Sejarah Madrasah Al-Ihsaniah Teluk Intan, Sumbangan Dari Sultan Idris Shah Kepada Ummah

Negeri Perak sememangnya terkenal dengan kepimpinan dan pemerintahan oleh Sultan-Sultan Perak yang adil dan menitikberatkan agama dalam masyarakat. Sejak dahulu negeri ini telah melahirkan tokoh-tokoh agama yang dihasilkan berkat tumpuan kerajaan terhadap sistem pengajian agama di negeri ini baik formal mahupun tidak formal.

Dalam artikel kali ini Orang Perak akan menyentuh mengenai Madrasah Ihsaniah Teluk Intan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan juga menjadi bukti betapa Sultan Perak mempunyai jasa yang besar dalam pembangunan madrasah ini.

Di negeri Perak, madrasah moden pertama negeri ini (juga bagi seluruh Tanah Melayu) dibina pada tahun 1901 terletak di sebuah bandar kecil Teluk Anson (kini Teluk Intan). Madrasah ini telah diberi nama Madrasah Al-Ihsaniah.

Cadangan untuk menubuhkan madrasah ini timbul selepas Sheikhul Islam Tuan Haji Muhammad Salih Bin Haji Muhammad Tayyib mendapat jemputan dari pemimpin tempatan dan respon yang baik dari masyarakat tempatan di Teluk Intan.

Madrasah Al Ihsaniah 1

Madrasah Ihsaniah telah ditubuhkan dengan hasil wakaf dari Sultan dan masyarakat menawarkan pengajian dalam bahasa Arab dan juga pengajian bahasa Melayu serta turut menerima pelajar dari luar daripada Negeri Perak. Iklan promosi madrasah Ihsaniah ini telah mendapat reaksi daripada pembaca al-Imam yang turut berminat untuk mendapatkan pendidikan di madrasah tersebut.

Wakaf yang diperolehi dalam menubuhkan madrasah ini sebahagian besarnya diperolehi daripada Paduka Seri Sultan Idris Murshidul’Adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar sendiri. Ini adalah kerana baginda merupakan seorang Sultan, Yang Dipertuan yang sangat mengambil berat mengenai aspek pendidikan dan pembangunan Negeri.

madrasah al ihsaniah 2

Baginda jua berperanan di dalam penubuhan kebanyakan madrasah dan juga surau di negeri Perak. Untuk menjamin perjalanan surau dan madrasah di Negeri Perak, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul’Adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar telah menyediakan Dana Khas untuk menampung perbelanjaan institusi-institusi keagamaan tersebut.

Sumber dari Ku-Alam dan akhbar Straits Times

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here