Lebih 500 Peserta Banjiri Perak Agrofest Fun Run 2025 di Sungai Siput

Suasana pagi di Arena Sungai Siput (U) di sini gamat dengan semangat kesukanan apabila lebih 500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Larian Santai Perak Agrofest (Perak Agrofest Fun Run 2025).
Acara larian yang menjadi antara acara tumpuan sempena penganjuran Perak Agrofest 2025 itu telah dilepaskan secara rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly bin Harun, seawal jam 7.30 pagi.
Berucap pada majlis perasmian, Mohd Zolkafly berkata penganjuran kali kedua ini sengaja diadakan di luar kawasan utama Ladang Infoternak bagi membuka penyertaan yang lebih luas kepada komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti riadah yang inklusif, terbuka dan mesra keluarga.

Menurut beliau, penganjuran larian santai ini bukan sekadar acara pemanas badan untuk menyemarakkan kehangatan Perak Agrofest 2025, malah berfungsi sebagai wadah penting untuk memupuk dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Harapan saya agar program sebegini perlu diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, bukan sahaja untuk tujuan kesihatan dan kecergasan, malah untuk memperkukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan tinggi atas jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan pelbagai jabatan serta agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran program ini. Hubungan strategik ini, jelasnya, perlu terus diperkukuh agar setiap penganjuran program pada masa akan datang dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengambil kesempatan menjemput seluruh rakyat Perak untuk bersama-sama memeriahkan acara kemuncak Perak Agrofest 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 September ini di Ladang Infoternak, Sungai Siput.
Turut memeriahkan majlis pelepasan larian ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak, Encik Ahmad Zulkifli bin Ismail; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, YBrs. Dr. Sakduddin bin Zamli serta Ketua Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Encik Khaizurul Ezwan bin Baharuddin.
Kredit gambar Jabatan Pertanian Negeri Perak







