Nasi ayam yang paling laris di Ipoh, ianya cukup terkenal dengan penggemar nasi ayam yang menggelarkannya Nasi Ayam Bazar Bulat sejak ianya dibuka pada tahun 1980 lagi.
Restoran Fuziah yang sudah lama beroperasi ini pada asalnya dibuka di Bazar Bulat atau nama lainnya adalah Bazar Yan Tet Shin. Menu utama restoran ini adalah sudah semestinya nasi ayam yang sentiasa menjadi kegilaan peminat nasi ayam buat penduduk di sekitar Ipoh, Perak.
Untuk makluman anda, Restoran Fuziah kini beroperasi di lokasi baru yang terletak di block bersebelahan selepas bazar bulat ditutup. Mereka beroperasi pada setiap hari jam 11.30 pagi sehingga jam 10.30 malam.
Restoran mereka sentiasa penuh dengan pelanggan pada waktu kemuncak seperti waktu makan tengah hari dan makan malam. Jadi, jika anda merancang untuk ke sana, sila merancang masa anda dahulu kerana meja untuk pelanggan tidak cukup dan ada ramai juga pelanggan yang sabar menunggu diluar untuk dapatkan tempat duduk yang kosong.
Tidakkah anda tertanya-tanya tentang siapakah Fuziah disebalik nama restoran nasi ayam ini? Mari kami orangperak.com kenalkan pada anda semua pembaca setia yang disayangi tentang beliau.
Fuziah sebenarnya adalah isteri kepada pemilik asal perniagaan Restoran Fuziah ini. Menurut sumber dari talian wakil restoran tersebut, pemilik Restoran Fuziah yang sebenarnya adalah bernama Napiah yang merupakan suami kepada Fuziah.
Lain lidah, lain citarasa dan jujurnya bagi kami sendiri editor orangperak.com yang kerap kesana dan rasa sendiri ayam goreng nasi ayam bazar bulat Fuziah ini memang terbaik dan apabila ditambah lagi dengan dua jenis sambal cili yang melengkapkan rasa yang sedap itu.
Dari apa maklumat yang kami terima, resepi ayam goreng Restoran Fuziah ini dicipta sendiri oleh Napiah. Idea untuk mencipta resepi ayam goreng tercetus ketika Napiah bekerja di sebuah restoran terkemuka di Singapura pada sekitar tahun 1970 an.
Hendak dijadikan cerita, setelah Napiah meninggal dunia, isterinya Puan Fuziah telah menyambung perniagaan arwah suaminya itu dengan hanya menggunakan gerai sahaja pada asalnya.
Puan Fuziah adalah individu yang berniaga di bazar bulat sehingga bazar bulat ditutup dan berpindah di tempat yang baru sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini. Fuziah berjaya memperkenalkan nasi ayamnya kepada pencinta nasi ayam dari warga kota Ipoh.
Pada hari ini, perniagaan Restoran Fuziah Nasi Ayam Bazar Bulat yang amat terkenal di kota Ipoh ini disambung oleh anak sulung Puan Fuziah yang bernama Ahmad Fazlee.
Legasi perniagaan keluarga disambung dan dikembangkan dengan membuka beberapa cawangan yang ada di beberapa tempat yang lain. Jika anda ingin kenal lebih mendalam siapakah Puan Fuziah, anda boleh berkunjung ke Restoran mereka di Jalan Mustapha al-Bakri, Ipoh dan berjumpa sendiri dengan beliau.
Walaupun Puan Fuziah telah bersara, dikatakan beliau masih ada di restoran yang banyak memberinya kenangan suka dan duka.