Penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri adalah suatu bentuk pengurniaan baru menggantikan kurniaan gelaran, persalinan pakaian atau barang berharga seperti mana yang diamalkan pada zaman tradisi Kesultanan Perak dahulu. Bagaimanapun tujuan pengurniaan ini masih tetap sama iaitu sebagai penghormatan dan membalas jasa kepada individu-individu yang telah menyumbangkan sumbangan jasa bakti terhadap Negeri Perak.
Tradisi pengurniaan pingat dan darjah kebesaran Negeri Perak ini bermula pada tahun 1953 semasa pemerintahan Sultan Perak ke-32 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yusuf Izuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Mukhataram Shah Radziallah (1948-1963) sebagaimana kuasa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Kedua yang ditandatangani pada 25 Februari 1953.
Pada tahun 1954 semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yussuf Izuddin Shah. Baginda telah melembagakan 8 Gelaran Dato’ Kehormat yang dikenali “DATO KURNIA” untuk dikurniakan kepada Warga Perak yang berkedudukan tinggi dan mempunyai pengaruh yang besar dalam Negeri Perak. Dalam artikel kali ini, saya akan membawa pembaca untuk lebih mengenali Lapan Dato Kurnia Negeri Perak.
Bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yussuf Izuddin Shah Yang Ke-66 pada 15 Januari 1956 telah memulakan penganugerahan Gelaran Dato Kehormat Dato Kurnia ini kepada tiga individu yang berjasa terhadap Negeri Perak, yang terdiri daripada seorang Pegawai British dan seorang Warga Perak berbangsa Melayu serta seorang Warga Perak berbangsa Cina. Penganugerahan Dato Kehormat ini adalah yang pertama sekali di dalam Negeri Perak yang membawa gelaran Dato dan yang pertama sekali dianugerahkan kepada Orang Bukan Melayu. Apabila penyandang gelaran ini meninggal dunia gelaran berkenaan tidak akan lagi digunakan dan akan dimansuhkan.
Berikut adalah Lapan Gelaran-gelaran “Dato’ Kehormat” Dato Kurnia Negeri Perak:
1. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA BAKTI Dikurniakan kepada Dato Ian William Blelloch (I.W Blelloch), Penasihat British Negeri Perak pada 16 Januari 1956 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-66.
2. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA DIRAJA Dikurniakan kepada Dato Haji Mohamad Esa Bin Kulop Shah, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada 16 Januari 1956 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-66.
3. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA NEGARA Dikurniakan kepada Dato Dr.Kam Tak Khong (K.T Khong), Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada 16 Januari 1956 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-66. Dato Dr. Kam Tak Khong adalah merupakan Orang Cina Perak yang pertama sekali dianugerahkan gelaran Dato dan salah seorang daripada dua Orang Bukan Melayu yang terawal dianugerahkan gelaran Dato Kurnia.
4. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA JASA Dikurniakan kepada Dato Osman Bin Talib, Timbalan Menteri Besar Perak pada 16 Januari 1957 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-67.
5. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA SETIA Dikurniakan kepada Dato Abdul Aziz Bin Haji Mohamad Jabar, Ahli Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada 16 Januari 1957 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-67.
6. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA JAYA Dikurniakan kepada Dato Shaari Bin Shafie, Menteri Besar Perak pada 16 Januari 1961sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-71.
7. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA INDERA Dikurniakan kepada Dato James Edward Seymour Crawford (J.E.S Crawford), Ahli Dewan Negara Parlimen Persekutuan Tanah Melayu pada 16 Januari 1961 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-71.
8. YANG BERBAHAGIA DATO KURNIA LELA Dikurniakan kepada Dato Jal Manecksha, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada 16 Januari 1961 sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-71. Dato Jal Manecksha, adalah merupakan Orang India Perak yang pertama sekali dianugerahkan gelaran Dato.
Pada 12 Disember 1957, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yusuf Izuddin Shah telah menzahirkan Darjah Kebesaran Negeri Perak Yang Pertama yang dikenali “DARJAH KEBESARAN YANG AMAT MULIA MAHKOTA PERAK”. Darjah Kebesaran ini terbahagi kepada empat peringkat.
Peringkat Pertama dikenali SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato’ Seri dan isteri Datin Seri. Peringkat Kedua dikenali DATO PADUKA MAHKOTA PERAK (D.P.M.P) yang membawa gelaran Dato’ dan isteri Datin. Peringkat Ketiga dikenali PADUKA MAHKOTA PERAK (P.M.P.) dan Peringkat Keempat dikenali AHLI MAHKOTA PERAK (A.M.P.).
Walaupun Darjah ini telah dizahirkan dalam tahun 1957, namun pengurniaan hanya mula dibuat pada tahun 1963 di masa pemerintahan Sultan Perak ke-33, Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Iskandar Al- Mutawakkil Alallahi Shah II Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah, berikutan kemangkatan Sultan Perak ke-32, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yussuf Izuddin Shah pada 4 Januari 1963.
Enam penyandang gelaran Dato Kurnia diatas adalah merupakan diantara penerima pertama “DARJAH KEBESARAN DATO PADUKA MAHKOTA PERAK (D.P.M.P) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-39 yang diadakan pada 26 Oktober 1963. Yang Pertama dianugerahkan adalah Dato Kurnia Jasa Osman Bin Talib, Pengerusi Lembaga Elektrik Negara Malaysia.
Yang Kedua adalah Dato Kurnia Diraja Haji Mohamad Esa Bin Kulop Shah, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak. Yang Ketiga adalah Dato Kurnia Setia Abdul Aziz Bin Haji Mohamad Jabar, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak.
Yang Keempat adalah Dato Kurnia Jaya Shaari Bin Shafie, Menteri Besar Perak. Yang Kelima adalah Dato Kurnia Indera James Edward Seymour Crawford (J.E.S Crawford), Ahli Dewan Negara (Senator) Parlimen Malaysia. Yang Keenam dan terakhir adalah Dato Kurnia Lela Jal Manecksha, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak.
Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah. Baginda telah menganugerahkan DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-42 pada 15 September 1966 kepada tiga orang penyandang gelaran Dato Kurnia iaitu Dato Kurnia Jasa Dato Osman Bin Talib, Pengerusi Lembaga Elektrik Negara Malaysia dan Dato Kurnia Indera James Edward Seymour Crawford (J.E.S Crawford), Ahli Dewan Negara Malaysia
Diatas jasa dan sumbangan bakti Dato Kurnia Setia Dato Abdul Aziz selaku Ahli Majlis Pemangku Diraja dan Ahli Jawatankuasa Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak. Beliau telah dianugerahkan DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P) pada 15 September 1970 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-46, beliau adalah merupakan penyandang gelaran Dato Kurnia yang terakhir diberikan penganugerahan yang membawa gelaran Dato Seri.
Rujukan:
- Sejarah Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Negeri Perak
- Cempaka Sari Sejarah Kesultanan Negeri Perak penulisan M.A Fawzi Basri
- Sultan Breaks Tradition, Creates Non-Malay Peers, Singapore Standard, 16 January 1956
- HONOURED BY HIS Sultan TUAN Haji Mohamed Esah bin Kulop Shah, one of the first three Perak residents to be appointed honorary Dato by Sultan, Singapore Standard, 17 January 1956
- 38-Name Honours List Covers People From Every Walk Of Life, Singapore Standard, 15 January 1957
- MB Perak sekarang menjadi Dato, Berita Harian, 16 January 1961
- Fatwa: Sultan beri amaran, Berita Harian, 29 Ogos 1963
- After installation, an investiture of birthday honours at throne room, The News Straits Times, 27 October 1963
- Bintang Darjah Mahkota untok pembesar2: Ahli2 Dewan terima kurniaan, Berita Harian, 15 September 1966
- 152 orang terima anugerah Harijadi Sultan Perak, Berita Harian, 15 September 1970
asalamualaikum
Daulat tuanku🙏