OrangPerak
Utama Berita Jejak Warisan Waktu Solat Cuaca
Menjelang --:--:--
Subuh
05:59
Syuruk
07:04
Zohor
13:13
Asar
16:17
Maghrib
19:16
Isyak
20:25
Tokoh

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Bin Zaini: Pentadbir Dan Pemikir

17 Sep 2026 · 7 min baca · 54 ·Oleh Malik Syam
Biografi Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar Zaini, tokoh pentadbir dan pemikir berwibawa yang mencurahkan bakti dalam sektor awam, korporat serta agama di Malaysia.

Dalam landskap pentadbiran awam dan pembangunan negara, nama Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini berdiri sebagai antara tokoh yang disegani kerana ketegasan, kewibawaan, ketajaman pemikiran serta pengalaman luas merentasi sektor awam, korporat dan institusi kenegaraan. Keupayaan beliau menggabungkan kepakaran dalam pentadbiran, ekonomi, diplomasi dan pembangunan strategik telah meletakkan beliau sebagai seorang tokoh pentadbir yang dikenali memiliki sifat-sifat dinamik, pemikiran kritis, berterus terang, inovatif dan berani merentasi sempadan baharu serta melakukan penghijrahan pendekatan dan budaya kerja ketika memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Kini, beliau menggalas amanah sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, sebuah institusi yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam, memperkukuh syiar Islam serta memartabatkan adat Melayu di Negeri Perak. Mulai tahun 2022 beliau dilantik mewakili negeri Perak menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan dan mulai tahun 2024, beliau dilantik mewakili negeri Perak dalam Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam.

Sejak tahun 2004, beliau diperkenankan lantikan sebagai Ahli Dewan Negara Negeri Perak, dan pada tahun 2019, diperkenankan lantikan sebagai Anggota Lembaga Pengampunan Negeri Perak; dua lantikan tersebut memperlihatkan pengiktirafan dan kepercayaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak terhadap kebijaksanaan serta kewibawaan beliau.

Dilahirkan di Kampung Boyan Taiping pada 16 Oktober 1951, beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Umum Taiping pada tahun 1958. Apabila keluarga beliau berpindah ke Ipoh, beliau telah meneruskan persekolahan darjah satu di Sekolah Conolly Road Ipoh, kemudiannya di Sekolah Kebangsaan Jalan Pasir Putih Ipoh hingga Darjah Empat. Pada tahun 1962, beliau berjaya dipilih mengikuti pelajaran sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Pasir Puteh. Persekolahan menengah beliau bermula di Sekolah Menengah Rendah Sri Kepayang, Fair Park Ipoh. Pada tahun 1968-1972 beliau mengikuti pelajaran menengah atas di Sekolah Anderson Ipoh. Sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti beliau pernah bertugas sebagai guru (sementara) di Sekolah Raja Perempuan Takyah Ipoh dan kerani di Bank Bumiputera Ipoh.

Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1977, dan Ijazah Master of Art in Law and Diplomacy daripada The Fletcher School of Law and Diplomacy, Tufts University, Amerika Syarikat. Pendedahan pendidikan di institusi bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja memperkukuhkan asas ilmu beliau, malah membentuk perspektif global yang kemudiannya menjadi kekuatan utama membantu beliau dalam kepimpinan, melakukan analisis serta penggubalan dasar.

Beliau memulakan kerjaya dalam kerajaan apabila dipilih menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 19 September 1977, ditempatkan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, diikuti dengan penempatan di Majlis Keselamatan Negara. Pada tahun 1981-1986 beliau ditempatkan sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Dato’ Musa Hitam (Tun), yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri. Tempoh tersebut memberikan pengalaman yang amat berharga dalam pentadbiran tertinggi negara serta memperkukuhkan kefahaman beliau mengenai budaya politik tempatan, dasar-dasar nasional, keselamatan, hubungan antarabangsa dan tadbir urus kerajaan. Susulan perletakan jawatan Dato’ Musa Hitam (Tun) sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, beliau ditempatan di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan. Pada tahun 1989 – 1991 beliau memilih melanjutkan pelajaran peringkat pasca siswazah di Amerika Syarikat.

Setelah menamatkan pengajian pasca siswazah beliau, atas niat untuk menjaga ibu bapa yang uzur, beliau memilih untuk ditempatkan di Perak dan memulakan perkhidmatan di negeri Perak, sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dari tahun 1991 hingga 1993, kemudiannya diamanahkan menerajui Yayasan Perak sebagai Pengurus Besar bermula tahun 1993 sehingga beliau memilih bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1999. Sewaktu di Yayasan Perak, beliau memainkan peranan penting memperkukuhkan program-program pendidikan dan pembangunan modal insan, memperluaskan akses pendidikan di samping melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan demi kesejahteraan rakyat negeri Perak. Beliau berperan penting menjadi tenaga penggerak utama kepada penubuhan The Royal Perak Medical College, Tenby International School, Hospital Pantai Puteri Ipoh dan projek pelancongan di Pasir Salak dan Gua Tempurung.

Setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan, beliau mengambil tanggungjawab sebagai Fellow Kanan di Institut Strategik dan Antarabangsa (ISIS) (1999-2000). Pada tahun 2000-2001, beliau menyertai sektor swasta dilantik sebagai Perancang Pembangunan Sosial Pejabat Presiden MRCB (2000-2001); Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (2001-2004). Atas permintaan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) beliau kembali memberikan perkhidmatan dalam institusi kerajaan apabila dilantik menjadi Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA 2004-2010), Penasihat kepada Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (2007-2009). Beliau turut dilantik menganggotai Lembaga Penasihat Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau turut berperanan dalam pelbagai institusi pendidikan, menjadi ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya (2005-2009 dan 2014-2019), Pengerusi Pusat Perubatan Universiti Malaya (2005-2007), Pengerusi Lembaga Pengarah Universitiy Malaya Specialist Centre (2007-2009; 2014-2018), Konsultan Kehormat di Pejabat Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (2008-2010), Pengerusi penaja ASEAN SHEFFIELD Medical College (1994-1998) dan ahli Lembaga Pengarah Royal Perak Medical College (2005-2011), Pengerusi Lembaga Pengarah International University of Malaya-Wales Sdn Bhd (2015-2019), Profesor Adjung Pusat Penyelidikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Universiti Utara Malaysia (2008-2010). Pada tahun 2025, beliau dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaya.

Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau turut diberikan kepercayaan untuk menganggotai pelbagai lembaga pengarah syarikat tersenarai awam, syarikat swasta dan agensi berkaitan kerajaan. Beliau menjadi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat awam yang tersenarai di BSKL, antaranya Propel Berhad (2000-2003), Linkedua Malaysia Berhad (2000-2007), Malaysia Airline System Berhad (2005-2011), Plus Expressway Berhad (2007-2012), Tropicana Corporation Berhad (2007-2015), Manulife Holdings Berhad (2011-2020).

Ketika ini beliau dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi UDA Holdings Berhad (sejak Mac 2023), ahli Lembaga Pengarah PERKESO (sejak 2020), Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa kepada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (sejak 2024), Pengerusi 7-Eleven Holdings Berhad (sejak 2025), Pengerusi Steel Hawk Berhad (sejak 2026).

Antara syarikat yang tidak tersenarai, beliau ketika ini ialah Pengerusi Metropolitan Utilities Sdn Bhd (sejak 1997), Ipoh Sentral Development Sdn Bhd (sejak 2020), MRCB Land Sdn Bhd (sejak 2020), Country Annexe Sdn. Bhd (sejak 2020), BBCC Development Sdn Bhd. (sejak 2023), Ekowood International Berhad (sejak 2025), Pengerusi Aturan Lagenda Sdn. Bhd, (sejak 2026).

Penglibatan beliau dalam pelbagai institusi dan syarikat mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kemampuan beliau memberikan sumbangan dan pandangan strategik serta kepimpinan berimpak tinggi.

Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1979, bersama Zavirah Shaari, seorang pendidik yang banyak menyokong perjalanan kerjaya beliau. Pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Mengiktirafi jasa dan sumbangan beliau kepada negeri dan negara, pada tahun 1999 beliau dikurniakan anugerah Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP), oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, disusuli dengan anugerah Darjah Dato Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) pada tahun 2008, dan antara 25 individu yang terpilih dianugerahkan Darjah Dato' Seri Azlanii (D.S.A.) sempena sambutan Jubli Perak, 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada tahun 2009. Pada tahun 2007, beliau turut dianugerahkan Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, dan pada tahun 2022, dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Penganugerahan-penganugerahan tersebut merupakan simbol penghargaan tinggi negeri dan negara terhadap seorang insan yang telah mendedikasikan sebahagian besar hayatnya kepada perkhidmatan awam, pembangunan nasional dan kemajuan masyarakat.

Sesungguhnya, perjalanan hidup Tan Sri Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini bukan sekadar catatan mengenai jawatan yang pernah disandang, tetapi merupakan kisah seorang insan yang membina reputasi berasaskan integriti, kebijaksanaan, ketegasan dan kecemerlangan. Dengan pengalaman lebih empat dekad merentasi pentadbiran kerajaan, pembangunan ekonomi, diplomasi, korporat serta institusi pendidikan dan agama, beliau telah membuktikan bahawa kepimpinan sejati lahir daripada gabungan ilmu, amanah dan keikhlasan dalam berkhidmat.

Beliau kekal sebagai antara tokoh pentadbiran berpengaruh di Malaysia, seorang insan yang bukan sahaja mempunyai legasi melalui dasar dan institusi yang dipimpinnya, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu penjawat awam, pemimpin korporat dan anak muda untuk mengangkat nilai profesionalisme, integriti,keikhlasandan kecemerlangan demi agama, bangsa dan negara.

Komen (0)

Tiada komen.

Tinggalkan Komen

maks 2000 aksara
Komen tertakluk kepada semakan sebelum dipaparkan.