Sungkai cukup popular dengan penceritaan cerita rakyat tentang Puteri Buih. Ianya dikatakan berkait rapat dengan keturunan Sultan Perak. Menurut cerita orang lama penduduk tempatan, pada masa dahulu terdapat seorang bayi perempuan yang hayut di muara Sungai Sungkai. Ianya terdapat buih-buih disekelilingnya di atas sungai tersebut lalu penduduk setempat iaitu orang kampung yang ternampak akan bayi itu pun mengambilnya.
Heboh penceritaan tentang terjumpa bayi perempuan yang dikatakan bayi orang bunian di sungai lalu orang kampung yang tinggal di kawasan Sungkai pun menamakan bayi tersebut sebagai nama Puteri Buih. Hendak dijadikan cerita, selepas berbelas tahun Sultan Perak pun hendak meminang Puteri Buih. Namun terdapat kekangan atau masalah tertentu kerana orang kampung percaya bahawa Puteri Buih ini adalah berketurunan dari keluarga orang bunian.
Sultan Perak pun berbincang dengan Panglima Hitamnya dan terputuslah keputusan dengan bersyarat yang dibuat untuk menghormati tempat asalnya Puteri Buih ini. Syarat yang ditetapkan ada dua. Syarat pertamanya adalah Sultan tidak boleh minum air yang berpunca dari mukim Sungkai dan syarat kedua adalah sultan tidak boleh memijak tanah di Sungkai tanpa beralaskan kain kuning. Maka dipersetujuilah dua syarat tersebut oleh sultan dan mereka pun berkahwin.
Terdapat pelbagai versi yang diceritakan berkenaan dengan cerita rakyat Puteri Buih ini, namun semuanya seakan hampir sama. Maklumlah, ceritanya diceritakan dari mulut ke mulut secara lisan dan apabila sampai ke zaman sekarang, sudah tentu penyampaiannya tidak sama seperti dahulu seperti cerita asal lagi. Apa yang diceritakan dibawah perenggan ini adalah versi lain dari pembaca kepada orangperak.com untuk bacaan semua pembaca setia.
Laksamana Raja Tua yang dikatakan sering belayar di lautan. Pada satu hari semasa pelayaran, bahtera Laksamana Raja Tua dikatakan tersangkut pada sebatang tiang yang terletak berdekatan dengan Kampung Tiang Bertarah. Laksamana Raja Tua melihat keadaan tiang dan bahteranya yang menyebabkannya tersangkut lalu Laksamana Raja Tua cuba untuk mencabut tiang itu untuk melepaskan bahtera dari tersangkut.
Semasa Laksamana Raja Tua cuba mencabut tiang itu dengan gigih, ternampaklah sebilah keris yang ada di tiang tersebut lalu dicabutnya keris itu. Sejurus selepas Laksamana Raja Tua mencabut keris yang terpacak di tiang itu, lalu bahteranya tiba-tiba bergerak terlepas dari sangkutan tadi. Laksamana Raja Tua pun bergerak meneruskan pelayaran bersama-sama dengan bahteranya. Keris yang dijumpainya tadi juga disimpan untuk peringatan peristiwa tadi.
Laksamana Raja Tua pun belayar untuk pulang ke pangkuan keluarga dan berjumpa dengan isterinya. Sewaktu Laksamana Raja Tua berehat di rumah, isterinya sibuk membasuh pakaian di muara sungai. Semasa sedang sibuk membasuh baju, terdapat gumpalan buih yang ada di sekitarnya. Lalu dikocak sahaja untuk hilangkan buih tersebut. Isteri Laksamana Raja Tua tidak edahkan sangat kerana ia baru berlaku. Kemudian, gumpalan buih itu terjadi lagi tetapi kali ini lebih banyak. Maka hairanlah isteri Laksamana Raja Tua dan dikocaknya lagi untuk hilangkan buih-buih itu.
Sekali lagi gumpalan buih menjadi lagi dekat dengan isteri Laksamana Raja Tua dan kali ini isteri Laksamana Raja Tua telangkup buih tersebut dengan tangan beliau lalu gumpalan buih itu diletakkan ke atas rakitnya. Alangkah terkejutnya isteri Laksamana Raja Tua apabila di dalam gumpalan buih itu terdapat seorang bayi perempuan yang comel dan sedang menangis kelaparan. Dengan tidak membuang masa, isteri Laksamana Raja Tua pun bersiap-siap dan membawa bayi yang dijumpainya pulang ke rumah.
Apabila sampai ke rumah, si isteri pun bertanya kepada suaminya tentang apa yang dibawa pulang semasa belayar tempoh hari. Maka suaminya menunjukkan keris yang ditemuinya dan diceritakan kisah bahteranya tersangkut pada isterinya itu. Lalu suaminya pun hairan kerana terdengar suara tangisan bayi dan bertanyakan bayi siapakah yang isterinya bawa pulang itu. Lalu dijawab iterinya, bayi anak bunian. Mereka berdua menjaga bayi tersebut sehingga meningkat dewasa dan menamakannya Puteri Buih.
Setelah Puteri Buih meningkat dewasa, jodohnya adalah dengan Sultan Perak. Maka kahwinlah Puteri Buih dengan Sultan Perak dengan syarat yang ditetapkan oleh Panglima Hitamnya iaitu Sultan tidak boleh minum air yang berpunca dari mukim Sungkai dan syarat kedua adalah sultan tidak boleh memijak tanah di Sungkai tanpa beralaskan kain kuning. Jika syarat ini tidak diikut, maka ribut dan bala petaka akan melanda.
Pesanan untuk semua dari kami warga orangperak.com terutamanya buat mereka yang suka mempertikaikan kesahihan cerita tambah lagi berkaitan dengan bunian. Jangan pula ada yang mempertikaikan penceritaan ini, fahamilah makna perkataan cerita rakyat. Zaman dahulu tiada hiburan, maka cerita sebeginilah yang menjadi satu jenis hiburan untuk mereka. Penceritaan ini adalah sekadar untuk pengetahuan anda sahaja dan jika anda masih tidak faham, rujuklah ibu bapa atau guru di sekolah yang berhampiran.