Lembah Lenggong Catat Lonjakan Pelancong 280%, Pacu Ekonomi Lokal

Lembah Lenggong terus membuktikan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dengan mencatatkan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 280 peratus dalam tempoh dua tahun.
Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad, mendedahkan bahawa jumlah pengunjung melonjak daripada 24,770 orang pada 2022 kepada 114,182 orang pada 2023, hasil pelbagai usaha pembangunan berterusan di kawasan berkenaan.
“Pendapatan pemandu pelancong meningkat 237 peratus, manakala pengusaha penginapan turut menikmati pertumbuhan hasil sebanyak 145 peratus dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan ini memberi impak langsung kepada ekonomi masyarakat setempat, terutamanya komuniti luar bandar, termasuk kampung tradisional dan Orang Asli yang kini aktif dalam pelancongan, kraftangan, makanan tradisional, serta program homestay.
Saarani berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO Global Geopark (UGGp) di sini hari ini.

Potensi Besar Sebagai Destinasi Geopark Bertaraf Dunia
Menurut Saarani, kajian saintifik telah mengenal pasti 39 geotapak, 11 tapak geoarkeologi, lapan biotapak, dan 21 tapak budaya serta warisan yang berpotensi dibangunkan di Lembah Lenggong.
“Lima daripadanya telah diiktiraf memiliki nilai geologi bertaraf antarabangsa, merangkumi elemen warisan geologi, biodiversiti, budaya, dan arkeologi yang unik serta saling berkait,” jelasnya.
“Kepelbagaian sumber ini menjadikan Lembah Lenggong bukan sahaja penting untuk penyelidikan, malah sebagai destinasi pelancongan berdaya saing di peringkat global,” tambahnya.
Kerjasama Antarabangsa Perkukuh Kedudukan Lenggong
Kerajaan Negeri Perak juga giat memperkukuh kedudukan Lenggong di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan jaringan geopark luar negara, termasuk Jepun, Korea Selatan, dan Turki, serta penyertaan dalam persidangan antarabangsa.
“Lenggong bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi kini berkembang sebagai pusat pembangunan insan berasaskan warisan,” ujar Saarani.
Status UNESCO & Skop Pembangunan
Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012, meliputi kawasan seluas 22 kilometer persegi atau kira-kira 1% daripada keseluruhan Aspiring Lenggong UNESCO UGGp (2,248 km persegi).
Kawasan UGGp ini merangkumi lima mukim – Durian Pipit, Temelong, Lenggong, Kenering, dan Gerik – dengan jumlah penduduk seramai 61,039 orang.
Dengan pertumbuhan pesat ini, Lembah Lenggong dijangka terus menjadi antara destinasi pelancongan warisan paling dinamik di Malaysia, sekaligus menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi masyarakat setempat.
– BERNAMA
