Negeri Perak terkenal sebagai negeri yang pertama menerima teknologi dan kemudahan dinegara ini sejak dari zaman pemerintahan British sehinggalah merdeka. Kali ini orangperak.com akan menyentuh mengenai Plaza Tol pertama di Malaysia serta di rantau Asia.
Apabila kita sentuh mengenai lebuhraya mahupun jalan-jalan besar yang selesa di negara ini sudah tentu kita akan terfikir mengenai Lembah Klang yang terdapat banyak lebuhraya.
Namun tahukah anda bahawa lebuhraya bertol pertama di Malaysia bahkan juga sistem jalanraya bertol pertama rantau Asia terletak di negeri kita yang tercinta iaitu negeri Perak.
Jalan tersebut ialah jalan yang menghubungkan Slim River ke Tanjung Malim dibuka pada bulan Mac 1964. Jalan dua hala sepanjang 24 km ini dinamakan Lebuh raya Tanjung Malim – Slim River.
Lebuhraya tersebut dibuka pada tahun 1964 bagi menggantikan jalan lama berliku sejauh 33 km yang menghubungkan kedua-dua pekan tersebut. Ia dikenali sebagai Jalan Slim Village.
Lebuhraya Tanjung Malim – Slim River ini terletak di jajaran Federal Route 1. Jajaran ini merupakan jalan persekutuan pertama bagi menghubungkan Johor Bahru hingga ke Perlis dan telah siap dibina pada tahun 1909.
Sistem tol pertama ini mengenakan cas sebanyak RM1.00 untuk kereta, RM2.00 untuk kenderaan berat seperti lori dan bas dan RM0.50 bagi motorsikal sebelum pembinaan Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS).
Pada awalnya, kerajaan mengenakan tol bagi kedua-dua hala perjalanan namun selepas beberapa ketika, kerajaan hanya mengenakan tol bagi 1 hala iaitu dari Slim River ke Tanjung Malim sahaja.
Lebuhraya Utara-Selatan yang mula dibina pada 1988 akhirnya siap pada awal 1994. Dengan siapnya lebuhraya baru tersebut akhirnya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan kutipan tol di Lebuhraya Slim River – Tanjung Malim pada bulan April 1994 dan status jalan ini telah ditukarkan kepada jalan persekutuan. Kawasan plaza tol tersebut sekarang ini menjadi RNR Slim River dan bangunannya telah dijadikan sebagai stor simpanan JKR.