Berhampiran dengan Kota Belanda, terdapat 1 batu bersurat belanda yang terletak kira-kira 100 meter di tepi pantai. Apa yang terpahat pada batu tersebut adalah gambar harimau yang sedang membaham seorang budak. Dua bulatan berbentuk daun dan juga perkataan-perkataan Belanda serta Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743”. Tahun yang dicatatkan sebagai tahun pendudukan semula Belanda di Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk yang diketuai oleh Panglima Kulup sekitar 1690-an.
Lain-lain pahatan yang ada mungkin merupakan nama-nama pemahat seperti yang dinyatakan secara huruf ringkas seperti ‘IK’, ‘R.O’, ‘BVH’, ‘PVL’, ‘VM’, ‘PP’ dan VOC merujuk kepada nama singkatan untuk Verenigde Oostindische Compagnie iaitu Syarikat Hindia Timur Belanda. Tiada keterangan lanjut yang sahih yang diperoleh di sini jadi para pelancong tidak akan dapat apa-apa maklumat tentang apa yang menariknya pasal batu ni. Adalah dengan cara bertanya kepada penduduk setempat, kita akan dapat dengar beberapa versi cerita berkenaan dengan batu ini.
Versi pertama menurut sumber penduduk tempatan, gambar ini dipahat oleh orang Belanda sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut pada tahun 1743 iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III (1728-1756). Orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.
Untuk Versi kedua pula, Orang Bugis dan orang Melayu telah menculik dan membunuh anak pembesar Belanda untuk membalas dendam di atas kekejaman Belanda melayan penduduk tempatan. Apabila askar Belanda mencari budak tersebut, penduduk tempatan mereka cerita dengan menyatakan mereka nampak harimau telah melarikan budak itu. Namun, penduduk Pulau Pangkor yang lain percaya bukan harimau yang melarikan budak tersebut tetapi pembesar Melayu yang tidak puas hati dan ingin membebaskan Pangkor dari Belanda. Oleh sebab itulah askar Belanda ini melukis gambar harimau yang melambangkan ‘orang Melayu’. Batu ini juga dikenali sebagai ‘Tiger Rock’ kerana adanya gambar harimau tersebut.
Dalam Versi ketiga menceritakan Orang Belanda mengatakan anak kepada pembesar Belanda hilang dan dipercayai dibaham harimau. Walau bagaimanapun mengikut sumber penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh Belanda untuk menutup malu sebenarnya anak pembesar Belanda dilarikan oleh lanun.
Penduduk tempatan juga mengatakan bahawa dahulunya batu ini bersaiz lebih kecil daripada sekarang dan secara tidak lansung percaya yang batu ini seolah-olah hidup kerana ia mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil. Panjang batu ini kini adalah 10.7 meter, lebarnya 4.6 meter dan tingginya pula adalah 4.3 meter.