Muzium Perak telah mengadakan Pameran 3D Sepanjang Jalan Kenangan bermula pada 15 September 2016 yang lepas sehingga 15 September 2017. Pameran 3D grafik ini berkonsepkan kehidupan kehidupan masyarakat berkaitan zaman prasejarah, perkampungan Melayu, suasana Kopitiam, kebun durian serta tarian naga.
Kepada anda yang suka ‘selfie’,muzium ini adalah lokasi yang patut anda kunjungi. Begitu juga kepada pengunjung yang masih mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Mereka berpeluang untuk mempelajari pelbagai info berkenaan sejarah dan mengeksplorasi seni warisan, budaya dan alam semulajadi negara.
Kepada anda yang belum tahu, Muzium Perak dibina tahun 1883 merupakan muzium pertama di Malaysia dan muzium terawal dibina di Asia Tenggara. Muzium Perak kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasfikasikan sebagai koleksi nadir (rare) berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang jenis binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar tanah yang kini hampir pupus atau sukar ditemui.
Waktu operasi adalah setiap hari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Hanya ditutup bersempena Hari Raya pertama Aidilfitri & Aidiladha. Bayaran masuk pula adalah RM2 untuk dewasa, percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan beruniform sekolah, RM1 untuk warga emas dan OKU, dan RM5 untuk warga asing.
Pameran 3D ini diadakan di Galeri A. Selain itu pengunjung boleh ke ruang pameran Galeri B untuk koleksi pelbagai rangka haiwan, Galeri C untuk untuk pameran kebudayaan, Galeri D untuk pameran Masyarakat Orang Asli dan pelbagai koleksi tembikar, dan Pameran Luar terdiri daripada pelbagai koleksi khazanah warisan negara seperti Pesawat F-86 Avon Sabre milik TUDM, Kereta Kuda , Koc Keretapi , Dandang Jana Kuasa Stim, Meriam Long Jaafar, Perahu Sagor, Kereta Antik “Rolls Royce” dan sebagainya.
Jika anda berkunjung ke Taiping, jangan lupa terdapat satu lagi muzium yang tidak kurang hebatnya tentang nilai sejarah iaitu Muzium Matang. Moh kite..!