Kad Perak Sejahtera Ringankan Beban Golongan B40
Rata-rata penerima Kad Perak Sejahtera mengakui inisiatif kerajaan negeri itu banyak meringankan beban kehidupan mereka, terutamanya bagi golongan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar, miskin, dan B40.
Bagi Fatimah Ali, 56, dari Kampar, bantuan RM100 sebulan itu hampir menyamai pendapatan bulanannya sebagai penoreh getah yang hanya mencecah RM140.
“Alhamdulillah, saya tinggal di rumah pusaka bersama ibu berusia 81 tahun, jadi tidak perlu fikirkan sewa. Namun, saya perlu menjaga ibu yang terlantar sakit dan memerlukan lampin dewasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.
Lebih membebankan, Fatimah juga bertanggungjawab menjaga anaknya berusia 22 tahun yang menghadapi masalah kesihatan mental.
“Dengan Kad Perak Sejahtera, saya boleh beli lampin dewasa serta keperluan asas seperti beras, telur, dan gula. Bantuan ini sangat bermakna kerana ia diberikan setiap bulan,” ujarnya penuh syukur.
Beliau turut terharu dengan komitmen Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang sering turun padang memastikan kebajikan rakyat terjaga.
Bantuan Penyambung Nyawa
Sementara itu, Rokiah Ahmad, 59, dari Gopeng menganggap Kad Perak Sejahtera sebagai “penyelamat” sejak beliau tidak mampu bekerja akibat masalah kesihatan.
“Saya tinggal di rumah pusaka bersama dua abang, seorang kakak, dan dua cucu saudara. Mereka yang bekerja menyara keluarga. Dengan kad ini, saya boleh beli lampin dewasa dan keperluan diri tanpa membebankan ahli keluarga,” katanya.
Komitmen Kerajaan Negeri Basmi Kemiskinan Tegar
Pada 22 Februari lalu, Saarani mengumumkan seramai 19,012 KIR telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025.
Bantuan ini boleh digunakan di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh Perak, dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
Ini selaras dengan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Dengan bantuan ini, golongan yang memerlukan dapat bernafas lega, sekaligus mengurangkan tekanan hidup di tengah kos sara hidup yang semakin meningkat.
Rujukan :
- Kosmo!, 31 Mei 2025