Seorang anak seni yang serba boleh tidak lain tidak bukan iaitu Fauziah Nawi kini sudah lebih 45 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Fauziah Nawi yang merupakan anak kelahiran Ipoh, Perak ini bukan sahaja bergiat dalam seni lakonan.
jika anda tidak tahu beliau juga adalah sebagai seorang pengarah, pernah menjadi seorang penyanyi, serta pernah menjadi penari dan juga pernah menjadi seorang juruhebah radio.
Fauziah Nawi dilahirkan di Ipoh, Perak pada tarikh 28 Jun 1953. Mungkin ramai yang kenal Fauziah Nawi sebagai seorang pelakon namun sebenarnya sejak awal penglibatan beliau dalam dunia seni, Fauziah Nawi cukup aktif sebagai seorang penari dan penyanyi.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga pernah membuat persembahan dalam pelbagai acara majlis rasmi dan tidak rasmi. Fauziah Nawi mula bergiat aktif dalam tarian sejak ketika usia yang muda pada 18 tahun lagi.
Ketika Fauziah Nawi berusia antara 18 tahun hingga 19 tahun, Fauziah Nawi sering masuk pertandingan menari dan beberapa kali jadi juara. Hal yang demikian telah membuatkan Fauziah Nawi mudah mendapat peluang menari di acara-acara besar selepas itu.
Penglibatan Fauziah Nawi sebagai juruhebah radio di RTM pula bermula selepas beliau menghadiri sesi temu duga yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemudian bertugas di Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1.
Tidak disangka, Fauziah Nawi lulus dalam temuduga tersebut dan diterima sebagai juruhebah radio dengan gaji RM180 untuk sebulan dalam tempoh beberapa tahun sebelum beliau ambil keputusan untuk aktif sepenuh masa dalam bidang lakonan.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, antara program radio yang pernah dikendalikan ialah Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia, Manis-Manis Garam dan sebagainya.
Hakikatnya minat Fauziah Nawi terhadap bidang seni lahir daripada pendedahan awal kepada beliau menerusi pemerhatian terhadap pelbagai aktiviti yang berlangsung di sekitarnya.
Dahulu bapanya adalah pengusaha kantin di Kementerian Belia dan Sukan di Taman Budaya, Jalan Ampang yang mana tempat tersebut banyak menjalankan pelbagai aktiviti seni. Jadi setiap hari Fauziah Nawi berpeluang untuk melihat peserta buat latihan dan macam-macam lagi aktiviti kesenian.
Dalam bidang lakonan pula, Fauziah Nawi bermula di pentas teater atau ketika itu lebih dikenali sebagai sandiwara atau drama pentas.
Penglibatan Fauziah Nawi sebagai pelakon bermula menerusi drama pentas Tali di mana ketika itu Fauziah Nawi digandingkan dengan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan mereka berguru dengan Ahamad Yatim selaku pengarah ketika itu.
Selepas itulah, Fauziah Nawi mula aktif dan terlibat dalam pelbagai drama pentas sama ada yang berbayar ataupun tidak atas dasar minat yang tinggi dalam bidang seni.
Sementara drama TV pula, pelakon serba boleh ini sudah berlakon puluhan drama dan masih lagi aktif sehingga ke hari ini apabila bakatnya turut diterima generasi baru menerusi lakonannya yang cukup berkesan.
Lakonan sudah cukup sebati dalam diri Fauziah Nawi, malah beliau sentiasa bersemangat untuk terus aktif dalam bidang seni kerana merasakan pentas itu seperti sebahagian dunia dirinya.