Terus ke kandungan
Menjelang — --:--:--
Subuh
05:51
Syuruk
06:59
Zohor
13:02
Asar
16:23
Maghrib
19:00
Isyak
20:11
Pendidikan

Kejayaan SULAM diukur menerusi impak sebenar kepada komuniti

04 Nov 2026 · 3 min baca · 21 ·Oleh Bazli Razak
Dr. Normah (empat dari kanan) bersama Dr. Hamidah (tiga dari kanan) bergambar bersama pemenang Trek-C Sulam secara advokasi (kategori pensyarah UPSI) pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Apresiasi SULAM

TANJONG MALIM – Kejayaan pelaksanaan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di institusi pengajian tinggi perlu dinilai berdasarkan impak sebenar yang diwujudkan kepada komuniti, bukan sekadar jumlah aktiviti atau penyertaan mahasiswa.

Pengarah Pusat Pembangunan Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Normah Jusoh berkata, aspek kualiti pelaksanaan, pengukuran impak, kelestarian projek serta kerjasama strategik dengan industri dan komuniti perlu diberikan perhatian dalam memperkukuh pelaksanaan SULAM pada masa hadapan.

Beliau berkata pendekatan SULAM menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar bersama masyarakat, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam menangani cabaran dan memenuhi keperluan komuniti.

“Melalui SULAM, mahasiswa berpeluang mengaplikasikan ilmu, memahami cabaran masyarakat serta bersama-sama mencari penyelesaian yang memberikan manfaat.

“Inilah kekuatan SULAM. Ilmu yang dipelajari bukan sahaja dinilai melalui pencapaian akademik, tetapi turut diterjemahkan kepada tindakan yang membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah dan Apresiasi SULAM UPSI 2026 di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada Selasa.

Normah berkata pelaksanaan SULAM amat bertepatan dengan aspirasi UPSI sebagai universiti pendidikan yang komited melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Menurutnya, pengalaman mahasiswa berinteraksi dan melaksanakan aktiviti bersama komuniti turut berperanan membentuk nilai empati, kepimpinan, kerjasama serta kesukarelawanan yang penting dalam melahirkan graduan berkualiti.

Beliau berkata kejayaan setiap projek SULAM turut didukung komitmen pensyarah dalam merancang dan membimbing pembelajaran, kesungguhan mahasiswa melaksanakan aktiviti serta kerjasama komuniti sebagai rakan strategik.

Sehubungan itu, beliau berharap pengiktirafan menerusi majlis apresiasi berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak projek SULAM yang kreatif, inovatif dan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

“Penghargaan pada hari ini bukan hanya untuk meraikan para penerima anugerah, tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan SULAM@UPSI,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Unit Pembangunan Bakat Akademik, Pusat Pembangunan Akademik UPSI, Dr. Hamidah Idris berkata, penganjuran Karnival SULAM UPSI 2026 yang merupakan kesinambungan program tahunan sejak 2024 menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan jaringan kerjasama antara pelaksana projek SULAM di UPSI dengan institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak 72 penyertaan diterima bagi Innovation Showcase SULAM@UPSI 2026, manakala sesi pembentangan akhir melibatkan 32 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi dengan penyertaan keseluruhan 132 finalis.

Menurutnya, penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang karnival itu turut memberi ruang kepada pensyarah dan mahasiswa untuk mengetengahkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif serta inovatif berasaskan keperluan masyarakat.

“Semoga pengiktirafan yang diberikan menerusi majlis berkenaan dapat mendorong lebih ramai pensyarah dan mahasiswa meneroka projek SULAM yang mampu memberikan impak bermakna kepada komuniti,” katanya.

Bazli Razak
Bazli Razak
Lihat Profil →

Komen (0)

Tiada komen.

Tinggalkan Komen

maks 2000 aksara
Komen tertakluk kepada semakan sebelum dipaparkan.