Jam Kerajaan Negeri Perak Zaman Pemerintahan Sultan Perak Ke 15

satu program percuma khas oleh orangperak.com

Dalam buku hikayat Misa Melayu ada memberi gambaran dan keterangan ringkas berkenaan dengan jam raksa yang digunakan oleh kaum kerabat diraja di istana Negeri Perak pada masa lalu. Ada juga diceritakan bahawa di istana Negeri Perak pada waktu itu memiliki sebuah jam besar berloceng yang diperbuat daripada kaca.

Jam besar berloceng yang diperbuat daripada kaca itu juga dikawal secara rasmi oleh pengawal-pengawal istana. Antara maklumat lain yang diberitahu, jam tersebut digunakan sebagai penanda waktu untuk membunyikan semboyan (tembakan meriam adat istiadat) sempena menyambut bulan Ramadhan, perayaan Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji serta acara-acara rasmi istana yang lain.

Kita semua sedia maklum tentang pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) yang mula memerintah negeri Perak sejak tahun 1752 sehingga tahun 1765. Baginda Almarhum Sultan Perak juga cukup terkenal sehinggakan kisahnya disemadikan dalam lirik lagu Cempaka Sari yang bersempena dengan nama pusat pentadbiran negeri Perak yang ditulis oleh Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33).

Zaman baginda Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain juga adalah merupakan penamat kepada keturunan Megat Terawis yang berkhidmat sebagai bendahara Perak. Pada zaman pemerintahan baginda, pembinaan pusat pentadbiran Perak giat dilakukan iaitu Cempaka Sari yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Indera Sakti.

Jam Kerajaan Negeri Perak Zaman Pemerintahan Sultan Perak Ke 15

gambaran jam gelas zaman dahulu

Bendahara Megat Abu Kasim yang merupakan Bendahara Perak ketika itu telah meletakkan jawatannya sebagai Bendahara Perak daripada keturunan Megat Terawis dengan menyerahkan baur kebesaran bendahara atas kerana tidak bersetuju dengan keadaan pusat pentadbiran Perak iaitu Indera Sakti yang kurang sesuai.

Perletakkan jawatan sebagai Bendahara Perak oleh Megat Abu Kasim telah mengakhiri jawatan Bendahara yang semenjak turun-temurun disandang oleh keturunan Megat Terawis. Sejak perletakkan jawatan bendahara oleh Megat Abu Kasim telah mengakhiri era Megat Terawis dan jawatan bendahara pada zaman Sultan Iskandar Zulkarnain dan selepas zaman baginda dipegang oleh bukan keturunan Megat Terawis.

Berbalik kepada perihal jam kerajaan negeri Perak sewaktu zaman pemerintahan baginda Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15), jam tersebut mungkin satu-satunya jam paling besar yang ada di Negeri Perak masa itu yang diperolehi oleh raja-raja Perak daripada pihak Belanda atau Inggeris.

Jam Kerajaan Negeri Perak Zaman Pemerintahan Sultan Perak Ke 15

Catatan berkenaan dengan jam besar tidak ditemui dalam semua naskhah yang lain termasuk dalam Misa Melayu terbitan R. O. Winstedt pada tahun 1919. Keseluruhan keterangan tentang jam tersebut adalah seperti berikut (MS Or. 832, halaman 56 hingga 57):

Maka ada jamnya yang dipakai oleh kerajaan kepada zaman itu jam gelas yang berisi serbuk kaca yang halus. Maka dimulainya daripada masuk matahari. Maka dirempuhnya sekali turun dan sekali naik sampai tiga rempuh turun naik. Maka dipukulnya gong besar tiga kali dan luchin tiga kali. Demikianlah ikut rempuhnya pukul lima dan pukul tujuh dan pukul sembilan sampai kepada kelima kalinya hendak dipukulnya cukup rempuhnya. Maka dipukulnya pula gong besar tiga kali bersambutan dengan bunyi gendang Nobat Subuh. Maka hari pun sianglah. Kepada tiap-tiap dipukulnya gong besar itu maka diikutnya dengan luchinnya tiga-tiga kali.

Adapun jam itu dijagai orang pertungguan dua belas muqim iaitu kepada satu muqim dua belas orang dan gilirannya sebulan kepada satu muqim, dikepalakan seorang imam dan orang baik-baik serta ianya. Maka telah cukup gilirnya maka memeriksa keduanya [57] dari bawah istana hingga sampai ke halaman penanggah raja. Telah sudah nyata kedua mereka itu maka balik ke hadapan balai besar berdiri berbaris, maka berjabat tangan kedua pihaknya, sebaris tinggal dan sebaris pergi kembali ke tempatnya selamat yang pergi, sejahtera yang tinggal, kata kedua pertukaran itu.

Jam Kerajaan Negeri Perak Zaman Pemerintahan Sultan Perak Ke 15

Makam Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15)

Zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15) mendapat gelaran zaman keemasan negeri Perak kerana pada zaman baginda, rakyat hidup dengan aman dan makmur dan pembesar-pembesar negeri semua patuh serta taat kepada baginda.

Sumber dan rujukan

  • Sebuah Versi Baru Hikayat Misa Melayu – Jelani Harun
Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.