Cucu Sulung Kesayangan Sultan Perak Ke 30

bantu kami teruskan operasi : donate

Segalanya bermula pada tahun 1926 sewaktu zaman pemerintahan Sultan Pahang Moden yang ke 3 iaitu Sultan Abdullah dan dalam masa yang sama iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Perak yang ke 30, Sultan Iskandar Shah. Kedua-dua Sultan pemerintah negeri yang hebat ini ditakdirkan telah berbesan sejak pada tarikh 23 Mei 1926 apabila anakanda tunggal Sultan Pahang yang bernama Tengku Abu Bakar dengan puteri Sultan Perak Raja Fatimah disatukan menjadi sepasang suami isteri.

Seperti semua pembaca setia orangperak.com sedia maklum, perkahwinan antara kerabat diraja dari mana-mana kerajaan sudah menjadi lumrah dan ianya adalah perkara biasa yang telah berlaku sejak dari dahulu lagi dan masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Apabila bersatunya putera dan puteri antara dua negeri, ianya adalah satu perkara yang dapat memberi kesan yang amat positif dalam mengeratkan lagi hubungan baik sesama rakyat antara dua negeri.

persandingan raja fatimah dan tengku abu bakar

Persandingan Tengku Abu Bakar dengan Raja Fatimah

Pada 24 Oktober 1930 iaitu 4 tahun selepas bernikah, pasangan diraja bahagia ini dianugerahkan seorang waris iaitu seorang putera yang comel dan diberi nama Tengku Ahmad Shah (kini Sultan Ahmad Shah). Baginda Tengku Ahmad Shah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang dan menjadi anakanda kedua buat pasangan Tengku Abu Bakar dengan Raja Fatimah selepas kelahiran puteri baginda berdua, Tengku Ainon.

Salasilah keluarga Sultan Ahmad Shah

Salasilah keluarga Sultan Ahmad Shah

Setelah 6 tahun Tengku Abu Bakar dan Raja Fatimah bergelar suami isteri, Sultan Pahang pada waktu itu iaitu Sultan Abdullah ditakdirkan telah mangkat pada tarikh 22 Jun 1932. Baginda meninggal dunia pada usia 57 tahun dan secara tidak langsung, Tengku Abu Bakar terus dinaikkan takhta menjadi Sultan Pahang dengan membawa gelaran Sultan Abu Bakar dan Raja Fatimah menjadi Tengku Ampuan Besar Pahang pada tarikh 24 Jun 1932.

Berbalik kepada penceritaan tentang Sultan Ahmad Shah, tahukah anda bahawa baginda sebenarnya adalah merupakan cucu sulung kepada Sultan Perak yang ke 30. Keputeraan baginda Sultan Ahmad pada waktu itu sudah pasti amat menggembirakan hati Sultan negeri Perak dan juga keluarga diraja disebelah negeri Pahang. Namun pada 4 Ogos 1938, Sultan Ahmad Shah yang pada waktu itu berusia 8 tahun telah kehilangan nenda tercinta dengan kemangkatan Sultan Iskandar Shah.

Pada mulanya, baginda Sultan Ahmad Shah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan kemudian menyambung pendidikan ke peringkat seterusnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sepertimana yang dihadapi oleh ramai pelajar yang lain, baginda Sultan Ahmad Shah juga tidak terkecuali daripada terkena tempias perang dunia ke 2 yang menyebabkan pendidikannya terganggu. Apa yang menariknya tetang Sultan Pahang ini, baginda dikatakan turut mempelajari bahasa Jepun sewaktu ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

sultan iskandar shah dengan cucu

Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) dengan cucu sulung baginda

Apabila usia cucu sulung kesayangan Sultan Perak yang ke 30 ini mencapai 35 tahun, Sultan Ahmad Shah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab. Kehadiran baginda untuk berkhidmat dalam ketenteraan membuatkan seluruh pelusuk rakyat jelata mengkagumi baginda dan baginda disifatkan sebagai seorang putera pilihan hati rakyat dan amat prihatin.

Sultan Ahmad Shah kemudian dinaikkan takhta menjadi Sultan Pahang moden yang ke 5 pada tarikh 8 Mei 1974. Hal ini adalah kerana ayahanda baginda iaitu Sultan Abu Bakar ditakdirkan telah mangkat pada tarikh 7 Mei 1974 sewaktu berusia 69 tahun. Peristiwa kemangkatan Sultan Abu Bakar dan peristiwa Sultan Ahmad Shah dinaikkan takhta menjadi Sultan Pahang ini berlaku pada ketika baginda Sultan Ahmad Shah berusia 44 tahun.

sultan ahmad shah

Sultan Ahmad Shah (Sultan Pahang Moden ke 5)

Tidak lupa juga maklumat berkenaan dengan baginda Sultan Ahmad Shah adalah merupakan Yang di Pertuan Agong Malaysia yang ketujuh. Baginda menjadi ketua dan memerintah negara sejak dari ditabalkan pada 26 April 1979 sehinggalah habis giliran pada 25 April 1984. Sultan Ahmad Shah adalah bukti yang menunjukkan bahawa Negeri Perak dan Negeri Pahang juga adalah bersaudara sama seperti Negeri Perak dengan Negeri Johor yang mana Permaisuri Johor sekarang dahulunya adalah Puteri Perak.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

sembangkuala

gambar-gambar kredit kepada SembangKuala

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.