Encik Abdul Rahman dan isteri menjalankan perniagaan Parit Fried Chicken sejak tahun 1990 di tepi jalan Pekan Parit.
Parit Fried Chicken cukup popular dan digemari penduduk setempat terutamanya kanak-kanak dan remaja. Rata-rata penduduk setempat Pekan Parit berbangga dengan kewujudan Parit Fried Chicken kerana ia umpama sebagai ikon dan memberi nostalgia buat mereka yang membesar di Pekan Parit.
Kami dari orangperak.com sengaja singgah di gerai Parit Fried Chicken kerana tertarik dengan gerai ayam goreng yang sudah lama kami perasan bertapak disitu.
Oleh kerana terlalu kerap kami lalui jalan di Pekan Parit, lalu kami pun ambil keputusan untuk singgah ke gerai tersebut dan ingin cuba sendiri dan bertanyakan kisah-kisah daripada tuan punya gerai.
Hasil temu bual santai dengan pemilik gerai yang bernama Encik Abdul Rahman amat memuaskan dan beliau ramah melayan pelanggan.
Menurut Encik Abdul Rahman, sebelum Parit Fried Chicken dibuka di Pekan Parit pada tahun 1990, beliau ikut berniaga ayam goreng dengan sahabatnya di kawasan Manjung.
Kemudian beliau menyatakan hasrat pada sahabatnya itu untuk menjalankan perniagaan ayam gorengnya sendiri di kawasan lain dan disitulah wujudnya idea untuk membangunkan Parit Fried Chicken.
Lokasi asal Parit Fried Chicken adalah berdekatan dengan jam pekan Parit dan lokasi kini ia berada tidak jauh dari lokasi asal dan ia berdekatan dengan depan Pejabat Pos Parit.
Apa yang membuatkan hati Encik Abdul Rahman terharu adalah pelanggan yang sama sejak 10 tahun hingga 20 tahun dahulu datang kembali untuk membeli ayam gorengnya.
Sejak dari kecil hinggalah meningkat dewasa, mereka iaitu pelanggan tetap Encik Abdul Rahman lebih gemar dan sentiasa memilih Parit Fried Chicken di Pekan Parit daripada ayam goreng komersial di bandar.
Siapa dari Pekan Parit yang tak kenal Parit Fried Chicken? Rata-rata semua dah merasa ayam goreng beliau.
Pemilik Parit Fried Chicken ini gigih terus berniaga untuk menyara 2 orang anaknya sejak kecil yang kini sudah pun dewasa dengan hanya menjual ayam goreng di Pekan Parit sejak 1990.
Beliau mula berniaga pada jam 12 tengah hari hingga 7 petang setiap hari kecuali pada hari Sabtu. Jika anda melalui Pekan Parit, singgahlah ke Parit Fried Chicken dan cuba sendiri ayam goreng Encik Abdul Rahman yang sedap dan dikekalkan rasa dan resipi rahsianya sejak tahun 1990 lagi.