Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Dari Pulau Tiga

Dua buah Quran tulisan tangan dipercayai masing-masing berumur 414 dan 184 tahun pernah diserahkan oleh penyimpan-penyimpannya di Pulau Tiga, Kampung Gajah kepada Jabatan Perpustakaan Negara untuk diawet dan dibuat salinan fotografi.

Untuk makluman anda, inilah Quran tulisan tangan paling tua yang pernah dijumpai di Malaysia dan ianya disimpan lama di Pulau Tiga, Kampung Gajah.

Berdasarkan dari anggaran umur Quran tersebut, berkemungkinan ia ditulis sejak pada tahun 1603 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah iaitu Sultan Perak yang ke 6 manakala yang satu lagi ditulis dalam zaman pemerintahan Sultan Perak yang ke 21 iaitu Sultan Shahabuddin Riayat Shah pada tahun 1833.

Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Di Pulau Tiga

Menurut Pejabat Kebudayaan, Belia dan Sukan di Parit pada tahun 1983, Quran yang dipercayai berumur 380 tahun (pada waktu itu) dikenali sebagai nama Quran Semut Gatal oleh penduduk Pulau Tiga.

Ia dikatakan telah ditulis oleh 3 orang ahli agama yang tinggal di Pulau Tiga. Nama penulis pertama dan kedua tidak diketahui tetapi penulis yang ketiga dikenali sebagai nama Tok Mencalang iaitu seorang penyair, ahli pantun dan perseloka yang amat terkemuka di Pulau Tiga pada waktu itu.

Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Di Pulau Tiga

Manakala Quran yang yang satu lagi berumur 184 tahun itu pula ditulis oleh Sheikh Hussein Al Yamani. Beliau adalah seorang pendakwah Arab yang datang tinggal di Pulau Tiga pada sekitar tahun 1860.

Sheikh Hussein adalah individu yang warak dalam agama Islam dan gigih menyebarkan ajaran agama Islam di serata kawasan yang berhampiran dengan kawasan Pulau Tiga. Dikatakan, beliau meninggal dunia setelah habis menulis Quran tersebut dan telah dikebumikan di Pulau Tiga.

Menurut cerita penduduk tempatan secara lisan dan turun temurun sejak dari dahulu lagi berkenaan dengan Quran Semut Gatal, barang siapa yang bersumpah dengan menjunjung Quran Semut Gatal ini dan jika sumpahnya adalah palsu, maka dengan izin Allah seluruh badan mereka yang bersumpah akan terkena sumpahan iaitu gatal seumpama digigit oleh semut gatal dengan banyak.

Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Di Pulau Tiga

Sewaktu Quran-quran tersebut diambil oleh Jabatan Perpustakaan Negara, keadaan Quran 184 tahun yang disimpan di Balai Penghulu dan Quran Semut Gatal 414 tahun disimpan di Madrasah Ekhsaniah didapati sedang mereput dan dimakan anai-anai.

Keadaan Quran Semut Gatal adalah lembap manakala yang satu lagi ditemui dalam keadaan yang sangat kering. Dibahagian tepi dan keliling Quran tersebut pun sudah mula bertukar warna diamah usia.

Penghulu dan pegawai-pegawai Madrasah tersebut bersetuju untuk menyerahkan kedua-dua Quran tersebut kepada Jabatan Perpustakaan Negara untuk diawet dan menyelamatkan ia daripada musnah pada 19 Oktober 1983. Kini, Jabatan Perpustakaan Negara lebih dikenali dengan nama Pusat Manuskrip Melayu.

Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Di Pulau Tiga

Pulau Tiga adalah merupakan sebuah kampung yang terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak di daerah kecil Kampung Gajah, Perak dan di seberangnya ialah Geronggong.

Kawasan kampung ini pernah menjadi pusat pemerintahan beberapa sultan Perak sejak yang pertama Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak yang ke 15. Pada zaman baginda, pusat pentadbiran Perak adalah dinamakan sebagai Cempaka Sari dan kemudian digelar sebagai Indera Sakti.

1 thought on “Quran Tulisan Tangan Paling Tua Malaysia Dari Pulau Tiga”

Leave a Comment