Pada tarikh 4 Januari 1963, Sultan Perak ke 32 iaitu Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah telah mangkat. Baginda telah memerintah negeri Perak selama 15 tahun lamanya.
Sebelum mangkat pada tarikh 4 Januari 1963, baginda mula gering sejak tarikh 22 Oktober 1962 lagi sewaktu berada di Istana Bukit Chandan dan akhirnya mangkat ketika usia 72 tahun.
Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah diputerakan pada 15 Januari 1890 di Kuala Kangsar dan baginda adalah merupakan salah seorang daripada putera kepada Almarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak ke 29).
Sultan Perak ke 32 ini mula menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu, Hogan School dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Baginda kemudian berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1911 di Jabatan Setiausaha Kerajaan.
Baginda juga pernah bertukar ke beberapa jabatan lain seperti ke Jabatan Tanah, Pejabat Daerah dan Mahkamah Daerah.
Dalam tahun 1919, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah telah dilantik menjadi Raja Di Hilir Perak dan kemudian dalam tahun 1921, baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara dan Ahli Dewan Negara.
Setelah dilantik menjadi Raja Muda dan Naib Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri pada tahun 1938, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah telah berhenti berkhidmat dengan perkhidmatan kerajaan.
Baginda Almarhun Sultan Perak ke 32 ini diangkat menjadi Sultan Perak pada tarikh 31 Mac 1948 selepas kemangkatan ayahanda saudara baginda iaitu Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31).
Bersesuaian dengan peruntukan yang terdapat dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, ia termaktub bahawa Sultan mestilah dipilih dan dilantik oleh Dewan Negeri Perak.
Pada 4 Januari 1963 untuk kesinambungan pemerintahan kesultanan negeri Perak selepas kemangkatan Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Majlis Mesyuarat Negeri sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Almarhum Sultan Idris Shah II sebagai Sultan Perak ke 33.
Untuk makluman anda, Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah (Sultan Perak ke 32) adalah ayahanda kepada Almarhum Sultan Azlan Shah (Sultan Perak ke 34) dan juga merupakan nenda kepada Sultan Nazrin Shah (Sultan Perak ke 35).
Sumber dan Rujukan:
- sembangkuala
- Arkib Negara Malaysia