Fakta Berkenaan Penjara Tapah

Sebut sahaja tentang penjara, semua lapisan masyarakat sudah sedia maklum bahawa penjara merupakan sebuah tempat yang dikhususkan untuk menempatkan banduan-banduan yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah. Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, di Malaysia, jumlah penjara yang terdapat di seluruh negara adalah sebanyak 36 buah.

Menurut statistik daripada Jabatan Penjara pada tarikh 22 Februari 2016 menunjukkan bahawa terdapat seramai 49,888 banduan yang ditahan atau menjalani hukuman di seluruh penjara berkenaan. Daripada jumlah tersebut, seramai 33,399 orang (66.95%) adalah banduan warganegara Malaysia, manakala 16,489 orang (33.05%) adalah banduan warganegara asing. Mengikut jantina pula, seramai 46,513 orang banduan (93.23%) adalah lelaki manakala bakinya seramai 3,375 orang (6.77%) adalah banduan wanita.

Terdapat dua buah penjara yang terdapat di negeri Perak iaitu Penjara Taiping dan Penjara Tapah. Sebelum ini, sebuah artikel telah diterbitkan mengenai Penjara Taiping yang merupakan kompleks penjara yang pertama di Malaysia. Jika anda belum membaca berkenaan artikel tersebut, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca artikel yang bertajuk Penjara Taiping, Kompleks Penjara Pertama Di Malaysia.

penjara taiping

Kali ini, kita akan fokus kepada Penjara Tapah. Penjara Tapah terletak di Lot 11233, Mukim Batang Padang, Daerah Batang Padang, Perak Darul Ridzuan. Kedudukannya adalah 12 km dari Pekan Tapah dan 67 km dari Bandaraya Ipoh. Penjara ini dibina pada 1 Julai 2000 dan siap pada 30 Jun 2003 dengan nilai kontrak sebanyak RM191,379,850.11. Pada tarikh 13 Disember 2003, Penjara Tapah telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 4 Bil. 47.P.U( B ) 79. Tanggal 1 April 2004, bermulalah operasi Penjara Tapah.

penjara tapah

Keseluruhan keluasan Penjara Tapah adalah 81.75 hektar. Daripada jumlah itu, 21.88 hektar dibangunkan sebagai kawasan penjara manakala seluas 14.28 hektar merupakan penempatan kakitangan penjara. Selebihnya, 45.6 hektar dijadikan sebagai kawasan pertanian dan juga ladang kelapa sawit. Selain memiliki kawasan yang luas, Penjara Tapah juga telah dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) dan turut menggunakan teknologi terkini serta kemudahan penempatan dan rekreasi yang bersesuaian dengan perkembangan arus teknologi terkini sama ada kepada penghuni penjara mahupun kakitangan.

penjara tapah

Penjara Tapah yang berkapasiti selesa boleh menempatkan sehingga 2,062 orang penghuni. Penjara Tapah adalah bermodelkan Penjara Sungai Buloh, iaitu “Reman and Convicted Prison”. Penjara Tapah menempatkan penghuni-penghuni yang dipindahkan dari penjara-penjara yang berhampiran pada peringkat awal pengisian penempatan. Pada masa kini penjara ini telah menerima penghuni-penghuni yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah-mahkamah di bahagian selatan Negeri Perak khususnya dan dari seluruh Negeri Perak amnya. Penjara Tapah ditadbir oleh Pengarah Penjara yang berpangkat Penolong Kanan Komisioner Penjara.

Pada tanggal 17 Mei 2006 bersamaan 19 Rabiul Akhir 1427 Hijrah, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun telah berkenan mencemar duli merasmikan Penjara Tapah, Perak.

Leave a Comment