Perak Lantik 829 Ketua Kampung Baharu 1 Jun Ini

Seramai 829 Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Perak akan dilantik semula mulai 1 Jun depan, selepas tamat tempoh perkhidmatan dua tahun mereka pada 31 Mei ini.
Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad, berkata pelantikan semula itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh oleh Pegawai Daerah, dengan mengambil kira kriteria seperti umur tidak melebihi 65 tahun, prestasi perkhidmatan, dan tahap kesihatan.
“Kita akan umumkan senarai nama Ketua Kampung baharu pada 1 Jun ini. Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua Pengerusi JPKK yang telah berkhidmat dengan dedikasi sepanjang dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani Negeri Perak 2024 di sini hari ini.
Saarani turut menyeru semua Ketua Kampung yang dilantik semula agar terus bersemangat dalam memacu pembangunan negeri. Bagi yang tidak terpilih, beliau menasihati mereka supaya tidak berkecil hati dan terus menyumbang tenaga serta idea untuk kemajuan kampung masing-masing.
“Kepada yang tidak dilantik, janganlah merajuk atau patah semangat. Teruskan memberi sokongan dan sumbangan pemikiran demi kebaikan bersama,” tegasnya.
Selain itu, Menteri Besar turut mengingatkan semua Ketua Kampung, terutamanya yang tidak dilantik semula, agar bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan JPKK dan memastikan proses penyerahan tugas berjalan lancar.
Pelantikan baharu ini diharap dapat memperkukuh lagi peranan JPKK dalam memacu pembangunan komuniti setempat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.