MAIPk Bangunkan Mercu Tanda Baharu di Ipoh, Angkat Seni Bina Tradisional Melayu

Bandaraya Ipoh bakal menyaksikan kemunculan sebuah mercu tanda baharu yang memadankan keunggulan moden dengan warisan seni bina Melayu klasik. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah memulakan pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) bernilai RM74.6 juta, yang dijangka menjadi ikon kebanggaan negeri Perak.
Semalam (19 September), Majlis Doa Selamat sempena permulaan pembinaan projek telah disempurnakan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, dan dihadiri oleh pegawai kerajaan, wakil komuniti, serta rakan strategik MAIPk.

Pembinaan KPPK dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, menjadikan April 2028 sebagai tarikh perkiraan siapnya projek bersejarah ini. GDP Arkitek telah dilantik sebagai perunding utama yang memastikan setiap terperinci reka bentuk memenuhi aspirasi MAIPk.
Projek ini bukan sekadar sebuah bangunan biasa, tetapi merupakan wawasan MAIPk untuk menghidupkan kembali seni bina warisan Melayu yang semakin terpinggir di tengah-tengah arus pemodenan. Menurut Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, reka bentuk KPPK terinspirasi daripada Rumah Kutai, iaitu rumah tradisional Perak, dengan sentuhan konsep seni bina Nusantara yang autentik.

“Pembangunan KPPK menggabungkan fungsi moden dan estetika warisan. Ia adalah langkah nyata untuk memartabatkan kembali seni bina Melayu yang semakin dilupakan,” ujar Mohd Annuar dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa kompleks ini akan menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan yang harmonis antara tradisi dan modenisasi. Selain berperanan sebagai pusat pentadbiran, KPPK juga dirancang sebagai destinasi pelancongan dan ruang edukasi tentang warisan budaya Melayu.

Antara ciri-ciri istimewa bangunan ini termasuk reka bentuk bumbung lima, ukiran kayu halus pada tiang dan tingkap, penggunaan bahan binaan tradisional, serta tona warna yang mencerminkan keindahan alam semula jadi. Tingkap bangunan turut dilengkapi dengan peneduh suria, menggabungkan elemen mesra alam dan praktikal.
Kompleks setinggi enam tingkat ini akan dilengkapi dengan dua tingkat basement yang menawarkan 314 lot parkir kereta dan 70 lot motosikal. Selain ruang pejabat dan komersial, KPPK akan menempatkan Galeri Warisan khas untuk tujuan pendidikan dan pemuliharaan budaya.

Tidak sekadar berfungsi sebagai pusat pentadbiran, KPPK diharap menjadi kebanggaan masyarakat dan simbol kelestarian warisan Melayu yang kekal relevan dari generasi ke generasi.

Laman Orang Perak turut dijemput hadir bagi menyaksikan perasmian mula kerja Kompleks Pentadbiran Dan Komersial Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Negeri Perak ini.

