Kapal Perang HMS Malaya Kurniaan Dari Sultan Perak

Negeri Perak menjadi negeri yang paling kaya diantara negeri-negeri Melayu sewaktu era penjajahan British. Hasil bumi yang banyak di negeri Perak ini telah mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang cepat berbanding negeri lain di Malaya ketika itu. Ini dapat dilihat dengan negeri Perak merupakan negeri pertama yang mempunyai jaringan keretapi, hospital, muzium, zoo dan lain-lain lagi.

hms malaya

Diatas kemajuan yang dibawa oleh pihak British kepada negeri Perak pada tahun 1912, Paduka Seri Sultan Perak Sultan Idris Murshidul Adzam Shah mencadangkan dalam mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bahawa Negeri-Negeri Melayu Bersekutu patut menghadiahkan kepada kerajaan British sebuah kapal perang kelas pertama yang paling canggih sebagai tanda sokongan kepada Empayar British. Cadangan itu telah disokong oleh Sultan Selangor dan majlis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah meluluskan dana sebanyak £2,945,709 (25 000 000 Dolar Negeri Selat) bagi tujuan pembinaan kapal perang tersebut.

Pembinaan kapal tersebut dimulakan pada tahun 1913 dan siap sepenuhnya pada tahun 1915. Kapal tersebut ditauliahkan dengan nama HMS Malaya pada tahun 1916 dan mengibarkan bendera dan membawa jata Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sempena menghargai hadiah dari rakyat Negeri-Negeri Melayu bersekutu kepada British. Sebagai tanda terima kasih kerajaan British diatas kemurahan hati Sultan bersama pemerintah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang lain, pihak Britih telah menampung kos pembinaan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dengan dana sebanyak 200,000 Dolar Negeri Selat.

Pada tahun 1921 HMS Malaya melakukan lawatan ke tanah melayu dan berhenti di Port Swettenham, Singapura, Melaka, Port Dickson and Pulau Pinang . HMS Malaya melakukan majoriti operasi ketenteraannya di lautan Mediterranean dan kepulauan Britain.

King George yang merupakan Raja British dan Maharaja India pernah bertugas di atas kapal perang ini. Kapal perang utama ini dilengkapi 8 meriam 15 inci yang diletakkan di  4  pembawa meriam berputar utama dan mempunyai sesaran seberat 33,020 tan . Panjang kapal ialah 196.82 m sementara lebarnya pula ialah 27.58 m . Ia dijana menggunakan enjin stim arang batu 56,600 kuasa kuda yang mampu memberikan kelajuan maksimum 25 knot. Ketika Perang Dunia Pertama, HMS Malaya terlibat di dalam Petempuran Jutland .

hms malaya

Pertempuran ini terkenal kerana ia berjaya menghadkan pembabitan Tentera Laut Empayar Jerman hanya sekitar perairan wilayahnya sahaja. Di dalam pertempuran ini HMS Malaya mengalami kerosakan yang teruk akibat dibedil sebanyak 8 kali. Antara yang tercedera ialah Able Seaman Willie Vicarage . Beliau adalah antara individu terawal yang diberikan pembedahan plastik bagi membaiki muka akibat kecederaan yang teruk. Sebahagian besi dari kesan bedilan kapal perang Jerman ini kemudiannya dihadiahkan kepada Negeri Negeri Melayu Bersekutu ketika lawatan pada tahun 1921. Uniknya HMS Malaya ketika pertempuran Jutland ialah ianya satu-satunya kapal perang yang mengibarkan bendera Negeri – Negeri Melayu Bersekutu dan bukannya bendera Britain. Ukuran bendera ini sepanjang 15 kaki.

Pada tahun 1922 HMS Malaya membawa Sultan Mehmed VI , Sultan terakhir Empayar Uthmaniah yang dibuang negara oleh Mustapha Kamal Attaturk ke Malta. Pada tahun 1936 HMS Malaya dihantar ke Palestin bagi menentang kebangkitan warga Arab yang tidak bersetuju dengan kebanjiran bangsa Yahudi yang dibawa masuk oleh Britain. Beberapa periuk api yang dibawa oleh HMS Malaya digunakan bagi meletupkan rumah milik penentang Arab.

hms malaya

Pada tahun 1941 ketika Perang Dunia Kedua, HMS Malaya mengalami kerosakan teruk akibat serangan torpedo U-Boat. Ia dibaiki di pelabuhan New York dan kemudiannya menjadi pengiring konvoi kapal kargo merentasi lautan Atlantik. Pada tahun 1948 HMS Malaya ditamatkan perkhidmatnya oleh Tentera Laut Diraja Britain dan ianya diubah menjadi kapal sasaran untuk sekolah latihan pengebom udara. Pada 12 April 1948 ianya dimusnahkan sebagai besi buruk di Fastlane, Scotland.

Pada 12 September tahun yang sama sempena hari menyambut kemenangan British ketika Perang Dunia Kedua di Malaya, loceng HMS Malaya dihadiahkan oleh Tentera Laut Diraja Britain kepada Sekolah Victoria Institution. Loceng ini dibunyikan setiap pagi bagi menandakan permulaan sesi persekolahan. Ianya dihadiahkan kepada V.I kerana pada ketika itu ianya merupakan sekolah terbaik di Tanah Melayu dan diharapkan prestij HMS Malaya yang penuh bersejarah dapat menjadi contoh teladan pelajar sekolah.

loceng hms malaya

Pada tahun 1983 pihak TLDM cuba mendapatkan loceng ini dari pihak sekolah untuk diletakkan di Muzium TLDM. Pihak V.I enggan menyerahkannya kerana ianya hadiah dari Tentera Laut Diraja Britain dan bukannya milik TLDM. TLDM gagal mendapatkan hak penjagaan loceng ini selepas pesatuan Old Boys V.I berjaya menunjukkan bukti sahih penyerahan loceng ini kepada pihak sekolah untuk disimpan.

Sungguhpun begitu pada tahun 2007 , loceng ini diserahkan juga kepada TLDM setelah diminta oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda pada ketika itu baru sahaja menemui bendera asal yang digunakan oleh HMS Malaya ketika ianya masih berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Britain. Bendera ini dihadiahkan baginda kepada Muzium TLDM. Pada hemat baginda adalah baik sekiranya bendera dan loceng HMS Malaya dapat disatukan semula selepas puluhan tahun dipisahkan.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

65 − = 55