kepada Pasir Salak yang semakin hari kian dilupakan. Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah ada menyuarakan kebimbangan beliau berkenaan dengan hal anak muda yang semakin lupakan hal sejarah dalam sidang media di Sayong Resort, Kuala Kangsar pada pagi 15 Ogos 2017.
“Pasir Salak tempat bersejarah, tetapi anak muda sekarang ini tidak tahu pasal Pasir Salak tu apa hal? Kita tidak mahu benda itu hilang ditelan zaman. Di Pasir Salak adalah lokasi kebangkitan orang-orang melayu zaman dahulu menentang penjajah. Marilah datang Pasir Salak!”, Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah.
Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah pembaca setia orangperak.com
Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah juga menegur secara umum kepada semua pihak yang tidak ada kesedaran dan kurangnya semangat kemerdekaan. Semangat kemerdekaan yang ada di dalam anak muda pada hari ini semakin pudar dan rata-rata mereka tidak lagi berminat untuk menyambut kemerdekaan. Hal ini dapat dibuktikan dengan kurangnya bendera Malaysia jalur gemilang yang dikibarkan dikawasan rumah, kenderaan atau lain-lain.
“Mana hilangnya semangat merdeka? Semangat kemerdekaan juga harus kita pupuk, tanam semangat patriotik pada anak-anak muda. Tolong ketepikan hal politik!”, pesanan dan seruan Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah.
Program penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) adalah bertujuan sebagai program pertemuan semula ahli-ahli persatuan di Pasir Salak. Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) akan disampaikan kepada 60 orang penerima anggota iaitu bekas 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) khususnya di negeri Perak dan mereka yang layak serta berkhidmat di dalam tentera antara tahun 1970 sehingga tahun 1989.
Rahul (editor orangperak.com) bersama Abdul Rani Bin Kulup Abdullah
Selain daripada mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli persatuan dengan masyarakat (orang awam) yang hadir nanti, program ini juga dapat menghimpunkan kembali bekas-bekas tentera yang sama-sama berjuang sehinggalah perletakan senjata oleh pengganas komunis pada tahun 1989. Selain itu, Ayahanda Abdul Rani Bin Kulup Abdullah ingin mempromosikan Pasir Salak kepada orang muda terutamanya untuk mereka sedar dan tahu apakah yang berlaku di sana pada zaman kita dijajah.
Pemilihan lokasi iaitu di Pasir Salak pula adalah satu pilihan yang tepat untuk dijadikan sebagai titik pertemuan insan-insan hebat yang mempertahankan keamanan negara daripada ancaman pengganas komunis kerana Pasir Salak amat kaya dengan cerita sejarah pahlawan melayu yang menentang penjajah Inggeris. Pasir Salak punyai cerita hebat yang tidak mungkin akan dapat dilupakan sejak dari dahulu sehinggalah ke hari ini.
Kesemua ahli Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Negeri Perak serta orang awam dijemput untuk hadirkan diri di Pasir Salak Eco Resort pada 15 dan 16 September 2017. Terdapat persembahan menarik serta istimewa yang akan dipersembahkan khas kepada mereka yang hadir.
- Lokasi : Pasir Salak Eco Resort
- Tarikh : 15 September 2017 ke 16 September 2017
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan program yang bakal dijalankan oleh Abdul Rani Bin Kulup Abdullah bersama-sama dengan Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) Negeri Perak ini, anda boleh terus berhubung dengan pengerusi Persatuan Bekas-Bekas Tentera (PERBA) negeri Perak di talian 0176897643 (Encik Ahmad Sahadan).