Ramai diantara kita mengetahui akan wujudnya karya-karya agung klasik yang mengangkat sejarah dan martabat bangsa Melayu seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain lagi.
Namun malangnya ramai diantara kita yang berasal dari negeri Perak tidak mengetahui akan wujudnya sebuah karya agung yang mengisahkan ketinggian dan prestij kesultanan Negeri Perak iaitu Hikayat Misa Melayu.
Dalam artikel kali ini, orangperak.com ingin akan menyentuh mengenai kitab Hikayat Misa Melayu yang mesti diketahui setiap dari kita, apatah lagi buat mereka yang bergelar anak negeri Perak.
Hikayat Misa Melayu merupakan hasil karya Raja Chulan ibni Raja Abdul Hamid ibni Yang DiPertuan Muda Raja Mansur Shah dan dihasilkan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Perak ke 15, Sultan Iskandar Dzulkarnain pada tahun 1754 hingga tahun 1764.
Misa Melayu menceritakan mengenai sejarah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kesultanan Perak dan ditulis mengikut tertib dan kronologi peristiwa-peristiwa tersebut.
Karya ini juga memperincikan perihal kehidupan masyarakat di negeri Perak serta amalan tradisi dan adat istiadat yang diamalkan. Disebabkan itu Misa Melayu termasuk dalam genre sastera sejarah.
Karya agung ini telah dikaji oleh ramai sarjana seperti R.O Winstedt (1919), Buyong Adil (1972), B.W. Andaya (1979), P.Sullivan (1982), Ahmad Fauzi Mohd Basri (1992), Abdullah Zakaria Ghazali (1994), A.Ceridwen (2001), Arbai’yah Mohd Noor (2011) dan Mardiana Nordin (2011).
Para sarjana yang mengkaji karya ini mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan makna ‘Misa’ yang menjadi judul hikayat tersebut. W.E.Maxwell pada 1878 menyatakan judul tersebut berkemungkinan daripada pengaruh kisah Misa Jawa yang sudah terkenal di Perak sewaktu Hikayat Misa Melayu dikarang. Dalam kisah-kisah dari Jawa, ‘Misa’ membawa maksud suatu gelaran pembesar dalam masyarakat Jawa yang dihormati.
Menurut J.M Echols dan Hassan Shadily pula dalam An Indonesian English Dictionary menyatakan bahawa “Misa” membawa maksud Agung ataupun Besar. Ini bertepatan dengan Hikayat Misa Melayu yang menceritakan keagungan dan kebesaran raja-raja Melayu terutamanya Sultan Iskandar Dzulkarnain.
Antara yang disentuh dalam hikayat ini ialah berkenaan struktur sistem ekonomi, struktur politik, perlantikan serta pemberian gelaran kepada para pembesar, pentadbiran kerajaan negeri, kesenian dan adat istiadat yang diamalkan pada waktu tersebut. Hikayat ini bukan sekadar meriwayatkan persejarahan Melayu Perak, ianya juga merupakan lambang yang bermakna kepada orang Melayu.
Manuskrip asal Hikayat Misa Melayu dipercayai sudah tiada lagi pada masa kini. Sehingga kini, sekurang-kurangnya enam buah salinan yang berjaya ditemui dan dinamakan sebagai Naskah A, Naskah B, Naskah C, Naskah D, Naskah E dan Naskah F.
Naskah-naskah ini mempunyai sedikit perbezaan diantara satu sama lain. Naskah A merupakan salinan manuskrip Misa Melayu yang tersimpan di Cambridge University Library bertarikh 21 Disember 1909.
Salinan manuskrip ini merupakan pemberian daripada Sultan Idris Murshidul Azam Shah kepada R.J.Wilkinson yang ketika itu bertugas sebagai setiausaha Residen Inggeris di Negeri Perak.
Naskah ini kemudiannya diserahkan oleh Wilkinson kepada perputakaan Universiti Cambridge. Naskhah B pula merupakan salinan Hikayat Misa Melayu yang dipercayai milik Raja Muda Yusuf dan sekarang berada di Royal Asiatic Society, London.
Naskah ini bertarikh pada tahun1877. Naskah C merupakan manuskrip Hikayat Misa Melayu yang kini berada didalam simpanan Royal Institue of Linguistic and Anthropology, Leiden, Belanda.
Terdapat catitan menggunakan pensil pada naskah ini yang menyatakan naskah ini dikarang pada 11 Mac 1886. Seterusnya naskah D pula merupakan salinan Hikayat Misa Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Manuskrip ini mempunyai tarikh 1252 hijrah bersamaan tahun 1836 masihi. Kemudian naskah E pula merupakan salinan Misa Melayu yang berada di Muzium Pusat Jakarta dan yang terakhir iaitu naskah F pula merupakan salinan manuskrip Hikayat Misa Melayu yang terdapat di perpustakaan SOAS, London.
Hikayat Misa Melayu merupakan karya agung Melayu yang wajid dibaca oleh anak-anak negeri Perak supaya dapat lebih memahami akan sejarah dan peristiwa lalu yang berlaku dalam negeri Perak. Terlalu banyak kisah-kisah hebat yang diceritakan dalam hikayat ini.