Tambun adalah sebuah pekan yang kecil terletak berhampuran dengan bandar Ipoh. Pekan Tambun ini mempunyai nilai sejarah dan asal usulnya yang tersendiri yang sangat menarik!
Sejarah permulaannya berkait rapat dengan industri perlombongan bijih timah pada satu ketika dahulu. Tidak lupa juga dengan industri pertanian iaitu penanaman kopi yang juga dijalankan dikebanyakan daerah Kinta.
Tambun dikatakan dibuka dalam tahun 1885 oleh Tok Panjang Osman atau lebih dikenali dengan nama Tok Norman. Sultan Perak pada ketika itu telah menganugerahkan kepada Tok Panjang Osman sebidang tanah untuk mengusahakan aktiviti perlombongan bijih timah di Ulu Kinta.
Perkataan dan sebutan untuk nama Tambun dikatakan berasal daripada panggilan orang asli yang tinggal di kawasan setempan yang menunjukkan ianya adalah kawasan longgokan bijih timah.
Oleh kerana ianya kerap dipanggil oleh orang-orang asli dikawasan tersebut Tambun, jadi Tok Norman telah menamakan kawasan tersebut dengan nama Tambun Hulu.
Untuk makluman anda, kawasan tersebut terletak di Bandar Baru Putra. Dari lokasi hulu tersebut, Tok Norman telah mengembangkan aktiviti perlombongan bijih timah ke Tambun Tengah iaitu kini dikenali dengan Batu 5 Tambun dan Tambun Hilir iaitu adalah kawasan Pekan Tambun sekarang.
Pada waktu itu, kawasan pekan Tambun sekarang ini sebenarnya adalah dikenali dengan nama Kampung Rotan Segar. Untuk penceritaan versi kedua pula, Tambun dikatakan telah wujud ekoran daripada perusahaan aktiviti perlombongan bijih timah oleh Toh Lembang atau lebih dikenali dengan nama Kulub Limbang iaitu seorang saudagar kelian. Oleh yang demikian, kawasan sekitar Tambun ini telah dinamakan sebagai Tambun yang membawa makna sebagai saudagar kelian.
Perkembangan Tambun ini telah bermula tahun 1892 dengan wujudnya beberapa rumah kayu dan dituruti dengan pembinaan balai polis pada tahun 1900 dan Sekolah Melayu pada tahun 1895.
Sejak pembukaan ladang kopi, ianya telah merancakkan lagi pembangunan Tambun pada awal abad ke 20. Ladang kopi telah dibuka secara besar-besaran sehingga kawasan bukit terletaknya ladang ini dikenali sebagai Kopisan yang bermakna bukit kop’ dalam bahasa Cina.
Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, ladang kopi ini telah dipindahkan ke kawasan Gopeng bagi membolehkan lombong bijih timah dibuka oleh Leong Fee dan F.J.B.Dykes.
Kini, Tambun amat terkenal dengan limau tambun. Limau Tambun sebenarnya telah mula ditanam di sini sejak tahun 1880 lagi oleh Tok Limbang dengan bantuan pekerja-pekerja dari Jawa. Benih-benih limau ini dibawa dari Kuala Kangsar.