Menara jam condong adalah sebuah menara jam yang terletak di Teluk Intan, Perak dan ia menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan sejak beberapa lama. Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa di Itali.
Kandungan
Pengenalan Menara Jam Condong Teluk Intan
Menara ini dibina pada tahun 1885 dan ia memiliki ketinggian setinggi 85 kaki dan terdapat 110 buah anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh dan agak senget dan tercondong sedikit.
Menara ini sebenarnya adalah merupakan takungan air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar. Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan. Di bahagian bawahnya dihiasi dengan landskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga.
Keadaan Asal Sebelum Condong
Menara jam condong asalnya tidaklah condong sebagaimana sekarang. Orang yang bertanggung jawab membina Menara Jam ini ialah Leong Choon Cheong atau Ah Cheong. Sebagai arkitek beliau mendapat ilham membina dengan reka bentuk demikian berdasarkan bangunan pagoda di Negara China.
Setelah 10 tahun dibina, iaitu pada tahun 1895 telah berlaku banjir besar di Teluk Intan sehingga menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan air yang berat inilah dipercayai punca menara ini mula condong ke arah Barat.
Kegunaan Pada Zaman Jepun
Pada zaman Jepun (1942-1945) bangunan Menara Jam ini dijadikan menara kawalan untuk meninjau kedatangan musuh. Bangunan kayu ini yang digunakan sebagai bangunan ketenteraan oleh pihak Jepun telah menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian atas.
Tujuan Pembinaan Menara Jam Condong
Kini bangunan condong ini mendapat julukan menara jam condong kedua di dunia selepas Pisa di Itali. Menurut satu kajian, tujuan pembinaan menara jam condong atau juga dikenali sebagai Jam Tinggi adalah seperti berikut:
- untuk menyimpan air bagi penduduk tempatan pada musim kemarau
- dalam memastikan kemudahan pengurusan air British ditingkatkan
- untuk bekalan air sekiranya berlaku kebakaran
- sebagai penjaga masa
Tangki air terletak di aras tiga yang dibuat daripada keluli setinggi 16 kaki. Tangki ini boleh memuat sejumlah 680 kaki padu air. Menara ini pernah digunakan oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara dan Persatuan Pengakap Teluk Intan.
Pernahkah anda datang dan melihat sendiri keunikan yang ada di dalam menara jam condong Teluk Intan ini? Jika anda berkesempatan, datanglah lihat sendiri keunikannya.