Bapa Pendidikan Pertama Malaysia Dari Chemor

Amat membanggakan dalam bidang pendidikan apabila anak negeri Perak telah menjadi individu pertama di dalam negera kita, negara Malaysia yang telah dianugerahkan sebagai gelaran Bapa Pendidikan kerana jasa dan kecemerlangannya dalam usaha mempertingkatkan mutu pelajaran di negara kita ini. Untuk makluman anda, beliau adalah individu yang bernama Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki yang dilahirkan di Chemor, Perak pada 6 Januari 1926.

Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Sejurus selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris paling baik di Ipoh pada waktu itu. Beliau berjaya menamatkan persekolahan menengahnya pada tahun 1941. Pada sekitar tahun 1945, Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar ketika berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli.

aminuddin baki

Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Persuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946 kerana bertujuan untuk menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang mana kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada tahun 1949, Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki ditawarkan pula ke Universiti Malaya, Singapura. Semasa di universiti, Aminuddin mempunyai dalam mengajar dan untuk usaha untuk menimba pengalaman, beliau telah mendaftarkan diri sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo – Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu sejak dari tahun 1949 sehingga tahun 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau juga telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

aminuddin baki

Selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sementara waktu dan kemudiannya terus berkhidmat di Sekolah Anderson sehingga Julai 1952. Tidak lama kemudian, beliau terus melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal pada 12 Julai 1952.

Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953. Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris yang terletak di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam kepada pelajar yang tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960. Beliau dipilih menjadi sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Untuk makluman tambahan, selain dari mendapat gelaran Bapa Pendidikan negara yang pertama, beliau juga adalah individu yang dipertanggung-jawabkan dalam menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan pada tahun 1956. Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki juga menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran yang mana kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang paling muda pernah dilantik dalam rekod Malaysia iaitu sewaktu berumur 36 tahun pada tahun 1962.

aminuddin baki

Banyak juga sekolah dan institusi-institusi di Malaysia ini telah dinamakan sempena namanya. Pada 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak secara anumerta sempena hari keputeraan Sultan Perak bagi mengenang jasa Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki. Beliau juga adalah individu yang mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.

Dato’ Seri Aminuddin Bin Baki telah meninggal dunia pada 24 Disember 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan solat. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

23 − 14 =