Warisan seni budaya perlu terus dihidupkan, bukan sekadar dikenang
SERI MANJUNG, 24 Oktober 2026 – Warisan seni dan budaya perlu terus dipelihara serta dihidupkan dalam kehidupan seharian masyarakat, khususnya generasi muda, agar khazanah bangsa tidak terpinggir dalam arus kemajuan dan perkembangan teknologi.
Orang Besar Jajahan Manjung Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (Bersara) Datuk Shaharudin Nazari berkata warisan bukan sekadar tinggalan masa silam, sebaliknya amanah bangsa yang menyimpan kebijaksanaan, nilai budi dan pengalaman nenek moyang dalam membentuk jati diri masyarakat.
Beliau berkata puisi, lagu rakyat dan cerita tradisi bukan sahaja mencerminkan kehidupan masyarakat terdahulu, malah berperanan menyampaikan nasihat, nilai kemanusiaan serta pengalaman yang perlu diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Warisan tidak seharusnya hanya dikenang melalui cerita, tetapi perlu terus dihidupkan dalam pemikiran, amalan dan kehidupan seharian.
“Kita boleh melangkah jauh mengejar kemajuan, meneroka ilmu dan menguasai teknologi. Namun, jangan sampai ia menjauhkan kita daripada akar budaya sendiri. Jadikanlah kemajuan sebagai wahana untuk memperkenalkan khazanah bangsa kepada dunia, bukan sebagai alasan untuk meminggirkan warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Kalam Warisan sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di Dataran MADANI Seri Manjung, semalam.
Hadir sama Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff.
Menurut beliau, seni yang berakar daripada kehidupan rakyat mempunyai kekuatan untuk menyatukan masyarakat, mempererat hubungan sesama insan dan menjadi jambatan persefahaman dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa serta budaya.
Beliau berkata pemilihan Daerah Manjung sebagai tuan rumah PULARA 2026 turut memberi peluang kepada masyarakat setempat mengetengahkan keunikan warisan tempatan, termasuk kraf tangan, sajian tradisi dan kesenian yang mencerminkan identiti budaya Negeri Perak.
“Apabila universiti dan masyarakat saling mendekati, maka terjalinlah hubungan yang bukan sahaja memperkayakan ilmu, malah menyuburkan rasa kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan setempat.
Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program seperti PULARA Masuk Kampung dan Titian Budaya turut membolehkan festival berkenaan mendekati masyarakat serta menghubungkan dunia ilmu dengan kehidupan komuniti setempat.
Shaharudin berkata penganjuran festival itu juga berpotensi menyokong kegiatan ekonomi dan pelancongan budaya di daerah berkenaan, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk berkongsi dan memperkenalkan khazanah warisan mereka kepada khalayak lebih luas.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara universiti, penggiat seni dan komuniti setempat dapat diteruskan bagi memastikan warisan budaya terus berkembang serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Malam Kalam Warisan turut dimeriahkan dengan persembahan seni oleh bakat muda Shasha, Prof. Dr. Habib Zarbaliyev dari Azerbaijan, Dr. Zabidin Ismail, Ustazah Sharifah Khasif dan Man Bai.