Cerita Disebalik Perang Saudara Di Hulu Perak

bantu kami teruskan operasi : donate

Pada penghujung abad yang ke 19, sebuah peperangan telah meletus di Hulu Perak. Peperangan ini telah melibatkan daerah kecil di Lenggong yang dinamakan sebagai perang saudara. Apa yang berlaku dalam perang saudara itu dikatakan pada waktu itu, pembesar Melayu telah diguna-gunakan oleh orang asing untuk dilaga-lagakan supaya mereka bergaduh sesama sendiri agar mereka mendapat peluang untuk mengambil alih pemerintahan orang-orang Melayu.

Cerita yang diriwayatkan ini diharapkan dapat menjadi satu teladan untuk semua pembaca orangperak.com yang merupakan generasi sekarang dan juga akan datang agar perkara yang sama tidak akan berulang lagi. Dahulu, Reman adalah berada dalam daerah Hulu Perak dan terletak dengan Patani. Kerajaan Melayu di Patani adalah sebuah kerajaan yang berteraskan agama Islam dan dikatakan sebuah kerajaan yang amat kuat dan stabil dalam pemerintahannya sejak abad ke 17 hingga abad yang ke 18.

Untuk pengetahuan anda, sebahagian daripada Hulu Perak yang bermula dari tempat yang dinamakan sebagai Bukit Nasah di bahagian selatan adalah di bawah kekuasaan Siam. Kerajaan Siam telah melantik pembesar dan wakil raja sebagai pemerintah di bahagian Perak Hulu yang dulunya dikenali sebagai Negeri Reman. Pemerintahan kerajaan Melayu Reman itu berpusat di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Selarong yang mana terletak tidak jauh dari pekan kecil Pangkalan Hulu atau dahulunya dikenali dengan nama Pekan Kroh.

Perang Saudara Di Hulu Perak

Bekas istana Tuan Jagung milik Raja Reman yang terakhir masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Di kampung ini juga terdapat makam permaisuri Cik Neng, iaitu isteri Tuan Jagung. Untuk makluman anda, Permaisuri Cik Neng telah mangkat pada 1915. Cerita kemangkatan permaisuri ini ada kait ceritanya dengan rasa rindunya terhadap kematian putera bongsunya yang bernama Tuan Lebih Long Raya yang bakal menjadi Raja Reman. Putera Raja Reman ini telah ditangkap oleh pemerintah Siam pada tahun 1899 dan telah dibunuh di Bangkok kerana disyaki menjalankan kegiatan untuk memerdekakan Reman daripada cengkaman Siam.

Apabila Siam telah menakluki Patani, negeri disitu telah dipecah-pecahkan kepada negeri-negeri kecil. Siam terus melantik pembesar Melayu menjadi raja atau pemerintah di negeri yang dipecahkan mereka itu tadi. Reman adalah salah satu daripadanya. Terdapat beberapa batu tanda yang menjadi sempadan antara negeri Perak di bahagian hulu dengan negeri Reman yang berada di bawah kuasa siam. Ianya terletak di Kampung Kerunai yang ada di Gerik.

Perang Saudara Di Hulu Perak

Pada tahun 1882, satu perjanjian telah dibuat antara kerajaan negeri Perak di bawah jajahan Inggeris dengan Tuan Jagung iaitu Raja Reman yang berada di bawah taklukan Siam. Perjanjian tersebut menyatakan kata sepakat untuk membuat sempadan baru di Bukit Nasha yang terletak kira-kira lima kilometer ke selatan pekan Gerik. Dari situlah Bukit Nasha mendapat nama sempena ayat “nak disahkan satu perjanjian”.

Pada tahun 1899 pula, satu perjanjian baru dibuat bagi menentukan sempadan yang boleh diterima oleh orang Melayu di Hulu Perak. Sempadan baru itu terletak di Kerunai yang terletak di utara pekan Gerik. Di situ, terdapat beberapa batu tanda sempadan yang dibuat dengan simen berbentuk segi empat yang didirikan atas sempadan. Jarak antara setiap satu batu tanda itu adalah kira-kira satu km setiap satu.

Pada tahun 1909, Perjanjian Burney telah dibuat yang disempurnakan antara kerajaan Perak dengan kerajaan Siam. Dalam perjanjian itu, pihak Siam yang menguasai kerajaan Melayu Reman sejak tahun 1826 telah bersetuju untuk menyerahkan sebahagian besar Hulu Perak yang luasnya kira-kira 1,800 km persegi kepada kerajaan Negeri Perak. Sejak penyerahan itu, daerah Hulu Perak yang rata-rata didiami oleh orang Melayu Patani dan bertutur dialek Melayu Patani bebas daripada cengkaman Siam. Namun kemerdekaan Hulu Perak bukanlah bermakna mereka terlepas daripada cengkaman penjajah lain.

Perang Saudara Di Hulu Perak

Selepas terlepas dari cengkaman siam, kini mereka berada pula di bawah pemerintahan Inggeris pula yang rakus mengaut khazanah hutan yang berharga di hutan belantara di kawasan tersebut. Nasib kerajaan Melayu Reman agak malang. Setelah kematian Tuan Jagung, kerajaan Siam terus memansuhkan pemerintahan beraja ke atasnya dan dengan itu berakhir sebuah kerajaan Melayu Reman yang memerintah sebahagian daripada Hulu Perak dan sebahagian Hulu Patani yang dahulunya di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Patani.

Perang saudara telah berakhir pada tahun 1909. Setelah perang saudara ini berakhir, Hulu Perak terus diserahkan kepada pemerintahan Negeri Perak yang mana pada ketika itu sedang dijajah oleh Inggeris. Penyerahan bumi itu oleh kerajaan Siam adalah hasil Perjanjian Burney antara kerajaan Siam dengan kerajaan Perak di bawah pemerintahan Inggeris.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.