Kejor Yeop Kejor di dalam loghat dan dialeg negeri Perak yang memberi makna Kejar Bang Kejar sangat popular dan kerap sekali digunakan oleh peminat bola sepak tempatan terutamanya dikalangan peminat setia Perak The Bos Gaurus.
Setiap perkara, ada penceritaan asal dan usulnya. Apakah anda tahu dari manakah asal-usul penceritaan bagaimanakah slogan ini dicipta pada asalnya? Teruskan membaca untuk ketahui maklumat yang bakal kami sampaikan.
Perak FA pada asalnya telah ditubuhkan pada tahun 1921 untuk menyertai Piala Malaya yang telah ditukar namanya kepada Piala HMS pada tahun 1933. Persatuan ini telah didaftarkan secara sah pada 18 April 1951 dan telah memenangi Piala Malaysia yang pertama dalam pertandingkan pada tahun 1967 yang mana pada ketika itu, Perak telah menumpaskan pasukan Singapura dengan keputusan 2 berbalas 1. Ia adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat seluruh rakyat di dalam negeri Perak.
logo asal Perak FA
Ingatkah anda pembaca setia orangperak.com akan peristiwa yang tidak mungkin akan dapat dilupakan buat peminat setia bola sepak tanah air tambahan lagi peminat setia Perak The Bos Gaurus FC yang mana berlaku pada tahun 1990, kebangkitan pasukan Perak di dalam perlawanan akhir untuk Piala FA yang pertama dalam menentang musuh ketat iaitu pasukan Selangor. Setelah tamat separuh masa pertama, Perak ketinggalan dengan mata 0 berbalas 2.
Perak The Bos Gaurus FC
Pada asalnya, penyokong Selangorlah yang mengusik nakal pasukan Perak FA pada ketika itu dengan melaungkan sindiran nakal dan mengusik berbunyi “Kejor lah Yeop Kejor”.
Ternyata usikan dari penyokong pasukan Selangor pada waktu itu didengari oleh pasukan Perak dan disahut dengan bangkit semula pada separuh masa ke dua. Pasukan Perak bangkit dan terus mencatatkan kemenangan dengan jaringan 4 gol berbalas 2 melawan Selangor.
Lantas sejak dari hari itu, slogan “Kejor Yeop Kejor” menjadi azimat buat kontinjen pasukan negeri Perak di mana-mana kejohanan atau acara pertandingan sekalipun.
Sewaktu negeri Perak menganjurkan Sukan Malaysia iaitu SUKMA yang ke 5 pada tahun 1994, slogan “Kejor Yeop Kejor” juga turut digunakan oleh kerajaan negeri Perak dan penyokong untuk memeriahkan keadaan dan memperingati kembali kisah kebangkitan yang berlaku pada tahun 1990 dan secara tidak lansung dapat menaikkan semangat individu yang bertanding.
Pada tahun yang sama iaitu pada 1994, oleh kerana haiwan liar yang sangat sinonim di dalam hutan tebal Perak adalah Seladang atau nama saintifiknya adalah “Bos Gaurus”.
Lantas terus pada waktu itu, ia dipilih dan diangkat menjadi maskot kejohanan. Maskot Seladang tersebut diberi nama sebagai Yeop. Kartunis kebanggaan Malaysia yang berasal dari Perak iaitu Datuk Lat sendiri yang telah melukis “Yeop” untuk Sukma 1994.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Satu lagi slogan bagi pasukan Perak yang agak popular sejak 2007 ialah “Skor Yeop Skor” yang telah di ilhamkan oleh bekas Presiden Perak FA iaitu Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada waktu itu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan Presiden Perak FA dan bertahan selama setahun. Kemudian, beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut setelah menerima arahan dari Perdana Menteri Malaysia berhubung isu pelupusan kuasa dan penglibatan Menteri di dalam institusi sukan.