Syarikat tambang murah iaitu Malindo Air bakal menyambung semula perkhidmatan penerbangan antara Medan ke Ipoh yang telah dihentikan sejak 2015. Penyambungan perkhidmatan penerbangan antara dua lokasi ini dilihat bakal merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri Perak dan Medan.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, perkhidmatan penerbangan antara Medan ke Ipoh oleh Malindo Air akan bermula pada 16 Mac 2018 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS). Melalui perkhidmatan tersebut, ia membolehkan rakyat di kedua-dua belah negara dapat menggunakan penerbangan terus di kedua-dua destinasi.
Ini adalah antara salah satu strategi kerajaan negeri untuk memperkenalkan destinasi menarik bagi menarik dan menambah nilai dalam industri pelancongan dalam negeri Perak. Hal ini secara tidak langsung bakal menjadikan negeri Perak sebagai tumpuan pelancong dari rantau Asia.
Sehingga ke hari ini, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) telah menyediakan perkhidmatan penerbangan Ipoh – Singapura, Singapura – Ipoh, Ipoh – Johor Bahru dan sebaliknya. Untuk masa yang akan datang, kerajaan negeri juga berhasrat dan berusaha untuk mendapatkan perkhidmatan penerbangan ke selatan China khususnya bagi tempoh penerbangan sekitar tiga jam.
Inilah merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk menarik pelancong ke negeri Perak. Banyak manfaat yang boleh kita semua dapati dengan perkhidmatan penerbangan yang bakal disambung oleh Malindo Air ini.
Menurut laman web Malindo Air, penerbangan pertama dari Ipoh ke Medan telah dijadualkan pada tarikh 16 Mac 2018 pada jam 10.05 pagi manakala penerbangan dari Ipoh ke Medan pula pada hari yang sama pada jam 11.20 pagi (waktu Medan).
Tawaran untuk perkhidmatan penerbangan laluan ini sebenarnya memang ditunggu-tunggu oleh ramai orang di Perak. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan perkhidmatan laluan penerbangan yang ditunggu-tunggu ini.