25 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Aktiviti Pelancongan Di Royal Belum Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

- Advertisement -
- Advertisement -

Bagi anda yang menggemari kawasan pelancongan yang boleh merehatkan minda dan menenangkan jiwa dari kesibukan bandar, sudah pasti negeri Perak adalah satu pilihan yang tepat kerana Perak punyai sebuah destinasi pelancongan yang istimewa dan sangat sesuai untuk anda.

Lokasi tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah di Hutan Royal Belum. Seperti kita semua maklum, Royal Belum terletak di dalam daerah Gerik di utara negeri Perak.

Untuk sampai ke kawasan Royal Belum, anda boleh lalui dua jalan darat dan air yang jelas berbeza. Ianya sudah pasti dari jeti Tasik Banding dan juga memandu kenderaan terus ke Hutan Royal Belum menerusi jambatan.

Untuk terus ke Hutan Royal Belum dengan memandu kenderaan, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dan kemudian ambil simpang keluar di Kuala Kangsar dan seterusnya anda hanya perlu ikut papan tanda menuju ke Pengkalan Hulu.

Royal Belum

Royal Belum

Jika anda ingin menggunakan kenderaan laluan air untuk menjelajah kawasan Royal Belum, anda boleh terus ke jeti Tasik Banding. Untuk ke jeti tersebut, anda boleh gunakan Lebuhraya Timur Barat sehinggalah bertemu di sebuah jambatan yang panjang melintasi tasik yang menghubungkan daratan dengan pulau.

Di bawah jambatan tersebut, itulah terhamparnya tasik yang luas yang dikenali sebagai Tasik Banding. Terdapat sebuah jeti di tasik tersebut yang boleh membawa anda pergi ke Royal Belum.

Terdapat juga perkhidmatan house boat yang disediakan sebagai pengangkutan dan juga penginapan. Harga sewa house boat berbeza-beza mengikut jenisnya. Pakej yang disediakan adalah menjelajah Hutan Royal Belum dengan house boat selama 2 hari 1 malam yang harganya mencecah sehingga RM2,800. Terdapat juga house boat mewah lain seumpama dengannya yang lebih mahal dan harganya mencecah harga lebih RM9,000. Jadi, anda boleh pilih perkhidmatan mengikut kemampuan kumpulan anda.

house boat

House boat

Bagi kami orangperak.com, House boat yang harga sewanya RM2,800 itu sudah cukup selesa dan memadai. Ia adalah pakej yang seringkali menjadi pilihan ramai pelancong yang datang ke sana.

Sebenarnya bukan house boat sahaja pilihan yang ada untuk dijadikan sebagai tempat penginapan di Hutan Royal Belum. Jika anda tidak gemar bermalam di dalam house boat, di tengah-tengah hutan ini juga terdapat kemudahan penginapan seperti hotel, chalet dan resort.

Hutan Royal Belum adalah kawasan hutan tua yang berusia kira-kira lebih dari 130 juta tahun dan berukuran kira-kira lebih 200 ribu hektar. Jadi, lokasi ini adalah umpama syurga buat mereka yang gemarkan alam sekitar.

Sebahagian daripada Hutan Royal Belum juga telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal oleh Kerajaan Negeri Perak. Jadi, pengunjung hanya dibenarkan melawat kawasan hutan yang tidak diwartakan sebagai hutan simpan dan memerlukan permit dari pihak-pihak tertentu jika anda ingin ke kawasan yang diwartakan.

Terdapat pelbagai aktiviti lasak dan menarik yang boleh anda lakukan di Hutan Royal Belum ini. Pertama, anda boleh jalankan aktiviti meredah hutan. Hutan Royal Belum yang menjanjikan kepuasan buat anda yang meminati aktiviti meredah hutan.

Bukan sahaja treknya yang mencabar, anda juga bakal ditemukan dengan pelbagai spesis flora dan fauna yang jarang-jarang atau belum pernah anda lihat sebelum ini.

Antara haiwan yang seringkali menjadi tarikan pelancong ialah ulat gonggok sepanjang lengan yang kerap ditemui di hutan ini. Bagi tumbuhan pula, terdapat bunga rafflesia yang merupakan bunga terbesar di dunia untuk anda lihat di hutan ini.

Bunga Rafflesia

Bunga Rafflesia

Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah melihat dan merasai sendiri gaya hidup etnik orang asli yang tinggal di sana. Banyak yang kita boleh belajar daripada cara hidup mereka yang unik dan berbeza dengan cara hidup kita yang lebih ke arah kemodenan.

Sebagai contoh, masakan rimba yang 100% menggunakan sumber alam semula jadi untuk memasak dengan tanpa sebarang penggunaan perisa tambahan dan lain-lain.

Orang asli di sini juga bersikap terbuka dan sentiasa menerima kehadiran pada pelancong. Mereka gemar bertemu dengan tetamu yang baru setiap hari.

Jika anda seorang kaki pancing, Royal Belum adalah syuga dunia buat anda! Ramai yang mencuba nasib untuk menjinakkan ikan toman yang berkeliaran di dalam tasik Banding ini.

Pemancing tegar yang datang ke kawasan Hutan Royal Belum sememangnya berpuas hati dengan hasil tangkapan ikan toman yang diperoleh. Untuk memancing toman di sini, anda dinasihatkan untuk menggunakan umpan hidup seperti ikan keli.

Sedikit tips untuk anda, pastikan saiz ikan keli itu tidaklah terlalu kecil untuk menarik minat toman bersaiz gergasi. Saiznya yang ideal untuk dijadikan umpan ialah bersaiz sepanjang lengan.

Selain daripada ikan toman, terdapat juga banyak jenis ikan lain yang bakal menanti kehadiran pemancing-pemancing di sana seperti ikan tapah, ikah sebarau, ikan kelah dan banyak lagi. Jadi, segeralah rancang percutian anda di sana dan jangan lupa bawa joran anda sekali!

Kayak

kayak

Di dalam Hutan Royal Belum terdapat juga air terjun yang bernama Air Terjun Sungai Kooi. Keadaannya air bukit yang sejuk seperti air batu ini bakal menyebabkan tubuh anda menggigil kesejukan, rasa segar dan nyaman sekali.

Sudah pasti anda boleh bermandi-manda di kawasan tersebut dan anda dinasihat untuk sentiasa menjaga alam sekitar dengan tidak buang sampah di merata-rata. Selain daripada mandi-manda, anda juga boleh berkayak dan juga berakit.

air terjun

Air Terjun

Buat penggemar aktiviti lasak pula, anda boleh meluangkan masa di Belum Adventure Camp. Di sini anda akan disajikan dengan pelbagai aktiviti yang lasak serta mencabar.

Salah satu aktiviti tersebut yang seringkali menjadi tumpuan dan tarikan pengunjung ialah flying fox. Apabila anda sedang jalankan aktiviti flying fox ini, anda akan dapat lihat dengan jelas pemandangan hutan yang menghijau dari arah atas. Jom cuba?

Seperti yang diceritakan, Royal Belum sememangnya menjanjikan pelbagai aktiviti yang menarik dan mencabar untuk dilakukan di samping memberi ketenangan jiwa buat anda kerana dikelilingi hutan tebal dan jauh dari kesibukan bandar.

Apa tunggu lagi, segeralah merancang percutian anda ke Royal Belum kerana pengalaman yang bakal anda dapat disana adalah lain daripada yang lain dari destinasi percutian yang ada di luar sana.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here