Penceraian adalah putusnya suatu ikatan perkahwinan yang sah di depan hakim pengadilan berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan undang-undang. Di dalam agama Islam, penceraian adalah satu jalan yang terakhir dan merupakan sesuatu yang amat tidak disukai oleh Islam namun dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan khuluk atau tebus talak.
Di zaman teknologi maklumat yang moden pada hari ini, semuanya di hujung jari dan tidak ketinggalan juga tentang untuk memudahkan urusan menfailkan permohonan bagi pasangan Islam yang ingin bercerai. Sistem yang dikenali sebagai MySolve telah dibangunkan untuk memudahkan pasangan yang bermasalah untuk menfailkan pendaftaran penceraian mereka. Sistem ini telah dibangunkan sejak awal tahun 2016 lagi.
Apa yang menariknya, secara tidak lansung dengan pelaksanaan sistem ini telah menjadikan Perak antara negeri pertama yang memperkenalkan aplikasi permohonan cerai secara dalam talian yang dikenali sebagai MySolve dan ianya adalah yang pertama di dunia. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Dato Drs Mohd Nizar Zakaria, berkata sistem ini bukan untuk menggalakkan pasangan suami isteri bercerai, tetapi sebagai pemudah cara bagi mereka menyelesaikan masalah rumah tangga yang berbangkit.
Menerusi sistem MySolve yang dibangunkan ini, pasangan bermasalah yang ingin mendaftarkan perceraian tidak perlu lagi datang ke Mahkamah Syariah berulang kali kerana semua maklumat berkaitannya sudah disimpan dan direkodkan di dalam sistem selepas permohonan mereka dibuat. Untuk maklumat tambahan buat anda, sistem ini telah dibangunkan Jabatan Kehakiman Syariah Perak yang boleh diakses menerusi mysolve.perak.gov.my melalui komputer atau telefon mudah alih.
Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Asa’ari Mohd Yazid berkata sistem MySolve yang dibangunkan sejak Januari 2016 yang lalu adalah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak. Beliau berkata menerusi MySolve, permohonan cerai boleh diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh satu minggu berbanding prosedur biasa yang mengambil masa sehingga dua bulan yang mana ianya lebih efektif dan efeksyen untuk menyelesaikan masalah pasangan.
Dengan wujudnya sistem MySolve ini, ia dapat menjimatkan kos serta masa pasangan yang ingin bercerai ketika berurusan dengan Mahkamah Syariah. Selain itu, ia juga memberi kebaikan kepada mahkamah dalam memastikan pasangan mendapat tarikh sebutan perbicaraan yang sesuai serta dapat mengurangkan kesesakan di kaunter mahkamah dan menjadikan penyusunan penjadualan kes di mahkamah menjadi lebih teratur. Mereka yang menggunakan sistem MySolve ini akan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM50 untuk setiap satu permohonan penceraian.