Manjung Pernah Menjadi Sebahagian Daripada Negeri Negeri Selat

Ramai yang tahu negeri Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pernah menjadi wilayah Jajahan Mahkota British dalam sebuah pentadbiran yang dipanggil sebagai Pentadbiran Negeri-Negeri Selat. Namun kali ini orangperak.com ingin mengupas kembali fakta bahawa daerah Manjung yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Dinding juga pernah berada dibawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat.

Wilayah Dinding yang kini dikenali sebagai Manjung meliputi kawasan seperti Sitiawan, Lumut dan Pantai Remis, Pulau Dinding (kini Pulau Pangkor) dan Beruas. Kisah wilayah Dinding dengan kuasa luar ini bermula apabila Nakhoda Mohamad Taib telah membuka Pelabuhan Kuala Sepit atas kebenaran Sultan Jaafar (Sultan Perak Ke-23) dan Nakhoda Mohamad Taib juga telah dikurniakan surat kuasa bagi mentadbir wilayah Dinding.

peta manjung

Beliau telah membuka sebuah Pelabuhan Kuala Sepit. Kuala Sepit terletak di Kuala Sungai Dinding (kini Sungai Manjung). Wilayah Dinding pada ketika merupakan kawasan sepi dan merbahaya kerana kawasan itu telah dijadikan sebagai sarang persembunyian lanun oleh sebab kedudukannya yang strategik untuk dilalui pedagang. Usaha menghapuskan ancaman lanun oleh kerajaan Perak di Selat Dinding telah lama dijalankan namun tidak berjaya. Lanun-lanun pada ketika itu menjalankan aktiviti mereka disepanjang Selat Melaka.

Manjung Pernah Menjadi Sebahagian Daripada Negeri Negeri Selat

Pada tahun 1826, Sultan Perak telah membuat perjanjian dengan pedagang Inggeris bernama James Low untuk menyerahkan Pulau Dinding kepada Inggeris agar pihak Inggeris dapat membantu Perak membasmi ancaman lanun tersebut. Namun Inggeris pada ketika itu masih berpegang dengan dasar tidak mencampuri urusan negeri-negeri Melayu dan tidak dapat membantu Sultan. Namun, Nakhoda Mohamad Taib telah berjaya menewaskan lanun di kawasan tersebut, beliau juga telah membuatkan Pelabuhan Kuala Sepit menjadi sebuah antarabangsa yang disinggahi oleh kapal-kapal dagang dari seluruh nusantara ini dan benua lain.

Beliau memerintah Dinding selama 16 tahun dengan penuh jaya walaupun diketika itu takhta pemerintahan kerajaan Perak berada dalam keadaan huru hara akibat perebutan pewaris takhta Perak dalam merebut takhta. Nakhoda Mohamad Taib meninggal pada 1873 dan pentadbiran Pelabuhan Kuala Sepit serta wilayah Dinding diteruskan oleh anak beliau iaitu Nakhoda Mohamad Ariff dan kemudiannya Penghulu Besar Mohamad Nordin.

Sultan Abdullah

Perjanjian Pangkor 1874 diantara Sultan Abdullah dengan pihak British diatas kapal HMS Pluto telah menyebabkan wilayah Dinding diserahkan kepada Inggeris. Penghulu Besar Mohamad Nordin tidak lagi dapat memperbaharui surat kuasa beliau disebabkan wilayah Dinding tidak lagi dibawah kekuasaan kerajaan Perak.

Wilayah Dinding selepas Perjanjian Pangkor 1874 bukan lagi sebahagian daripada Perak tetapi menjadi salah satu kawasan dalam pentadbiran Negeri-Negeri Selat. Rakyat di Kuala Sepit dan kawasan sekitarnya begitu sedih kerana telah dikecewakan oleh sultan dan oleh kerana mereka enggan menerima penjajahan Inggeris menyebabkan mereka beramai-ramai berhijrah meninggalkan daerah itu dan akhirnya menyebabkan kawasan itu sunyi dan menjadi hutan tebal. Setelah itu Pelabuhan Kuala Sepit tidak lagi berperanan sebagai pelabuhan, dan peranannya telah dipindahkan ke Pelabuhan Lumut pada tahun 1890-an.

Sultan Iskandar Shah

Setelah beberapa ketika berlalu, takhta negeri Perak diambil alih oleh Sultan Perak ke 30, Sultan Iskandar Shah. Baginda telah berusaha semenjak tahun 1917 untuk mengembalikan wilayah Dinding kepada Perak. Akhirnya, setelah berusaha keras, baginda telah berjaya apabila Parlimen Inggeris meluluskan ‘The Dinding Agreement (Approval) Act, 1934’ pada 16 November 1934. Majlis istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula wilayah tersebut telah diadakan pada 16 Februari 1935.

Tan Cheng Lock

Walau bagaimanapun, penyerahan semula ini telah mendapat tentangan hebat daripada kaum Cina Negeri-Negeri Selat yang diketuai oleh Tan Cheng Lock kerana bagi mereka penyerahan semula Dinding itu adalah tidak mengikut kerelaan hati semua penduduk di situ. Sempena meraikan penyerahan semula wilayah Dinding kepada negeri Perak sebuah masjid telah dibina dan diberi nama Masjid Al-Adly. Masjid itu masih tersergam indah hingga ke hari ini. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar buat kita semua dalam menjaga tanah air yang kita cintai ini.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here