OrangPerak
Utama Berita Jejak Warisan Waktu Solat Cuaca
Menjelang --:--:--
Subuh
06:00:00
Syuruk
07:05:00
Zohor
13:14:00
Asar
16:16:00
Maghrib
19:18:00
Isyak
20:27:00
Berita

Warga Emas Terperanjat Berdepan Gajah Liar di Kebun Durian di Sungai Siput

29 Jul 2025 · 1 min baca · 125 ·Oleh Iskandar Zulqarnain
Warga Emas Terperanjat Berdepan Gajah Liar di Kebun Durian di Sungai Siput Seorang wanita warga emas melalui detik mencemaskan apabila terserempak dengan seekor gajah liar jantan di kebun durian miliknya di Kampung Lasah pada Isnin lalu. Mariam Hitam, 63, berkata dia pergi ke kebun sekitar pukul 9 p

Warga Emas Terperanjat Berdepan Gajah Liar di Kebun Durian di Sungai Siput

Seorang wanita warga emas melalui detik mencemaskan apabila terserempak dengan seekor gajah liar jantan di kebun durian miliknya di Kampung Lasah pada Isnin lalu.

Mariam Hitam, 63, berkata dia pergi ke kebun sekitar pukul 9 pagi untuk mengutip durian tanpa menyedari kehadiran haiwan besar itu kerana mengira ia hanyalah batang pokok.

“Saya terkejut lihat gajah depan mata. Biasanya kita jumpa najis atau pokok yang dirosakkan gajah, tapi kali ini langsung tiada petunjuk (kehadiran gajah). Bunyi gajah pun tak kedengaran.

“Jadi saya tidak sedar haiwan tersebut berada begitu hampir dengan saya,” katanya ketika ditemui semasa operasi pemindahan gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini.

Mariam mengakui dirinya bersyukur kerana gajah tersebut tidak menyerang, sebaliknya membelakanginya sebelum berundur perlahan-lahan.

“Saya beritahu rakan mengenai kehadiran gajah, pada mulanya dia tidak percaya. Setelah diperiksa, kami sekali lagi terperanjat apabila ternampak seekor lagi gajah jantan tidak jauh dari lokasi tersebut.

“Sepanjang tinggal di sini, saya tidak pernah melihat gajah depan mata. Kejadian ini menyebabkan saya demam kerana terkejut,” luahnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan dua ekor gajah jantan berusia 25 tahun dengan berat sekitar 2.5 tan itu berasal dari kumpulan ID Piah.

“Aduan gangguan gajah diterima sejak Februari, namun semakin kerap bulan ini ekoran musim buah. Dua ekor gajah ini akan dipindahkan ke habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat,” jelasnya.

Kejadian itu dijangka meningkatkan kewaspadaan penduduk setempat terutamanya ketika musim buah-buahan, di mana konflik antara manusia dan hidupan liar sering berlaku.

-KOSMO! ONLINE

Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Lihat Profil →

Komen (0)

Tiada komen.

Tinggalkan Komen

maks 2000 aksara
Komen tertakluk kepada semakan sebelum dipaparkan.