Tun Abdullah Ayub, Tokoh Pentadbir Negara Dari Sitiawan

Tun Abdullah Ayub, kenalkah anda pada sebaris nama ini? Sebut sahaja nama Tun Abdullah Ayub, pasti ramai di kalangan kita khasnya generasi muda yang tidak mengenali siapakah tokoh ini walaupun beliau banyak berjasa kepada tanah air kita. Tun Abdullah Ayub merupakan tokoh pentadbir negara yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan sepanjang beliau berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Beliau memainkan peranan penting dalam pentadbiran pada zaman penubuhan Malaysia, zaman konfrontasi, peristiwa berdarah rusuhan kaum pada tanggal 13 Mei 1969 dan pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran). Tidak dilupa juga beliau turut terlibat dalam pentadbiran pada zaman mengisi agenda pembangunan negara.

Selain itu, Tun Abdullah Ayub merupakan antara tokoh pentadbir yang terlibat dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat dan menyusun semula masyarakat ke arah integrasi nasional.

Tun Abdullah Ayub

Pernah dengar tentang Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, Tun Abdullah Ayub yang memberi cadangan bernas supaya kerajaan meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar badan itu menjadi lebih berdaya maju dengan membuat pelaburan dan memiliki aset. Dengan adanya KWSP ini, masa depan seseorang pekerja lebih terjamin kerana telah mempunyai simpanan untuk persaraan.

Tokoh pentadbir negara ini telah dilahirkan pada tarikh 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan Anglo Chinese School, Sitiawan dan kemudiannya meneruskan persekolahan beliau di Sekolah Menengah King Edward VII yang terletak di Taiping, Perak.

Semasa zaman penjajahan Jepun, beliau menjadi guru bahasa Jepun di Bruas, Perak. Selepas Jepun menyerah kalah, Tun Abdullah melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Kolej Raffles (kemudiannya menjadi Universiti Malaya) di Singapura.

Tun Abdullah Ayub

Bermula dari tahun 1954 Tun Abdullah menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Malaya, sekarang lebih dikenali sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di pelbagai kementerian, tetapi yang lama beliau berkhidmat ialah di bawah Kementerian Kewangan hingga tahun 1971. Kemudiannya pada tahun 1972-1974 beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Mulai tahun 1974, Abdullah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi KWSP hingga 1978.

Kecemerlangan beliau sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam pada itu, beliau juga telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara (sekarang TNB). Sebaik sahaja bersara dari Perkhidmatan Awam pada 3 Januari 1981, Tun Abdullah terus diangkat menjadi Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.

Tun Abdullah Ayub

Kini segala perjuangan, sumbangan dan idea beliau telah dibukukan dalam biografi khusus yang ditulis secara bersama oleh Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datin Seri Fatini Yaacob dan isteri Tun Abdullah sendiri, iaitu Toh Puan Anna Abdul Ranee. Antara pendedahan menarik dalam buku berkenaan adalah berkaitan penglibatannya dalam parti berhaluan kiri bagi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris.

Demi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah, Tun Abdullah Ayub telah bergiat aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersama-sama Ahmad Boestamam dan Ishak Muhammad (Pak Sako) sehinggalah parti terbabit diharamkan oleh pihak Inggeris.

Turut didedahkan dalam buku biografi berkenaan Tun Abdullah adalah tentang sikapnya yang mementingkan integriti dan tidak pernah mengambil kesempatan untuk meraih kekayaan terutama ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Apa yang dapat disimpulkan ialah tokoh ini merupakan seorang nasionalis tulen, beliau berbakti kepada negara tanpa mengharapkan sebarang balasan, pujian dan penghargaan. Bahkan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk diingati dan disanjungi.

Tun Abdullah Ayub

Satu lagi sikap terpuji beliau yang patut dicontohi ialah perasaan kasih kepada kaum Melayu ketika itu yang rata-ratanya miskin sehingga menyebabkan beliau meluluskan peruntukan istimewa kepada negeri Kelantan yang diperintah oleh Pas. Apabila ditanya oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, beliau menegaskan bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak membantu, orang Melayu Kelantan akan terus ketinggalan daripada arus pembangunan negara.

Untuk pengetahuan para pembaca orangperak.com, sebenarnya banyak lagi kisah menarik dalam buku biografi berkenaan yang sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat mengenai Tun Abdullah Ayub, seorang pentadbir negara yang terbilang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.