Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi yang dalam lawatan negara ke Malaysia dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya (UM) oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak yang juga Canselor Universiti Malaya.
Raja Salman Abdulaziz Al Saud dalam majlis konvokesyen tersebut bertitah bahawa perlunya universiti-universiti dan pusat penyelidikan di negara-negara Islam menghasilkan gerak kerja yang boleh menyumbang kepada pembinaan tamadun Islam didunia. “Universiti merupakan pusat pembinaan negara dan bangsa yang mempunyai misi untuk merealisasikan pembangunan dalam pelbagai dimensi secara menyeluruh”.
Pemerintah Arab Saudi itu seterusnya bertitah universiti juga harus berperanan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional selain memperkasa budaya dialog, nilai toleransi dan keharmonian hidup antara pelbagai bangsa. Tambah baginda lagi “Hal ini penting untuk merealisasikan keamanan dan kedamaian di peringkat antarabangsa hingga masyarakat antarabangsa keseluruhannya dapat menikmati kesejahteraan dan keselesaan,” baginda bertitah dalam bahasa Arab yang kemudian diterjemah ke dalam bahasa Malaysia.
Raja Arab Saudi turut bertitah apa yang dihasilkan itu harus juga memberi manfaat kepada negara lain di dunia. Ini perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran dalam bidang pengetahuan ilmiah dan teknikal, yang menurut titah baginda, tidak jauh bezanya daripada cabaran yang dihadapi dalam aspek politik dan ekonomi. Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor UM berkenan menyampaikan ijazah kehormat itu kepada Raja Salman.
Raja Salman Abdulaziz Al-Saud turut berkenan menyempurnakan majlis menanam pokok Sengkawang atau nama saintifiknya shores sumatrana sebagai simbolik kehadirannya ke Universiti Malaya (UM).
Majlis ringkas tersebut diadakan di hadapan Dewan Tunku Canselor, sejurus baginda selesai menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UM, daripada Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Canselor UM pada Istiadat Konvokesyen Khas UM di dewan sama. Baginda mengambil masa sekitar dua minit menanam pokok itu, yang turut disaksikan oleh Sultan Nazrin.
Baginda Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Kota Suci itu turut memuji Universiti Malaya yang telah memainkan peranan dalam pengembangan ilmu pengetahuan dalam pembangunan dunia. “Universiti ini juga telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia serta negara lain,” titah baginda yang sedang melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak Ahad diatas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.